Akademi Fantasia

Rancak di sana sini orang ramai berbual mengenai pencarian pelajar Akademi Fantasia bagi Musim yang ke-2. Tidak kurang juga ramai yang memasang angan untuk bergelar juara Akademi Fantasia Musim Ke-2 menggantikan Vincent Chong, pemenang musim pertama yang sudah melahirkan album sulung beliau. Kalau anda penonton Astro, anda akan menyaksikan bagaimana gelajat mereka yang hadir untuk sesi uji bakat. Pendek kata bahang kehangatannya cukup terasa. Popularitinya standing dengan Chinese New Talent Astro Quest yang juga merupakan pertandingan nyanyian untuk mengetengahkan bakat baru dalam arena seni suara tanahair bagi bangsa Tionghua. Vincent sendiri merupakan pemenang naib juara Chinese New Talent Astro Quest itu. Dimulakan pada tahun 2003, Musim ke-2 Akademi Fantasia dikatakan bakal menyajikan ‘persembahan’ yang lebih mantap, sensasi dan mungkin, lebih kontroversi. Menurut Ketua Program Astro, Encil Zainir Aminullah, idea gagasan Akademi Fantasia masih sama seperti musim yang lepas, iaitu untuk melahirkan generasi pelapis yang seratus peratus dipilih oleh penonton sendiri dalam bidang seni suara tanahair. Kata beliau, lebih ramai yang berpuas hati daripada tidak apabila menggunakan undian SMS pada musim pertama AF kerana rata rata bersetuju dengan cara ini di mana setiap penghibur diundi berdasarkan elemen populariti dan bakat. Masyarakat itu sendirilah yang sebenarnya lebih layak untuk memilih, kerana merekalah penonton rancangan TV dan pendengar saluran radio.

Jadi apa ada dengan Akademi Fantasia? Sehingga penulis pernah terbaca satu pendapat penonton yang mengatakan lagu Menuju Puncak ciptaan Aubrey Suwito itu wajar menggantikan lagu NegaraKu sebagai lagu kebangsaan? Di mana daya tarikan AF yang sebenarnya? Sehingga syarikat TELCO terulung di Malaysia iaitu Maxis 012 sanggup menjadi penaja utama untuk rancangan yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai rancangan picisan yang tidak meninggalkan apa apa mesej kepada masyarakat ini? Semua ini berkisar daripada satu persoalan tunjang. Apa ada dengan Akademi Fantasia! Penulis mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak. Kerana pembacalah yang wajar menentukan berbaloikah wang ringgit yang dilaburkan untuk AF ini.

1. Bakat.

Kita imbau kembali keputusan AF yang memberikan kemenangan mutlak kepada Vince sebagai juara, Khai sebagai naib juara dan Azizi sebagai pemenang tempat ketiga sementara Nija dan Liza sekadar mampu berkongsi gelaran sebagai ‘the survivor pada konsert terakhir AF yang lalu. Penulis sekadar tersenyum sinis apabila mendengar sang juara berkata, ‘Bagi saya, kita semua pemenang.’ Bagi penulis mereka itu hanya pelakon circus yang berjaya memberikan pertunjukkan yang tidak kurang hebatnya. Paling tidak, lakonan mereka secara ‘live’ sangat menghiburkan. Jikalau dinilai secara komersial dan kritik, penulis rasakan Rosma yang lebih layak bergelar juara kerana beliau seorang sahaja yang boleh ‘menyanyi’. Penulis tidak mahu menjadi Ramli MS, tetapi hakikat memang pahit ditelan, itulah hitam putih kehidupan, Vince boleh menyanyi, rhythm nyanyiannya bagus, pitching, vocal dan semua syarat lain yang harus dipenuhi untuk bergelar penyanyi juga bagus tetapi showmanship beliau agak lintang pukang. Khai mempunyai lenggok gaya nyanyian yang sedikit rock, showmanship beliau juga agak cemerlang tetapi khai menyanyi secara mendatar sahaja, tidak banyak membunga bungakan lagunya agar nyanyiannya lebih fresh dan menarik. Apa bezanya memasang CD lullaby kalau hendak mendengar khai menyanyi lagu balada? Saya teringat Ramli MS pernah mengatakan suara Khai tiada di pasaran. Apakah itu bermaksud Khai wajar diketengahkan kepada peminat muzik tanahair? Bagi penulis, variasi suara beliau terlalu banyak. Ambil contoh Opik, vokalis Metalasia, Budak Kaca Mata, semua itu adalah ‘permata yang tercicir’, justeru itu suara Khai sebenarnya tidak perlu diketengahkan di pasaran. Azizi pula agak constant persembahan beliau. Tetapi vibratornya sangat berserabut. Terlalu professional sehingga tiada apa yang harus disampaikan penonton yang dahagakan sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain. Persembahan beliau juga sangat terikat kepada emosi semasa beliau. Nija – puteri rock yang punyai semangat tinggi untuk mempamerkan tenaga yang beliau miliki. Penulis berpendapat beliau terpaksa mencipta sendiri pitching melodi yang beliau mahu dalam sesuatu lagu kerana apabila beliau menyanyikan lagu komposer lain dengan nada beliau sendiri, saya rasa beliau bukan menyanyi tetapi menjerit. Seumpama Ziana Zain yang sering lari daripada pitching lagu beliau sendiri apabila membuat persembahan secara live untuk menimbulkan suasa yang ‘hoo-haa’. Sebagai penonton yang mempunyai sedikit sense of music, Nija dirasakan wajar dihantar untuk menjadi penjaja surat khabar lama. Satu kampong akan dikumandangkan dengan nada suara beliau yang extremely high voltage itu. Liza, Nana, Atie dan Azza pula sebenarnya pasu bunga yang diangkat untuk menyerikan pemandangan AF. Apakah fungsi mereka bergelar pelajar AF? Penulis rasa mereka hanya diketengahkan sebagai bahan gosip gosipan, saya tidak nampak di mana bakat mereka. Sahri sebenarnya boleh menyanyi, tetapi saya tidak tahu apakah konsep nyanyian yang lebih sesuai diberi kepadanya. Atau mungkin Malay Pop? Melihat gelagat beliau ketika menyanyikan lagu keabadian cinta teringatkan saya kepada artis seperi Ameng, Puteh, Fazley, Tomok dan penyanyi ‘kampung’ yang seangkatan dengannya. Sahri telah diberikan lagu yang bagus tetapi beliau tidak menunjukkan inovatif untuk memberi nafas baru terhadap lagu tersebut. Lebih lebih lagi apabila Sahri tidak datang dengan pakej. Dengan bakat beliau yang hidup segan mati tak mahu saya pasti lebih ramai lagi bakat nyanyian lain yang boleh diketengahkan menerusi AF. Burn dan Adi juga jatuh pada kategori yang sama. Sekadar setengah baldi tak akan tumpah bakat mereka. Mungkin lebih sesuai Burn teruskan karier beliau yang dulu sebagai peyai koir dan Adi pula menjadi PR artis. Alang alang dah popular! Jikalau AF ingin ketengahkan mereka berdua, nescara keihlasan AF untuk melahirkan generasi pelapis yang benar benar berbakat dalam bidang seni suara tanahair amat diragui. Rosma on the other hand biarpun tidak jelitawan seperti Liza, Nana, Atie dan Azza the pasu-s bunga, tetapi vokal beliau amat berpotensi untuk diketengahkan. Cara persembahan beliau amat versatile, mempunyai gaya seorang penyanyi yang sudah banyak pengalaman mengadakan persembahan pentas tetapi fresh. Rosma mengingatkan penulis terhadap 2 orang finalis Bintang RTM yang kecundang di pertandingan akhir, Misha Omar dan Siti Sarah. Kebijaksanaan Adnan Abu Hasan dan Ajai dalam usaha mengadun semula bentuk nyanyian Misha dan Sarah berjaya membawa mereka berdua ke pentas hiburan tanahair dengan sinar bintang yang lebih gemerlap. Seperti Misha dan Sarah pada awal kemunculan beliau, Rosma sebenarnya masih tercari cari di mana hala tuju beliau dalam arena seni suara. Beliau memerlukan seseorang untuk memberikan miracle kepada beliau. Seperti juga Sheila Majid, hanya peminat yang tidak buta tuli sahaja yang boleh melihat kredibiliti beliau. Jadi bakat agung ada pada Rosma, tetapi yang menjadi juara bukan beliau. Apa yang hendak penulis katakan di sini? Memekik selepas tangga sudah siap dibina? Penulis sendiri tidak pernah mengeluarkan 1 ringgit untuk mengundi Rosma, kerana penulis bukan penonton sasaran Astro yang sanggup mengeluarkan duit biarpun 10 sen. Cuba bayangkan kalau undian SMS itu percuma, pastikah Vince akan kekal di dalam carta sebagai sang juara?

2. Populariti

Semua pelajar AF sebenarnya telah meniti populariti yang agak terlampau sebelum masanya. Mereka sebenarnya telah bergelar selebriti sebelum graduation day lagi. Kesungguhan pihak Astro untuk terus memaperkan wajah mereka di kaca TV amat wajar dipuji. Tidak cukup dengan 9 konsert yang sedia dirancang, wajah mereka juga disogokkan kepada penonton saban minggu dalam Diari Akademi. Populariti meraka juga memuncak apabila mereka disensasikan terus dengan gosip percintaan yang tidak berasas, semata mata untuk tujuan promosi. Penulis sekali lagi tersenyum sinis apabila Vince sendiri mengakui bahawa sebenarnya beliau lebih rapat dengan Nija daripada pasangan gosipnya Liza. Tetapi alhamdulillah, penonton menyukai cara sebegini dan merelakannya. Tidak kurang juga yang mendoakan kebenaran gosip cinta mereka. Jadi inikah caranya AF meraih populariti? Penulis belum pernah mendengar Amy Mastura pada awal kemunculan beliau sejurus selepas diumumkan sebagai Juara Asia Bagus menggunakan taktik kotor ini untuk mengumpan peminat. Bakat beliau memang diakui menerusi pertabalan juara tersebut sehingga membuka mata para peminat seni suara tanahair untuk membeli produk yang beliau hasilkan. Baca kembali statement Encil Zainir Aminullah. Apakah kaitannya antara matlamat AF dengan hasil yang beliau tuntut sebagai sangat memuaskan itu? Penulis melahirkan rasa kesal dengan AF, undian SMS memang wajar digantikan dengan juri professional. Paling tidak biarlah kadaran itu diubah menjadi 50-50. Dengan cara ini, seorang bintang baru boleh dilahirkan dengan populariti yang dipilih oleh masyarakat, tetapi bakat mereka juga dijamin.

3. Rupa

Adalah sukar untuk dinafikan AF membawa beberapa orang rupawan dan jelitawan untuk menjadi daya tarikan kepada penonton. Vince, Khai, dan Adi adalah rupawan yang agak berkualiti. Manakala Liza, Nana, Atie dan Azza adalah the pasu-s bunga yang tidak kurang hebatnya. Azza sendiri pernah muncul sebagai pasu undangan dalam filem Idola. Dan penulis melahirkan perasaan pelik sejurus selepas melihat persembahan Azza, Atie dan Nana dalam konsert yang pertama. Bagaimana mereka boleh muncul di kaca TV sebagai seorang bintang baru yang bakal gemerlap sedangkan mereka sendiri langsung tidak mempunyai asas nyanyian yang sewajarnya? Tergamak AF meletakkan tempoh lebih kurang 2 bulan untuk mengangkat mereka sebagai ‘bakat baru yang bakal bersinar’. Tempoh 2 bulan itu bagi penulis hanya cukup untuk mengajar mereka mengerti sense of music. Tidak lebih dari itu, tetapi agak malang(bertuah?) kita sudah boleh mendengar produk rakaman mereka dalam versi ‘studio recording’ selepas konsert yang ketiga. Bagaimana hasilnya? Tepuk dada tanya selera!!! Dan nama mereka terus meletup mengalahkan artis baru sedia ada yang jauh lebih berbakat seperti Naufara, Nurfatima, Azharina dan Malissa yang tidak sejelita the pasu-s bunga. Alangkah tidak adilnya masyarakat kita yang dikatakan ‘mendewa dewakan’ seorang artis yang dibawa untuk dijadikan bahan sogokan sedangkan Bintang Akademi Fantasia pula dipilih hanya berdasarkan sentimen, naluri dan minat individu semata mata tanpa mengira kriteria yang lebih profesional. Kalau benar dakwaan ini, di mana keikhlasan AF untuk mengetengahkan bakat baru yang benar benar berkualiti?

4. Realiti

Satu satunya kelebihan bintang yang dilahirkan oleh AF berbanding bintang yang diketengahkan oleh para komposer ialah elemen realiti. Penonton menyaksikan suka duka seseorang pelajar diundi keluar, menangis untuk mereka yang kecundang (even though they deserved it) dan bergembira dengan gelajat dan jenaka mereka ketika siaran Diari Akademi. Penonton juga memang diperkenalkan dengan salasilah, asal usul mereka, minat, hobi dan segala yang berkaitan dengan mereka hasil daripada explosure mereka yang sangat terlampau itu. Pendek kata, mereka adalah bintang yang lebih ‘dekat’ dengan penonton. Masing masing sudah ‘berkenalan’ dan sudah ‘test power’ sebelum pelajar AF boleh mengeluarkan sebuah album untuk dijadikan santapan. Masing masing juga sudah tertanam perasaan sayang sebelum medan perhitungan sebenar dimulakan. Tidak hairanlah kenapa kumpulan Ruff Edge dan VE memerlukan masa tidak kurang daripada 3 hingga 5 tahun untuk menjaja muzik mereka. Penonton tidak kenal dengan mereka, maka penonton tidak cinta dengan muzik yang mereka bawa biarpun muzik yang mereka bawa itu mempunyai nilai seni dan komersial yang jauh lebih berpontensi untuk membawa status ‘penghibur’ yang sebenar. Berbanding dengan masa 9 minggu, saya bersimpati dengan Ruff Edge dan VE yang sangat saya minati genre muzik yang mereka bawa itu. Bagaimana masyarakat kita sebenarnya gemar disuap dengan bubur daripada mencari sesuap nasi. Apa perlunya AF sedangkan para komposer seperti Johan Nawawi, Fauzi Marzuki, Azmeer, Ajai, Adnan Abu Hassan, Loloq, Helen Yap dan sebagainya ternyata lebih mampu untuk menilai bakat seseorang? Apa ada pada AF?

5. Undian SMS

Cara undian SMS dikatakan sebagai cara yang paling adil kerana ia mengambil seratus peratus keputusan undian SMS penonton untuk dijadikan keputusan yang muktamad. Faktor inilah yang sebenarnya paling tidak penulis persetujui. Pihak Astro sudah pasti mengaut untung yang boleh mencecah angka berjuta juta hasil daripada kutipan yang sangat lumayan daripada SMS center. Taktik perniagaan yang menunjukkan win-lost situation dalam bahasa business conversation ini sangat merugikan kita sebagai pelanggan Astro. Kita sebagai pentonton Astro sudahpun membayar segala caj perkhidmatan, cukai ini dan itu kepada Astro tetapi mengapa Astro masih mahu mengutip bayaran daripada penontonnya jika mereka ingin menyertai sesuatu aktiviti yang diwujudkan oleh Astro? Ini sudah menjadikan Astro sebagai mata duitan pada pandangan penulis. Bukan sahaja penulis meragui ketelusan penggunaan undian SMS sebagai keputusan muktamad tetapi penulis juga meragui keikhlasan di sebalik taktik SMS ini. Pihak Astro mungkin boleh mengatakan hasil kutipannya yang berkadar berapa peratus akan didermakan kepada si fulan bin fulan tetapi kenapa menggunakan duit penonton lagi? Ini adakah tindakan yang sangat rakus kerana ini pasti menggalakkan sanak saudara, sahabat handai, penghulu kampong, rakan sekelas, rakan sekuliah dan rakan sepejabat mereka mengkerapkan aktiviti penambahan baki telefon bimbit mereka agar memberikan lebih banyak undian kepada ‘saudara mara’ mereka! Jikalau benar pihak Astro prihatin akan kebajikan penonton mereka, cara sebegini wajar dimansuhkan. Paling tidak jumlah undian SMS tidak harus digunakan sebagai keputusan muktamad AF. Atau paling minima, setiap nombor telefon bimbit hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap konsert bukannya unlimited. Ia tidak telus!

6. Pengkritik.

Fungsi pengkritik dilihat sebagai lebih kepada penyeri konsert daripada memberi kritikan. Kudsia Kahar contohnya lebih sesuai digelar ‘penasihat’ atau ‘pemberangsang’ daripada pengkritik. Penulis belum pernah melihat seorang ‘pengkritik’ memberikan kritikan yang membina kepada pelajar AF dalam mana mana konsert melainkan Ramli MS. Itupun ‘keberanian’ beliau disekat lantaran ‘keagresifan’ penonton yang seakan tidak merestui kritikan pedas beliau. Ini bukan sahaja menyekat ‘kelaseran’ Ramli MS malah ia turut bakal menjadikan beliau ragu ragu untuk mengatakan yang benar. Penulis ingin mengambil contoh persembahan Atie semasa mendendangkan lagu Inggeris Save The Best For Last dan persembahan Nana semasa menyanyikan lagu Halaman Cinta. Mereka langsung tidak dikritik biarpun persembahan mereka teramatlah buruk untuk menjadi tatapan penonton TV. Para pengkritik yang hadir cederung memberi kata kata semangat daripada point out masalah dan kelemahan mereka semasa melakukan persembahan. Para pengkritik juga cenderung menjadi pengampu. Atas dasar apa itu penulis tidak pasti tetapi kata kata pujian yang manis sentiasa lekat di bibir jikalau seorang pelajar itu melakukan sedikit pembaharuan. Ini menjadikan program ini tidak telus dan penuh kepura puraan.

Hasil daripada analisis ini, penulis ingin memberikan sedikit buah fikiran.

1. Cara undian SMS secara total dimansuhkan. Pertandingan AF wajar berlangsung dengan adil dengan kehadiran juri professional yang lebih bertauliah.

2. Pengkritik wajar menjalankan tugas mengkritik, bukan ‘penasihat’ atau ‘pemberangsang’.

3. Pencarian pelajar baru wajarlah berlandaskan bakat yang benar benar boleh diketengahkan. Penyanyi kelab pagi atau malam tidak diperlukan. Bakat yang diketengahkan haruslah mempunyai nilai komersial dan seni yang seimbang. Mereka haruslah mempamerkan sesuatu yang unik dan fresh. Tiada duplikasi dibenarkan. Boleh mewakili konteks Malaysia dan berupaya mengembangkan bakat ke arena antarabangsa. Rupa paras tidak wajar dijadikan tiket untuk bergelar pelajar AF.

4. Kod tatacara perjalanan AF diwujudkan dan dikawal rapi. Adegan adegan yang kurang sedap dipandang harus ditegah sama sekali.

5. Aznil Nawawi tidak perlu dikekalkan sebagai pengacara AF. Pilihlah pengacara yang lebih beretika dalam penuturan dan pemilihan diksi. AF tidak perlu disensasikan oleh pengacaranya dan pengacaranya juga tidak perlu disensasikan oleh AF. Cukuplah masing masing bertindak sebagai pelengkap untuk memenuhi kehendak penonton.

p/s: Penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari Azlin yang sudi berkongsikan pengetahuan mengenai AF dengan penulis. Begitu juga Leha yang sudi mencabar agar review AF ditulis. Terima kasih.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on March 12, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: