Club 8: Citarasa yang berbeda

Prolog

Keghairahan untuk mencari muzik yang sebati dengan jiwa menemukan saya dengan Club 8. Sebagai pelanggan yang cukup setia dengan sebuah music store di Bukit Bintang Plaza, saya dihadiahkan ‘permata yang tercicir ini’ – Club 8. Saya tidak pernah menduga niat sebenar pekedai menghadiahkan sebuah CD yang teramat ironi dengan genre muzik pilihan lazim saya, funk rock, rap core, nu-metal, hipdop hard, punk rock, ska punk dan yang sewaktu dengannya, tetapi katanya – free. Ketika itu usia saya baru menjangkau 18 tahun. Ia kemudian mempertemukan saya dengan Andrea Boceila, Sarah Brightmen, Rusell Watson, Enya dan beberapa orang pemuzik New Age dan Classical yang lain.

Lebih kurang 2 minggu ia terkubur di sebuah sudut di mana CD saya tertimbun. Entah bagaimana hati cukup tertarik dengan kulit album ini ketika sepi melanda menyelubungi diri. Maka belayarlah sebuah bahtera ilusi, dengan tarian gumpalan asap dari putung rokok Dunhill, saya terjurumus dengan miracle music from soul ini. Ia menghadiahkan sebuah kedamaian, keunikan dan khayalan.

Saya dituduh sering berlaku kejam terhadap diri sendiri. Masakan tidak, saya suka menghidangkan bingit kepada diri sendiri dengan lagu lagu yang high picth, yang metal dan berat ketika gusar melanda di hati. Saya percaya hanya kebingitan ini yang boleh mengusir kegusaran ini daripada terus mencengkam dan bermaharajalela di sanubari. Implikasinya jelas, saya menjadi pengunjung setia penjara sunyi, lebih gemar menyendiri dengan pergolakan emosi yang tidak berpangkal dan sering menemui jalan buntu – seperti mainan muzik core yang dirantaii besi besi karat, sukar melepaskan diri daripada segala kacau bilau yang entah di mana punca dan nokhtahnya. Justeru saya mula memikirkan teori Chopin: music yang lembut, yang ringan dan yang harmoni akan menerbangkan jiwa anda ke taman syurga; music yang keras, yang berat dan bising akan memandu jiwa anda ke neraka. Mungkin.

Intro

Berasal dari Sweden, Club 8 merupakan sebuah kumpulan duo yang dianggotai oleh Karolina Komstedt sebagai vokalis dan Johan Angergard sebagai komposer, penyanyi latar dan pemain muzik. Satu keistimewaan Johan Angergard ialah beliau mahir mengendalikan hampir kesemua jenis alat muzik utama. Saya sifatkan karya beliau mempunyai sensibiliti yang sukar dimengertikan. Muziknya boleh menyelami dasar sanubari seseorang yang sesat mencari identiti sehingga mengubati luka yang bercambah dari hati – menyelinap masuk ke sistem saraf, kemudian merangsang penerimaan ‘kewujudan’ keindahan yang abstrak. Sukar dimengerti? Cukuplah saya katakan ia bukan muzik yang melankolik, jauh sekali muzik yang menyayat hati. Ia seperti new age tetapi bukan new age. Ia adalah muzik yang berasal dari hati – untuk hati. Teramat seni.

Apresiasi

Club 8 mengedarkan album pertama mereka – Nouvelle pada tahun 1996. Kemunculan mereka dengan muzik yang segar dan tersendiri berjaya meraih minat pendengar muzik Jazz-Bosaa Pop, sebuah genre muzik yang sangat mementingkan permainan emosi dan penghayatan nurani. It’s just simple and nice. Ketika itu Johan dan Karolina masih berusia awal 20an. Mengimbas kembali lagu lagu daripada album pertama mereka seakan meleburkan saat saat bahagia yang dibekukan oleh peredaran masa. Pada tahun 1997, mereka beralih dari pasangan cinta menjadi kawan biasa. Maka terlahirkan album kedua mereka – The Friend I Once Had. Album ini sebenarnya satu tribute untuk sejarah perhubungan cinta mereka. Lagu lagu seperti I Wish You’d Stay, The End of Affair dan sebagainya seakan mahu mengajak pendengar mereka menghayati setiap rakaman sejarah percintaan mereka. Pemilihan tema sebegini pernah dikritik sebagai mempropagandakan kehidupan peribadi mereka namun saya melihat ia sebagai salah satu cara bagaimana mereka menghargai dan menghayati detik detik yang tidak mungkin berulang itu. Biarpun sudah berpisah, kolaborasi mereka masih kukuh.

Club 8 tidak pernah kedekut dengan perkongsian idea muzik mereka. Andai kata lagu Emma’s House daripada The Field Mice dijadikan sumber inspirasi mereka untuk mencuba variasi muzik yang lebih pelbagai khususnya indie-pop, maka album yang diberi judul yang sama dengan nama kumpulan mereka Club 8 berjaya meletakkan kumpulan ini sebagai breakthrough artist yang berbakat besar pada tahun 2001. Selepas menyepikan diri selama 4 tahun, keserasian mereka mula menyerlah dan mendapat perhatian pemerhati muzik antarabangsa. Nama Johan Angergard mula disebut sebut di dalam journal muzik New Age antarabangsa yang agung seperti New Age dan lain lain. Johan mula mengadaptasikan instrumen berelektronik di dalam karya mereka. Gandingan ini mula keluar dari kepompong dan menyerlah menjadi bintang yang brsinar. Johan mula bergelar musician yang berkelas dunia, karyanya mendapat sambutan hangat dan album mereka mencatatkan jualan yang membanggakan biarpun mereka tidak mempertaruhkan muzik mainstream.

Album keempat mereka menemui pasaran pada 2002. Adaptasi persembahan piano dan vokal yang begitu cemerlang mengangkat kredebiliti dan populariti mereka ke tahap yang lebih tinggi. Mainan melodi piano Johan seakan deraian air hujan yang menitik setitik demi setitik. Ia menghadiahkan sebuah pelayaran muzik yang lebih catchy tetapi masih lagi kaya dengan identity sendiri. Andai anda meneliti suara selamba Karolina semasa mendendangkan bait bait ‘if you want me now, you don’t have to try so hard’, anda pasti terpukau dengan suara songbird ini. Mengasyikkan! Dan lebih membanggakan lagi, Club 8 mula melangkah lebih berani ke hadapan, album ini menyaksikan kedewasaan Johan dan Karolina – dari seorang remaja hinggalah orang dewasa yang sudah mempunyai ideologi muzik yang mantap dan tersendiri. Perjuangan mereka lebih teratur dan sistematik, malah mereka sudah boleh demand kerana nama Club 8 mula tersenarai sebagai khazanah seni muzik yang terpelirhara, world class standard dan diiktiraf. Dalam album ini juga mereka cuba mengetengahkan lebih banyak sound effect dan electrical instrument. Tidak kira trip hop atau contemporary new age, anda akan dapati muzik mereka seakan muzik di angkasa lepas, kerana kesan ruang dan space mereka sangat menonjol. Di samping itu persembahan mereka dalam album ini sudah boleh dikatakan ‘matang sepenuhnya’.

Selama 7 tahun usia perjuangan dan perjalanan muzik Club 8, album Strangely Beautiful menyaksikan kelainan yang tidak terduga. Album ini memperlihatkan bagaimana seorang budak lelaki dan budak perempuan yang pada mulanya bergelumang dengan dunia muzik yang hanya mereka sahaja yang mengerti kini sudah cukup dewasa untuk menafsir sebuah perjuangan dalam dunia seni muzik. Mereka mula menjaja ideology muzik mereka yang lebih komersial dan trendy tetapi pengekalan nilai nilai asal Club 8 masih belum goyah ditiup angin arus perdana. Cuma mereka ligat mengasimilasikan pengalaman muzik mereka ke dalam karya. Setiap lagu yang dipersembahkan dalam alum ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Saya boleh merasai keikhlasan mereka. Tahun 2003 menyaksikan Club 8 meneruskan eksperimen mereka untuk mevariasikan genre muzik yang diperjuangkan dalam album ini. Johan mula mengetengahkan rock and roll dalam single ‘Saturday night engine’ – sesuai dengan permintaan semasa.

Epilog

Saya bukan seorang pemuja noisemaker semata mata. Saya tidak nafikan saya juga memerlukan ‘chicken soup’ seperti ini – ringan dan segar. Nikmati muzik Club 8 bersama secangkir kopi dan sebatang rokok cukup merelaxkan. That’s the way I like it!

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on March 27, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: