Hello world!

•June 10, 2008 • 1 Comment

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Napoleon Bonaparte – Adakah beliau memeluk Islam?

•September 24, 2006 • Leave a Comment

Napoleon Bonaparte – Adakah beliau memeluk Islam?
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

“AGAMA-agama itu selalu didasarkan pada hal-hal yang ajaib, seperti halnya Trinitas Thriniti yang sulit difahami. Yesus (Jesus) didakwa dirinya sebagai Anak Tuhan, padahal baginda berasal daripada keturunan Daud. Maka saya lebih meyakini agama yang dibawa oleh Muhammad (Rasulullah). Islam terhindar jauh daripada kelucuan-kelucuan ritual seperti yang terdapat di dalam agama kita (Kristian). Bangsa Turki juga menyebut kita sebagai orang penyembah berhala dan dewa.”

Dengan penuh kepastian saya harus memperjelaskan kepada anda dalam setiap ucapan saya bahawa saya adalah seorang muslim dan saya memuliakan Nabi Muhammad serta mencintai orang-orang Islam.

Mungkin anda tertanya-tanya, siapakah yang begitu berani menuturkan kata-kata di atas? Atau mungkin anda lebih tidak percaya kerana yang berkata demikian ialah Napoleon Bonaparte!

Tokoh itu begitu terkenal dalam sejarah sehingga namanya berada dalam urutan ke-34 daripada Seratus Tokoh Yang Paling Berpengaruh Di Dunia (Buku tulisan Micheal H. Hart yang meletakkan Rasulullah s.a.w menduduki tempat teratas dalam senarai itu).

Sebagai Kaisar atau Raja Perancis, Napoleon mengukir sejarah yang begitu hebat sebagai jeneral tentera yang berjaya menundukkan dan menawan banyak negara Eropah sehingga ke Asia Barat, termasuk Mesir dan Palestin. Istilahnya beliau menyapu bersih, sehingga menjadikan Napoleon sangat berkuasa dan berdaulat penuh terhadap negara Perancis. Malah sesetengah pihak menganggap dalam bidang ketenteraan dan strategik Napoleon ialah jeneral yang paling genius.

Napoleon dilahirkan di Ajaccio (Aiacciu) atau disebut Ajax dalam bahasa Latin di Pulau Corsica yang terletak di bahagian tenggara Perancis pada 15 Ogos 1769 sebagai Napoleone Buonaparte. Pulau Corsica yang berada di bawah jajahan Perancis merupakan pulau keempat terbesar selepas Pulau Sicily, Sardinia dan Cyprus di Laut Mediterranean.

Kariernya sebagai anggota tentera yang paling digeruni bermula apabila beliau menyertai Tentera Revolusi Perancis pada lewat 1790-an. Sehingga tahun 1799, Napoleon memerangi hampir seluruh Eropah sehingga beliau kembali ke Perancis sebagai raja selepas kempennya selesai di Mesir. Pada 1800, Napoleon kembali semula ke medan perang dengan mengalahkan Austria. Pada 1802, Napoleon memperkenalkan sistem Perundangan Perancis yang baru yang dikenali sebagai Napoleonic Code.

Pada 1804 beliau ditabalkan sebagai Maharaja Perancis di Gereja Notre Dame Cathedral. Sehingga 1807, keluasan empayarnya bermula dari Sungai Elbe di bahagian utara Perancis menganjur sehingga ke Itali di bahagian selatannya atau dari Pyrenees sehinggalah perairan Dalmatian.

Kejatuhan
Tetapi selepas 1812, Napoleon mula mengalami kejatuhan apabila beliau menerima kekalahan pertama ketika cuba menakluk Rusia. Beliau juga terpaksa melepaskan Spain(Sepanyol) kepada Duke Of Wellington daripada tentera British dalam Peninsular War. Beliau mengalami kekalahan yang teruk pada 1814.

Napoleon terpaksa melarikan diri ke Pulau Elba dan kembali semula ke Perancis pada 1815 untuk mengumpulkan kembali kekuatan tentera yang dikenali Grand Army. Tetapi beliau terpaksa mengaku kelemahan apabila mengalami kekalahan teruk dalam Perang Waterloo di tangan tentera Wellington.

Sebagai hukuman, Napoleon dinafikan haknya untuk menetap di Perancis. Malah beliau dibuang negeri ke Pulau Saint Helena yang terletak di bahagian timur Afrika. Enam tahun kemudian, iaitu pada 1821 beliau meninggal dunia di pulau itu dipercayai akibat kanser perut. Sehinggalah pada 1840, barulah mayatnya di bawa pulang semula ke Paris. Tetapi dalam satu ujian didapati rambut Napoleon mengandungi kandungan racun arsenik yang tinggi.

Ini menjadi teori kepada punca kematian beliau yang sebenar. Beliau dipercayai diracun oleh Count of Montholon bagi pihak British yang tidak mahu melihat Napoleon kembali berkuasa.

Namun persoalan besarnya benarkah pemimpin tentera yang digambarkan sebagai seorang yang kejam dan rakus ini benar-benar memeluk Islam? Jika benar, adakah kerana ada muslihat di sebalik itu bagi membolehkan apa yang beliau hajati tercapai?

Pengislaman Napoleon didedahkan oleh penulis David M. Pidcock dalam sebuah bukunya yang memetik kembali keratan sebuah akhbar rasmi Perancis, Le Moniteur, yang menyebut mengenai pengislaman Napoleon pada 2 Julai 1798. Ia berlaku hampir 23 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada 1821.

Apabila tokoh ini memeluk Islam, beliau dikenali sebagai Aly (Ali) Napoleon Bonaparte?

Peristiwa ini dipercayai berlaku ketika Napoleon berada di Mesir. Napoleon tertarik kepada Islam ketika dijemput menghadiri suatu majlis memperingati ulang tahun kelahiran baginda Rasulullah s.a.w yang dihadiri oleh begitu ramai umat Islam.

Majlis itu menyedarkan Napoleon kepada kata-kata Voltaire yang mempercayai bahawa manusia memerlukan agama dalam hidup mereka. Manusia tidak boleh hidup tanpa agama atau tanpa mempercayai tuhan.

Pengalaman di Mesir itu dikatakan memberikan satu perjalanan rohani kepada Napoleon.

Tetapi apakah yang membuatkan tokoh perang ini dapat menerima Islam? Napoleon berkata, Rasulullah s.a.w. berjaya memandu kehidupan kaum Arab yang jahil kepada jalan yang benar. Mengajar kepada mereka mengenai keesaan Allah. Allah yang satu. Tuhan yang tidak mempunyai bapa, tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai pendamping.

“Sedangkan menyembah pelbagai jenis tuhan merupakan satu budaya yang sangat kabur tetapi tidak lebih satu aspek pemujaan kepada berhala yang merupakan hanyalah patung-patung yang kosong,” katanya.

Napoleon juga sangat mengagumi kitab suci al-Quran setelah beliau membandingkan isi kandungannya dengan Alkitab (Injil). “Saya menemukan kebenaran-kebenaran yang unggul di dalam al-Quran yang selama dikelirukan oleh kitab-kitab terdahulu yang manusia itu campur tangan di dalamnya melalui kata-kata mereka sendiri, bukannya kata-kata Tuhan, katanya.

Malah yang lebih menarik adalah ucapan Napoleon ketika beliau mula-mula sampai di Palestin pada tahun 1799 sebelum bertempur dengan tentera Othmaniah.

“Sambil mengenakan serban di kepalanya, Napoleon mengaku mengenai pengislamannya dan berkata: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Saya Bonaparte, Amir dari tentera Perancis. Kepada semua pemimpin tempatan, para mufti dan penduduk Gaza, Ramla dan Jaffa, semoga Allah melindungi kita semua, “katanya.

Pengislaman Napoleon mungkin dapat diketahui lebih lanjut melalui sebuah lagi buku, iaitu Napoleon and Islam atau Bonapart et Islam oleh C. Cherfils. ISBN: 967-61-0898-7
Dalam buku itu, Napoleon dipetik sebagai berkata: alam masa terdekat ini, jika berpeluang, saya ingin menyatukan semua umat manusia melalui budaya yang baik (Islam) dan kerajaan yang memimpin rakyatnya melalui prinsip yang tertulis dalam al-Quran al Karim.

Undang-undang
Menyebut mengenai undang-undang, Napoleon sendiri mengakui akan keagungan undang-undang Islam iaitu syariah.

Lalu beliau mengguna pakai undang-undang itu semasa memerintah Perancis dan dipercayai hingga sekarang pengaruh dan elemen undang-undang syariah masih digunapakai di negara itu. Contoh yang paling ketara adalah apabila berlaku tragedi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Puteri Diana dan teman lelakinya, Dodi Al Fayed pada 1997.

Mengikut undang-undang lama Perancis, jurugambar yang sempat mengambil detik-detik berlakunya kemalangan dan kematian Puteri Diana itu dijatuhkan hukuman. Mereka disabit kesalahan kerana tidak membantu mangsa dan lebih mengutamakan untuk mengambil gambar.

Bentuk undang-undang dan hukuman ini jelas diambil daripada perundangan syariah Imam Malik. Bagaimanapun, pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Manusia, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Zuraini Nordin berkata, terdapat pelbagai pendapat mengenai status agama dan pengislaman Napoleon.

Beliau berkata, “pada asalnya panglima dan maharaja Perancis itu seorang yang berpegang kepada ajaran Deism iaitu tidak percaya kepada ajaran-ajaran Kristian seperti Original Sins (Dosa Warisan), mukjizat dan sebagainya. Dia mengkritik ajaran Kristian itu sebagai hanya mementingkan aspek spiritual individu berbanding dengan Islam yang dia sendiri iktiraf sebagai agama yang rasional dan mementingkan ilmu -sains, “katanya.

Maka tidak hairan jika Napoleon sangat-sangat menghargai agama Islam, menghormati orang Islam dan mengagumi keperibadian Nabi Muhammad itu sendiri. Ini kerana beliau percaya Rasulullah bukan sahaja seorang pemimpin agung tetapi juga seorang penjajah”yang ulung, ia sangat sesuai dengan jiwanya sebagai seorang maharaja dan penjajah Perancis yang sangat bercita-cita tinggi,”katanya.

Kata Zuraini, Napoleon ialah seorang yang banyak membaca mengenai Islam, al-Quran dan hadis Nabi dan beliau memupuk hubungan baik dengan para mufti dan ulama-ulama Al-Azhar semasa ekspedisinya di Mesir. Napoleon mengiktiraf Islam sebagai satu sistem kepercayaan yang unggul dan beliau banyak mengadaptasikan undang-undang syariah ke dalam kod sivilnya yang dikenali sebagai Code Napoleon.

Dengan kod atau undang-undang itu Napoleon rasakan beliau dapat memberi manfaat kepada empayarnya dan rakyat Perancis.

Sebagai seorang raja, tidak dinafikan Napoleon seorang yang agak berjiwa rakyat dan semasa pemerintahannya banyak reformasi dilakukan untuk kepentingan rakyatnya.

Namun, menurut Zuraini, ada juga pihak yang menaruh rasa sangsi dan mempertikaikan mengenai pengislaman Napoleon itu. Walaupun ada direkodkan mengenai pengislaman Napoleon, dipercayai tokoh ini hanya menaruh minat terhadap Islam.

Malah beliau mempergunakannya demi kepentingan diri dan meluaskan empayar, katanya. Dakwaan ini tidak menghairankan kerana pengislaman seseorang di Eropah sering kali tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ada kepentingan masing-masing. Pertikaian ini sebenarnya membuka lembaran kepada kajian yang lebih mendalam bagi menentukan status agama anutan Napoleon.

Kepada Barat, mungkin terlalu sukar untuk mereka menerima hakikat ada tokoh sehebat Napoleon yang menerima kebenaran Islam. Sedikit sebanyak ia memberikan tamparan kepada pelbagai sikap negatif mereka terhadap Islam selama ini.

Media Dan Kisah Cinta Kenamaan

•September 17, 2006 • Leave a Comment

Kahwin: Penonjolan media ketepi nilai kemasyarakatan

Oleh Masnah Rais

Kebelakangan ini media bagaikan berpesta membuat liputan tentang asmara dan perkahwinan insan kenamaan. Dari menteri ke tokoh korporat ada belaka kisah percintaan dan perceraian.

Terakhir ialah kisah asmara dan perkahwinan Datuk K dan Siti. Cerita mereka semacam peristiwa kenegaraan yang penuh aksi dan menerima laporan kemuncak yang meluas.

Laman-laman web juga tidak ketinggalan memberi ruang kepada kisah-kisah perkahwinan pasangan asmara tersebut seolah-olah takut ketinggalan dalam perlumbaan mendapatkan scoop untuk ruangan Internet mereka. Begitu juga kisah asmara lelaki berumur dengan wanita muda dalam adegan berebut-rebut suami orang sudah jadi tema sensasi semenjak sekian lamanya.

Liputan media tentang asmara berputik baru ini jauh lebih hebat dan meluas daripada yang diberi kepada pemimpin atasan negara. Kisah-kisah ini kononnya diminati pembaca dan penonton televisyen. Betulkah begitu? Atau ini hanya gelagat sensasi yang tidak lagi menghiraukan nilai-nilai budaya bangsa sendiri. Sejak bila masyarakat Melayu harus bermegah dengan gara-gara mengahwini suami atau isteri orang yang baru bercerai?

Semacam tidak ada lagi berita atau bahan yang lebih hebat daripada asmara dan majlis kahwin pasangan-pasangan tersebut. Dulu kisah kahwin-asmara baik antara uda dan dara mahupun antara tua dan muda dihadkan kepada bab peribadi, diketahui dan direstui oleh hanya kaum keluarga terdekat. Kini sudah ada jenis perkahwinan yang dilaungkan dan dihebahkan ke seluruh negara. Beratus pojok utama berita televisyen dan muka depan akhbar disajikan saban hari dalam musim terjalinnya asmara dan berlangsungnya majlis perkahwinan panas itu. Kisah dan sensasi rentetan itu ditampilkan sedemikian rupa sehingga ada pihak yang yakin bahawa ianya harus menjadi fesyen sosial justeru wajar diikuti dan diteladani. Soal moral dan nilai kemasyarakatan jelas tidak diperhitungkan lagi.

Apakah yang terkandung di dalam kisah-kisah asmara dan perkahwinan selebriti itu yang menyebabkan liputan berita yang begitu keterlaluan? Sebagai perbandingan, seorang sultan terkaya yang mengahwini bekas juruhebah sebuah stesen TV swasta di negara ini pun tidak mendapat liputan yang terhebat.

Apa yang sebenarnya yang cuba diolah? Apakah masyarakat benar-benar dahagakan liputan meluas sehingga melunaskan budaya negatif yang baru? Atau adakah ini semua berupa sejenis perniagaan seranta lantaran longgokan wang yang banyak supaya siaran TV eksklusif dapat dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu? Biasanya kenduri nikah kahwin mengurangkan pendapatan. Kini mempelai boleh jual beli adegan perkahwinan mereka dan lantas beruntung lipat ganda.

Soalan dan keadaan begini bangkit lantaran terdapat elemen nilai hidup yang terlibat dalam drama hidup ini. Ada sesuatu yang tidak kena yang harus difikirkan dari sudut cara hidup dan tamadun rakyat Malaysia, khususnya di kalangan masyarakat orang Melayu.

Macam-macam kisah kahwin-asmara telah disajikan sejarah. Arkib di negara-negara Barat penuh dengan kisah-kisah ini. Tetapi yang dilaporkan media akhir-akhir ini bukan seperti kisah Cleopatra kahwin Mark Anthony atau King Edward ke VIII kahwin Mrs. Simpson atau seperti Marilyn Monroe kahwin Harry Miller. Asmara mereka di zaman masing-masing menepati maksud suasana dan budaya di Barat.

Asmara

Diakui, kisah-kisah asmara dan perkahwinan ada yang bersifat biasa, ada pula yang bercorak ghial dan luar biasa. Kisah cinta menteri kahwin baru atau cerita pembesar ambil isteri orang; cerita mengenai pihak diraja dapat isteri baru atau tokoh perniagaan separuh umur jatuh cinta pada penghibur jelita tidak perlu dipersoalkan sangat kerana liku-liku hidup memang ada yang melalui godaan, badai dan gelora selain ketenangan dan keindahan.

Yang dipersoalkan ialah apakah penonjolan dan sensasi seperti yang disebarkan media itu berpatutan dalam konteks membina modal insan atau membina masyarakat bertamadun?

Keghairahan sesetengah pihak membuat laporan dan liputan seperti yang dialami kebelakangan ini seolah-olah membuka suatu lembaran baru yang mahu menjadikan tokoh dan individu biasa mengikuti gaya hidup berasmara baru secara yang melibatkan kos
lumayan. Soal moral dan kesejahteraan yang berpaksikan amalan kelamin kekeluargaan langsung terkeluar daripada penceritaannya.

Dua senario kehidupan semasa dapat dirumuskan:

Pertama, munculnya kisah tentang tokoh korporat atau tokoh politik yang punya anak isteri yang ‘menawan hati’ jelitawan muda. Jalan cerita asmaranya ialah seperti yang dilaporkan jelitawan yang berusia muda ‘tertarik’ dengan seseorang tokoh lantaran gaya dan stail serta layanan sumbangsihnya. Tentunya, terkandung di dalam istilah ‘sumbangsih’ ini ialah pemberian duit dan ganjaran yang banyak selain berkongsi kedudukan, pangkat dan gelaran.

Aspek kedua yang sering jadi tema ‘asmara membara’ lelaki separuh umur ialah godaan jelita yang bersifat pisau cukur. Yang ‘dicukur’ ialah lelaki berumur dengan cara yang lemah-lembut dan penuh mesra. Si jelita pandai menarik minat dan perhatian lelaki berstatus dan berkuasa. Dengan gaya dan pendekatan manja, si jelita sosial itu hinggap dari pangkuan ke pangkuan sambil ‘mengikis dan mengumpul’ harta demi harta sementara ia melayan dan meladen kenamaan demi kenamaan. Setiap kali ia bercumbuan setiap kali pula ia mendapat dividen ?rumah, kereta mewah, berlian dan longgokan ‘pulangan’ yang lain. Perhubungan sebegini tidak kurang juga yang berakhir dengan perkahwinan sebagai pulangan. Ada pula yang berkeadaan ‘ayam lepas, tahinya di tangan’.

Juga kerap diceritakan ialah daripada hal bagaimana tercetusnya asmara hingga membawa ke pelamin. Cerita pokok berkisar pada keindahan dan keseronokan pasangan itu. Malangnya babak derita pasangan lama dengan anak-pinak hasil perkahwinan terdahulu tidak menjadi kisah lagi. Apa agaknya perasaan dan keadaan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan? Bab ini diketepikan begitu sahaja.

Aspek khas yang dijadikan keutamaan ialah unsur-unsur glamor yang cuba diselitkan dalam perbuatan menarik atau menggoda pasangan orang lain. Lelaki yang sudah beranak-pinak dan mendirikan rumah tangga berdekad-dekad lamanya tiba-tiba mengorak langkah lalu mencumbui anak dara atau isteri orang dan berjaya. Fakta siapa anak dara itu tidak dipersoalkan. Yang dipersoalkan ialah apa jadi kepada bekas isteri yang ditinggal atau diceraikan bersama anak-anak kesayangan yang tiba-tiba kehilangan kasih sayang bapanya.

Yang disajikan untuk bacaan dan tontonan hanya glamor asmara baru tetapi meminggirkan kepayahan keluarga lama suami baru. Aspek salah tafsir moral dan nilai hidup jelas terpinggir terus.

Tarikan cinta pandang pertama memang banyak dilaporkan tetapi yang jarang diselidiki ialah tentang budaya negatif menarik suami orang atau mencumbui isteri orang. Pada masa yang sama, kisah orang tua kahwin anak dara atau perempuan muda memang sedia memenuhi lembaran sejarah, baik di Barat mahupun di Timur. Tetapi dalam struktur masyarakat Melayu, kisah begini tidak pernah menjadi tarikan kepada umum secara rasmi kerana amalannya tidak membentuk masyarakat yang rukun atau kehidupan yang berpegang teguh kepada nilai-nilai keutuhan keluarga.

Cerita mengkhayalkan tentang kemewahan majlis perkahwinan atau mengutarakan tema ‘perceraian pasangan lama’ mungkin menyeronokkan kepada sesetengah pihak. Tetapi ia berupa berita malang yang memalukan bagi mereka yang kena cerai atau ditinggalkan. Dalam Islam mengaibkan orang adalah suatu dosa tetapi masyarakat dengan mudah diheret untuk turut serta mengalu-alukan perpecahan keluarga. Tema ambil isteri orang atau suami orang tidak lagi jadi persoalan atau masalah yang diperhitungkan. Yang diutamakan ialah asmara picisan yang disisip dengan nilai kebendaan dan tindak-tanduk mengetepikan prinsip luhur. Ini membawa kita jauh daripada keharmonian dan kerukunan. Tentunya ini bukan budaya tinggi.

Dipersoalkan: kenapa beria-ia benar ditonjolkan kisah-kisah merebut suami atau isteri idaman melalui derita pihak yang lain? Dipersoalkan, dengan hidangan kisah-kisah glamor asmara orang-orang bergelar dan berstatus yang bersekongkol dengan wanita mungil yang berusia muda, masyarakat tampak semacam menggalakkan amalan budaya songsang.

Apa rasa hati anak-anak yang ditinggalkan bapa yang menurutkan hati asmaranya? Kenapa bapa yang kahwin lagi itu ditampakkan sebagai hero dalam gara-gara beristeri baru? Yang pasti ialah kelakuan itu akan dianggap sebagai amalan yang layak disusul dan dicontohi.

Di celah-celah persoalan dan suasana inilah kita menghitung nilai-nilai masyarakat.

Moral

Penonjolan kisah kahwin baru yang tidak mengendahkan nilai moral masyarakat pasti akan meminggirkan sebahagian sifat murni masyarakat Melayu sendiri. Apa jadi dengan tanggungjawab sosial yang selama ini menjadi tonggak kehidupan kita? Dengan gambaran penuh ‘gilang-gemilang’ di dalam adegan glamor tersebut akan lebih ramai tua-muda kita yang akan disedut ke dalam putaran asmara-kebendaan. Di samping itu akan lebih ramai pihak yang bakal menjadi calon yang membelai hati dan perasaan wanita muda sambil mewujudkan pertembungan dan kamelut keluarga.

Bagi pasangan yang bercerai, harta sepencarian memang boleh disusul dan diagih dengan perintah mahkamah di bawah undang-undang keluarga, sama ada di bawah bidang kuasa syariah atau sivil. Tetapi proses ini meninggalkan parut emosi negatif yang berkekalan. Seperti yang diketahui umum, apabila perceraian berlaku, kegembiraan dan keseronokan hidup berkeluarga menghilang di angin lalu.

Apakah tanggungjawab sesetengah media selesai dengan hanya mensensasikan kisah cinta baru yang disalut kemewahan kebendaan itu? Apakah tanggungjawab seranta tidak sampai kepada pihak-pihak yang dideritai liputan tersebut. Apakah keuntungan sebenar yang diraih hasil perasaan derita orang yang hidupnya sudah berkecai?

Garis sempadan antara senyum dan tangis sesungguhnya amat kabur dalam hidup. Hari ini mungkin senyum gembira. Esok mungkin berduka nestapa.

•January 10, 2006 • Leave a Comment

Ketuk ketampi bogel: Ketua Editor China Press undur diri
Friday, January 06 @ 09:48:49 MYT

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh)- Ketua Editor dan Ketua Editor Eksekutif akhbar China Press meletakkan jawatan semalam ekoran berita mangsa ketuk ketampi bogel adalah wanita China.

Dalam edisi petang akhbar berbahasa Cina kedua terbesar negara itu, mereka menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di muka depannya ekoran berita itu dan mengumumkan perletakan jawatan kedua-dua editor kanan akhbar berkenaa.

“China Press memohon maaf di atas segala masalah yang berbangkit dari laporan kami yang silap itu,” kata laporan muka depan akhbar itu yang dicetak dan diedarkan petang semalam.

China Press adalah akhbar pertama melaporkan kewujudan video klip ketuk ketampi dalam keadaan berbogel itu dan kesilapan mereka adalah mendakwa wanita itu adalah Cina. Mereka telah menerima surat tunjuk sebab dari Kementerian Dalam Negeri, pengawal lesen akhbar di negara ini, mengapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas mereka pada 19 Disember lalu. Laporan itu disiarkan dalam edisi petangnya pada 23 November 2005. Sehari selepas laporan itu, pada 24 November, anggota Parlimen DAP dari Seputeh, Teresa Kok menunjukkan video klip itu kepada rakan-rakan anggota Parlimennya dan media. Ekoran itu, isu itu telah menjadi panas sehingga Menteri Dalam Negeri, Dato’ Azmi Khalid diarahkan ke negara China untuk memohon maaf.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Siasatan Bebas yang ditubuhkan kerajaan mendapati wanita itu bukannya Cina tetapi Melayu.

Ketua Editor China Press, Chong Choong Nam dan Ketua Editor Eksekutifnya, Wang Zhao Ping dilaporkan sebelum ini telah dipindahkan ke jawatan lain. Sehingga kini tidak dapat dipastikan kenapa pihak polis tidak memaklumkan lebih awal wanita dalam video klip itu adalah Melayu bukannya Cina sebagaimana didakwa Teresa, sehinggalah dimaklumkan polis melalui perbicaraan dalam Suruhanjaya Bebas itu. Jika ia dimaklumkan Melayu nescaya Azmi Khalid tidak perlu ke negara China untuk memohon maaf bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menjawab persoalan ini berkata, apa guna polis menjelaskannya lebih awal sedangkan masyarakat seolah-olah sudah hilang kepercayaan kepada polis ketika itu.

Tekanan kepada kebebasan media
Sementara itu, pelbagai pihak melahirkan rasa kesal dengan tekanan yang dikenakan ke atas China Press sehingga terpaksa ‘memancung’ dua editor kananya.

“Bagi saya, ini satu lagi tindakan yang akan mengekang terus kebebasan media di negara ini. “Jika Noh Omar boleh setakat minta maaf sahaja apabila meminta orang China pulang ke negara mereka jika tidak suka dengan polis Malaysia, mengapa tidak dalam kes ini,” kata Lim Guan Eng dalam kenyataanya.

Koordinator bersama Charter 2000-Aliran, Dr Mustafa K. Anuar dan Anil Netto dalam kenyataannya menyifatkan tindakan ini sebagai satu tindakan yang akan menyuramkan lagi kebebasan media di negara ini dan kedua-duanya menjadi kambing hitam. Faktornya adalah ketakutan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mempunyai kuasa penuh untuk menghentikan penerbitan sesuatu akhbar. Langkah ini dipercayai ekoran khabar angin lesen edisi petang China Press, yang menyiarkan berita itu, digantung oleh KDN.

“Kami yakin mulai sekarang, media akan lebih mengamalkan self-censorship dan bukan lagi minda yang bebas di kalangan editor akhbar,” kata mereka berdua dalam kenyataannya.

•January 8, 2006 • Leave a Comment

Tetamu Allah Yang Kianat

Firman Allah Taala :

Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik – baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang – orang yang berakal’ (Surah Al Baqarah : 197).

Orang yang dipilih Allah SWT dari ratusan juta kaum muslimin untuk menunaikan ibadah haji adalah orang yang sangat beruntung. Punya keistimewaan dan keutamaan yang berpuncak pada syurga yang menantinya jika ia meraih haji mabrur. Namun, ujian dan cubaan yang mengotori kemabruran hajinya juga tidak sedikit. Dari sekian banyak ujian, ada 3 perkara yang disebut dalam ayat di atas yang perlu senantiasa diwaspadai oleh jemaah haji, yaitu rafats, fusuq dan jidal.

Sesungguhnya kemungkaran dan hal-hal negatif selama musim haji di tanah suci cukup banyak. Sehingga tidak benar, persepsi sebahagian orang bahawa Tanah Suci sepi dari kemaksiatan dan kemungkaran. Ketika Al Qur’an hanya menyebut tiga hal negatif tersebut, hal ini memberikan pemahaman kepada kita bahwasanya peluang untuk melakukan ketiga perbuatan negatif itu dalam ‘muktamar’ yang dihadiri jutaan kaum muslimin sedunia dengan beragam warna kulit, bentuk fizikal, suku, bahasa dan adat amatlah besar. Sehingga tidak berlebihan jika ada yang berkomentar, bahawa setiap jemaah haji berpotensi untuk berbuat rafats, fusuq dan jidal, baik pra haji, di tengah penunaian berbagai manasik (ritual) haji mahupun sesudah menunaikan haji, kembali ke tanah air.

Ibnu Jarir dalam kitab Tafsirnya (II/273-279) secara panjang lebar menghadirkan penafsiran para ulama tentang ‘rafats’ yang dapat disimpulkan, bahwa ‘rafats’ adalah jima’ (bersetubuh) dan permulaan-permulaannya seperti bercumbu serta perkataan yang menimbulkan berahi. Lalu ‘fusuq’ adalah semua bentuk maksiat dan larangan-larangan bagi orang yang berihram. Sedangkan ‘jidal’ adalah berbantah-bantahan, saling panggil memanggil dengan gelaran yang buruk dan debat kasar seperti saling mendakwa bahawa apa dilakukan paling baik/benar dan semua perbuatan yang mengundang konflik, kedengkian dan permusuhan. Ketiga hal ini diberi penekanan khusus untuk dijauhi, karena Allah SWT menginginkan jemaah haji untuk melepaskan diri dari segala gemerlap dunia dan tipu dayanya, serta mensucikan diri dari segala dosa dan keburukan. Sehingga terwujudlah tujuan yang diinginkan dari ibadah haji yaitu Tahdzib An Nafs (pensucian jiwa) dan mengarahkannya secara total untuk beribadah kepada Allah SWT semata.

Dan hanya jemaah haji yang mampu menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan negatif tersebutlah yang diibaratkan Nabi SAW seperti bayi yang baru lahir ke dunia tanpa dosa.

Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang menunaikan ibadah haji, tidak rafats dan berbuat fasik, maka ia keluar dari dosa-dosanya seperti hari di saat ia dilahirkan ibunya’ HR Bukhari dan Muslim.

Setelah melarang berbuat keburukan, Allah SWT membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan seraya berfirman, ‘Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya’. Dilihat dan diketahui Allah merupakan jaza’ qabla’l jaza’, penghargaan dan balasan dari Allah sebelum balasan yang sesungguhnya. Sehingga memotivasi seorang mukmin untuk semakin banyak memproduksi berbagai macam kebaikan.

Kepada mereka yang bakal menunaikan ibadah Haji, saya mendoakan agar ibadah Haji yang mabrur bakal saudara-saudari perolehi. Kerana dengan Haji yang mabrur, bermakna semakin hampir saudara-saudari dengan Allah SWT. Dan semakin hampir saudara-saudari dengan kasih sayang dan ampunan Allah SWT.

Kepada mereka yang telah pun menunaikan ibadah Haji tetapi masih merasa lazat dengan maksiat dan kemungkaran, tanyalah diri sendiri dengan soalan-soalan dibawah :

1. Adakah aku pergi menunaikan Haji untuk meninggalkan segala yang ditegah Allah dan melaksanakan segala yang diperintah Allah, atau untuk orang memanggil aku dengan gelaran HAJI/HAJJAH?

2. Jika sebelum aku menunaikan ibadah Haji aku melakukan amal maksiat yang mendatangkan dosa, setelah kembali dari menunaikan Haji apakah amalan maksiat itu masih aku lakukan?

3. Adakah aku tahu, jika sekembalinya aku dari Tanah Suci, aku masih melakukan amalan maksiat yang sama, Haji aku bukan Haji yang mabrur?

4. Adakah aku sedar, sebagai seorang yang telah menunaikan Haji, apabila aku melakukan kemungkaran dan menganjurkan program maksiat, ianya menimbulkan fitnah kepada jemaah Haji yang lain?

5. Adakah aku tahu, jika aku masih melakukan kemungkaran setelah kembali dari Tanah Suci, aku sebenarnya telah mengkhianati Allah yang pernah menjemput ku menjadi tetamu-Nya?

6. Adakah aku tahu, jika aku mengkhianati Allah, tempat yang selayak buat aku adalah neraka Allah?

7. Adakah aku tahu, jika aku mengkhianati Allah yang menjadikan aku tetamu-Nya, aku adalah makhluk yang paling hina kerana tidak mensyukuri nikmat Allah yang bersedia melayan aku sebagai tetamu?

8. Adakah aku tahu, sebagai seorang HAJI/HAJJAH, aku tidak sepatutnya membuat mungkar dan tidak sepatutnya mengajak orang lain membuat mungkar?

9. Adakah aku tahu, jika selepas aku kembali dari mengerjakan Haji, aku masih melakukan maksiat malah mengajak orang lain melakukan maksiat, aku sebenarnya bukanlah hamba Allah tetapi aku adalah hamba Iblis?

10. Adakah aku tahu, ke mana hendak aku pergi jika aku ini bukan hamba Allah?

•December 31, 2005 • Leave a Comment

Pahlawan Neraka

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

“Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, “Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka.” Para sahabat menjadi heran mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, “Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya.”

“Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.”

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, “Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.” Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.

•December 29, 2005 • Leave a Comment

Kisah Pendeta Yang Insaf

Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, “Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendita Kristian).”

Bila dia melihat aku dia pun berkata, “Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?”

Ibrahim segera menjawab, “Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu.” Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, “Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahwa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu.”

Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata, “Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini.” Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali. “Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, “Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu.” Sambung Ibrahim lagi, “Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu – Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku.”

Jawab rahib itu, “Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah).”

“Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah.”

Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, “Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persausaraanku denganmu.”

Sebaik saja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, “Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah.” Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, “Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?” Dia menjawab, “Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku)kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat.”

Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya.”