Populariti harus seiring bakat

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Hanisah Selamat dan Nurulhisham Abdul Latiff

KEMENANGAN artis dan selebriti dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 (ABP-BH 2003) memberi petunjuk dalam aliran industri hiburan tanah air bahawa populariti akan datang kepada seseorang itu selepas bakat sebenar dibuktikan. Paras rupa, bentuk fizikal dan imej penampilan bukan lagi ukuran utama. Untuk menjadi popular, seseorang artis harus mempunyai sikap daya saing yang positif dan kreativiti tinggi untuk mengetengahkan bakat seninya, selain bekerja keras mempamerkan hasil kerja terbaik bersama publisiti yang berterusan.

Itulah antara pendapat yang diluahkan beberapa pemenang ABP-BH 2003. Populariti yang seiring dengan bakat, dibayar dengan harga begitu tinggi iaitu penghargaan daripada peminat menerusi acara anugerah seperti ini.

Antara bakat dan populariti, kedua-duanya perlu bergerak seiring. Justeru, selepas sekian lama membina nama, tidak dinafikan terdetik di hati setiap anak seni untuk menerima pengiktirafan atas bakat dan perjuangan mereka.

Situasi itu turut dialami penerima trofi Pengacara TV Lelaki Popular, Aznil Nawawi. Selama 14 tahun berjuang, ternyata malam kelmarin menjadi detik paling bermakna buat kerjaya seninya sesudah membina populariti sebagai pengacara Akademi Fantasia musim pertama dan kini Melodi.

Kemenangan yang pastinya memberi semangat buat bapa kepada dua cahaya mata ini untuk terus berusaha melakukan yang terbaik.

Begitu juga penerima trofi Artis Komedi Wanita Popular, Sheila Rusly. Selama 17 tahun meniti hidup sebagai pelakon, dalam hatinya bergumpal keinginan untuk membawa pulang satu trofi.

Nyata, doa Sheila selama ini menjadi kenyataan dan penerimaan trofi itu dilihat sebagai satu kebanggaan terhadap pencapaian dirinya. Sekalipun tahun lalu, pelakon dan pengacara popular ini dihimpit kontroversi, jelas di sebalik kesukaran itu peminat sentiasa berdiri kukuh di belakangnya.

Suasana yang sama turut dirasai penerima trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular, Exists. Kumpulan ini juga sudah 14 tahun bergelumang di pentas hiburan. Justeru, kemenangan mereka dilihat sebagai kesinambungan keunggulan dalam beberapa acara terdahulu.

Sejak mengukuhkan semula kedudukan menerusi album Ada, disusuli Seperti Dulu, populariti Exists kembali hangat. Kehangatan itu membolehkan mereka membawa pulang trofi Artis Kumpulan Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2004 di Singapura, baru-baru ini..

Sebelumnya, Exists menerima dua trofi pada Anugerah Era 2003 iaitu kategori Anugerah Band Pilihan dan Lagu Rock Pilihan menerusi Percayakan Siti. Begitu juga Penyanyi Lelaki Popular, Anuar Zain, selepas beberapa kali namanya tersenarai dalam Top 5, penyanyi Keabadian Cinta buat pertama kali membawa pulang trofi itu.

Dua nama baru yang ternyata paling menyerlah tahun lalu tentunya, Hazami yang meraih trofi Artis Baru Lelaki Popular dan Misha Omar yang sekali lagi mencuri tumpuan apabila merangkul trofi Artis Baru Wanita Popular.

Bagi kategori itu, Hazami menepis saingannya, Puteh serta tiga pelakon baru, Ezany, Munir (Phyne Ballerz) dan Rashid Salleh. Hazami tidak pernah meletak harapan tinggi, justeru kemenangan itu cukup memberi erti kepada dirinya yang mula bertapak menerusi album Tekad, Redha, Tabah.

Misha seperti dijangkakan memenangi trofi Artis Baru Wanita Popular. Kemenangan yang disifatkannya sebagai pemberi keyakinan untuk terus berusaha menggilap kejayaan akan datang tambahan pula, ketika ini Misha melancarkan satu lagi cabaran baru dalam kerjaya seninya dengan membintangi filem terbaru arahan Datuk Yusof Haslam, Gerak Khas 3.

ABP-BH 2003 juga memperlihat beberapa pemenang merampas kembali trofi yang gagal dipertahankan tahun lalu. Bekas pengacara Nona, Normala Samsudin mengungguli semula trofi Pengacara TV Wanita Popular selepas jatuh ke tangan Raja Azura pada musim lalu.

Begitu juga pemenang Penyampai Radio Lelaki Popular, Halim Othman yang meraih kembali kemenangan selepas tahun lalu trofi itu berpihak pada Andy Hakim.

Saiful Apek bukan saja membuat kejutan pada kategori tertinggi, Bintang Paling Popular tetapi menewaskan Rosyam Nor bagi kategori Pelakon TV/VCD Lelaki Popular. Apek juga mempertahankan trofi Artis Komedi Lelaki yang dimenanginya tahun lalu.

Sesuatu yang pasti apabila Siti Nurhaliza masih begitu sukar digugat popularitinya hingga kekal buat kali ke tujuh mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular walaupun dicabar hebat empat muka baru dalam kancah nyanyian – Ezlynn, Misha, Sarah dan Waheeda. Sebagai satu-satu penyanyi senior dalam kategori itu, anak Kuala Lipis, Pahang itu belum mampu d**ekan dan masih unggul pada kelas tersendiri.

Sejak diperkenalkan pada ABP-BH 2001, trofi Penyampai Radio Wanita Popular hanya mempunyai seorang pemiliknya yang kekal untuk musim kali ini – Linda Onn. Penyampai radio Era itu kukuh mempertahankan trofi berkenaan yang nampaknya begitu sukar juruhebah wanita lain cuba menepisnya.

Diva filem Melayu masa kini, Erra Fazira pula membuktikan popularitinya tetap di puncak apabila trofi Pelakon Filem Wanita Popular menjadi miliknya buat kali keempat. Heroin filem Cinta Kolesterol dan Kuliah Cinta itu nampaknya mula serasi dengan trofi itu sejak memenanginya buat pertama kali pada musim 2000. Dia dijangka akan terus bertahan lagi apabila bakal muncul dengan filem Hingga Hujung Nyawa dan Tujuh Perhentian.

Abby Abadi, anak didik pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam juga menyinar untuk kali keempat menerusi trofi Pelakon TV/VCD Wanita Popular. Walaupun sudah berkahwin dan menjadi ibu, populariti Abby belum tercalar.

Rosyam mungkin sudah tidak menyengat lagi. Namun, pelakon yang menyerlah menerusi filem Jimi Asmara, Lenjan dan KL Menjerit itu dan bakal muncul dengan Berlari Ke Langit tetap mampu mempertahankan trofi Pelakon Filem Lelaki Popular yang mula dipegangnya sejak 2001 dan sebelumnya pada 1998 dan 1999.

Rabbani pula terus mengungguli kategori Artis Nasyid Popular sejak merampasnya daripada Raihan pada ABP-BH 2001. Rabbani terus unggul buat kali ketiga berturut-turut biarpun mendapat saingan daripada dua kumpulan nasyid junior, In-Team dan UNIC.

Kategori Artis Bukan Melayu Popular terus berpihak kepada pelakon kacak, Hans Isaac yang merampasnya daripada tangan Sathiya sejak musim lalu. Namun, paling bermakna apabila buat pertama kali bintang Laila Isabella itu berpeluang mengambil sendiri trofi berkenaan selepas tahun lalu, Hans tidak hadir kerana kesihatan ibunya.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on March 16, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: