The Passion Of The Christ: Antara antropomorfisme dan komersialisasi budaya kristian.

Prolog

Saya mengakui fikiran saya terjurumus bersama penghayatan watak Jesus Christ yang dimainkan oleh James Caviezel sejurus habis menonton filem ini. Biarpun menonton filem The Passion Of The Christ ini tidaklah memerlukan imaginasi latar dan kefahaman fakta yang rumit seperti membaca novel novel Dostoecsky atau Henry Miller tetapi fikiran saya sangat ligat berputar – menjadikan filem ini semakin menarik pada pandangan saya. Sayangnya polisi di Malaysia tidak mengizinkan filem yang menyentuh isu sensitif seumpama ini ditayangkan. Jika tidak pasti anda akan bersetuju dengan saya. It was great! Saya anggap pembaca faham garis panduan yang diberi oleh Finas tetapi saluran lain masih ada – atas ikhtiar dan usaha anda sendiri.

Publisiti dan populariti

Memberi nilai budaya kepada sesuatu karya komersial itu lazim, dan jarang menimbulkan agenda yang membingit. Tetapi mengkomersialkan konvensi budaya itu memang meraih kontroversi. Lebih lebih lagi konvensi yang berunsurkan tema keagamaan. Implikasinya jelas berdasarkan pengalaman dari rentetan sejarah itu sendiri. The Passion of The Christ, sebuah karya ulung Mel Gibson berjaya mendapat publisiti percuma yang tidak diundang – kerana menjadikan bahan konvensi berunsur agama sebagai tema filem. Sebelum ditayangkan lagi filem ini sudah menjadi perhatian umum dan kenyataan ini bukanlah sesuatu yang terlalu dangkal untuk disangkal. Buktinya, Akademy Awards baru sahaja melabuhkan tirainya hampir genap sebulan yang sudah. Kegemilangan yang digapai oleh LOTR: The return of the king baru sebulan cuma mendapat liputan di dada dada akhbar, kini hampir kesemua trail blazer dan media di barat sudah mengalihkan fokus mereka kepada Mel Gibson, kerana The Passion Of The Christ.

Tha Passion Of The Christ terhasil dalam kontroversi. Ia bukan sahaja melibatkan perang kertas dan mulut antara golongan sekularis dan gereja tetapi kesannya tampak kepada golongan selain sekularis dan gereja. Ya, golongan Islam, dan penganut agama yang lain. Kontroversi dari sudut yang bagaimana? Secara peribadi, saya menyimpulkan bahawa – kerana konvensi budaya adalah hak mutlak sesuatu komuniti yang mempercayai dan mengamalkan budaya tersebut. Ia mungkin bercanggah dengan budaya dan penerimaan komuniti yang lain. Memfilemkan konvensi budaya dan menayangkannya di serata dunia seakan mempropagandakan hak mutlak komuniti sesuatu ras, agama atau negara untuk tujuan memprotes, bermegah dan kemudiannya menakluk. Lebih lebih lagi wahana yang dipilih ialah layar perak bollywood – kilang filem milik sedunia. Konvensi ini bukannya konvensi yang remeh temeh, tetapi ia soal dunia dan akhirat. Mempertaruhkan tema keagamaan untuk tujuan komersial nyata meraih tafsiran yang pelbagai kerana masing masing ingin melihat apakah kesalahan fakta yang boleh diterkelirukan dan apakah bentuk protes dan penafian filem tersebut terhadap esistensi agama, budaya, kepercayaan dan amalan yang lain.

Apresiasi

Ada apa dengan The Passion Of The Christ? Secara tidak langsung, filem ini memperlihatkan bagaimana penganut agama kristian mengapresiasi Tuhan mereka – Jesus Christ dan memindahkan keagungan Tuhan mereka dari sudut hati sehingga ke layar perak. Selama ini dunia barat cenderung melihat Tuhan sebagai satu kewujudan yang abstrak. Sesuatu yang abstrak memerlukan imaginasi untuk menafsir kebenarannya. Maka ia dikatakan sebagai kepercayaan semata mata. No harm for give it a try. Walaupun dunia barat itu sebenarnya begitu sinonim dengan Kristianisasi tetapi ramai juga para pemikir Eropah pada abad ke 19 yang menghuraikan Tuhan adalah negatif, dikaitkan dengan kuasa gereja; manakala kuasa gereja pula melambangkan tamak dan haloba. Maka lahirlah golongan free thinker yang sangat berpengaruh. Mel Gibson cuba lari daripada tuduhan ini. Apa yang pronya melalui filem ini ialah Jesus sebagai penyelamat, Jesus sebagai bukti keTuhanan. Beliau secara tidak langsung cuba mengajak penontonnya menyelami dasar sejarah agama Kristian dan cuba menyakinkan kenabian Jesus Christ. Berjaya atau tidak usaha Mel Gibson pula memerlukan pengamatan golongan itu sendiri. Secara peribadi, saya katakana partly berjaya.

Sebagai umat Islam, bagaimana pula saya menilai filem ini dari sudut spiritual selain teknikal? Ia sebuah filem yang mengembangkan minda fikir. Namun dasar konklusi saya jelas, ia menimbulkan kontradiksi diri terhadap penerimaan agama dan kepercayaan selain Islam secara umum dan Kristian secara khusus. Secara tidak sedar, filem ini menginterpretasikan keagungan Allah dan kebenaran Islam. Penonton harus bijak bermain dengan variasi fakta yang disalurkan.

Kontroversi

16 tahun yang lalu Martin Scorsese melalui The Last Temtation Of Christ pernah melakukan eksperimen yang sama. (Saya pernah berbalah dengan seorang pengulas filem popular mengenai nama Martin Scorsese.) Tahun 1973, Norman Jewison mempertaruhkan Jesus Christ Superstar (Saya pernah dimarah bodoh oleh seorang pensyarah kerana Norman Jewison) – turut mengundang kontroversi yang serupa. Nyata isu Jesus Christ atau nama nama yang sewaktu dengannya terlalu sensitif tetapi sensasi untuk dbahas, paling tidak – pada diri saya sendiri. Disebabkan sensitiviti dan sensasi inilah muncul 2 aliran konsepsi yang umum.

1. Golongan yang inginkan kelainan tema.

2. Golongan yang tidak mahu menerima isu agama sebagai kelainan tema.

Saya golongan yang kedua dengan alasan had dan limit saya ialah Al-Quran, as-Sunnah dan Hadis. Tidak kira yang termaktub secara terang benderang atau memerlukan tafsiran dan fatwa para alim-ulama, yang ditegah saya tidak akan persoal secara lanjut. Undang undang dunia yang Tuhan garis untuk kita ialah undang undang tetap – tidak memerlukan tolak ansur atau sebarang bentuk pertikaian yang lain. Atas keyakinan mutlak inilah saya menolak mentah mentah penerimaan golongan yang pertama dengan alasan golongan ini sebenarnya bukan inginkan kelainan tetapi penerimaan mereka saya sifatkan sebagai ‘membuktikan citarasa mereka berseni.’ Saya tidak tahu bagaimana garis panduan yang diguna pakai oleh penyokong Martin Scorsese dan Norman Jewison untuk menyatakan penerimaan mereka terhadap 2 nama besar ini tetapi saya memilih untuk menyuarakan unsur penolak yang menjadikan saya tidak mengiktiraf mereka. Mereka diagung – agungkan seperti seorang ahli fikir yang hebat dan mewakili status pemikiran yang bercitarasa tinggi. Golongan ini memuja seorang artisan paradoks yang menolak kebenaran tidak tampak – kewujudan Tuhan. Saya melihat mereka sebagai manusia realis yang mati mati percaya manusia adalah perubahan genetik, cara hidup dan peralihan dari seekor kera. Secara peribadi ini merupakan kejelekan minda dan pemikiran yang sangat nyata. Dengan alasan itu juga saya menolak bahawasanya hadiah Nobel yang diberi ke atas manusia seperti ini layak dipandang tinggi. Dan suka saya sifatkan pemujaan terhadap mana mana nama yang disenarai di dalam hadiah Nobel adalah pemuja status sosial semata mata. Tidak lebih dari itu.

Saya juga sedar jika saya memilih untuk berkata demikian, maka saya akan mengundang kontroversi. Hadiah Nobel adalah pengiktirafan kemuncak dunia intelektual. Ini klise. Tetapi saya punyai tafsiran yang berbeza kerana saya tidak pernah melihat kemayhuran pemenang hadiah Nobel sebagai sesuatu yang ada kena – mengena dengan peribadi atau keintelektualan saya. Paling tidak saya tidak dijemput untuk menjadi pengadil. Tetapi apa yang sangat saya pertikaikan ialah golongan yang terlalu taksub dengan status sebegini sehingga menafikan ketertinggian intelektual orang lain. Maka menilai karya Mel Gibson sebagai karya unggul hanyalah sentimen individu terhadap penghayatan sebuah ‘hiburan’ semata mata. Tidak perlu menyandarkan nama Hadiah Nobel. Namun kesan tidak tampaknya terlalu menonjol – apresiasi erti sebuah kehidupan dan penerimaan erti sebuah kelahiran dan kewujudan oleh golongan ini tidak telus.

Kritik

Seorang pengulas filem tersehor – Roger Ebert apabila mengulas Tha Passion Of The Christ menyatakan inilah the passion of Mel Gibson yang sebenarnya. Bagaimana seorang superstar yang jarang melangkah masuk ke dalam gereja untuk aktiviti keagamaan merakamkan penghargaan terhadap Tuhan di dalam filem. Tidak lain dan tidak bukan, beliau berkata Mel Gibson tahu ini boleh mendapat publisiti percuma melalui nama agung Jesus Christ. Kemudian membolot berbillion ringgit atas nama Jesus Christ. Tetapi ironinya Mel Gibson sudah tersenarai sebagai salah seorang pelakon paling kaya di dunia buat masa kini. Tahun 2000 sahaja beliau menerajui watak utama untuk 3 buah filem besar yang mencecah kutipan 1 billion. The Patriot, What Women Want dan Chicken Run. Filem Signs pula menjadi simbol kredibiliti beliau. Tetapi sepanjang penglibatan beliau, hanya The Passion Of The Christ sahaja yang benar benar meletakkan nama Mel Gibson sebaris dengan nama nama penggiat seni yang berjaya, bukan sebagai seroang pelakon, tetapi sebagai tulang belakang yang menerajui kamera. CNN melaporkan beliau akan mengaut keuntungan yang paling maksima hasil daripada filem ini. Antara duit dan apresiasi agama, hanya Mel Gibson sahaja yang boleh menjawab.

Di sebalik sudut agama, nilai estetik dan komersial filem ini sebenarnya boleh dibanggakan. Tetapi adalah telalu sukar untuk dinafikan peranan nama Jesus Christ dalam bicara kejayaan filem ini. Sebuah buku yang dipasarkan selari dengan promosi filem – The Passion terjual hampir 20 juta dalam masa yang amat singkat. Pertikaian pihak gereja dalam journal journal antarabangsa turut membantu publisiti filem ini. Ditayangkan pada penghujung februari yang lalu, kutipannya mencecah angka 1 billion dalam masa 5 hari. 2 Billion dalam masa 2 minggu. Nyata ia standing dengan filem filem main stream yang lain seperti Spiderman, siri LOTR, siri Harry Potter dan Matrix biarpun ia bukan khazanah dunia sejagat. Ini sebuah filem cinta. Filem cinta Jesus yang sangat menyayangi umatnya. Jesus mengorbankan diri demi menebus dosa umatnya. Filem TPOTC banyak menggarapkan fakta sejarah dan catatan Injil sebagai kronologi perilaku Christ. Pergolakkan antara musuh dan Christ digambarkan dengan sederhana tetapi kesannya mendalam. Tetapi yang paling sukar difahamkan ialah tingkah laku Tuhan Jesus Christ yang selalu berdoa kepada Tuhan yang ‘seorang’ lagi. Nama Tuhan tersebut tidak dinyatakan dengan jelas dan fungsi Tuhan tersebut tidaklah terlalu tampak melainkan ia bersama ‘angel’ bersebati dengan Jesus Christ menjadi Tuhan Kristian. Perkaitannya adalah seperti berikut: Jesus berdoa kepada Tuhan, Tuhan melalui ‘angel’ menyampaikan bantuan kepada Jesus. Tetapi ketiga tiganya Tuhan. Tetapi Tuhan bukan 3. Tuhan adalah Esa. Cuma ia terdiri daripada 3 orang. Sebab itulah saya katakan filem ini menyakinkan pegangan saya. Cuma saya memilih untuk tidak memaparkan persoalan saya di sini. Daripada rentetan filem tersebut, anda – sebagai Islam yang faham serba sedikit mengenai Allah, Islam, Nabi Muhammad, dan Nabi Islam sudah cukup memadai untuk menilai kebenaran agama Kristian. Bukan Jesus.

Pergolakan bumi Amerika yang mutakhir ini cukup genting dengan isu keganasan, kemelesetan ekonomi dan bencana alam mungkin menjadikan rakyat Amerika mencari satu bentuk kekuatan yang virtual untuk perlindungan jiwa dan raga. Maka filem ini lahir tepat pada masanya. Cuma filem ini hanya memaparkan 12 jam terakhir bagaimana Jesus menemui bencana sehingga dipaku di atas salib. Fokus filem ini ialah bagaimana Jesus bergelumang dengan darah, dengan musuh dan kematian, bukannya paparan bagaimana Jesus menggunakan mukjizat yang Allah kurnia untuk menyelamatkan umatnya. Jadi secara langsung, Mel Gibson mempertaruhkan ‘keganasan’ musuh dan ‘penyeksaan’ Jesus sebagai tarikan utama untuk merangsang daya pemikiran dan imaginasi penonton. Tatapi sandaran adegan adegan ini sudah cukup untuk mengembangkan kotak minda penonton bagaimana Jesus ‘die for all’. Seperti butiran air mata yang berpusar di kelopak mata, ia adalah hasil imaginasi saya terhadap keagungan Jesus semata mata.

Mungkin juga penonton memang menggemari filem keganasan. Jiwa remaja yang bergelodak mencari kepuasan melalui adegan keganasan yang dipaparkan menjadikan filem ini turut laris dikunjungi para remaja Amerika. Mungkin. Kerana ini terlalu lazim di Amerika. Sebut sahaja keganasan, kita sudah boleh bayangkan senarai panjang lebar filem filem sepanjang satu tahun yang jatuh pada klasifikasi ini. Yang tinggal hanya siapa yang lebih ganas sahaja. ‘Keindahan’ dan nilai ‘estetik’ adegan keganasan biarpun tidak wajar dijadikan fokus utama dalam filem ini namun ia perlu untuk memperlihatkan ‘keagungan’ Jesus Christ. Hero filem ini bukannya pejuang maruah bangsa, pejuang ideologyi politik atau pejuang kebebasan bercinta semata mata, hero filem ini adalah seorang manusia yang agung – Jesus Christ. Jadi apabila Mel Gibson menyinonimkan adegan ketumpahan darah dengan perjuangan Jesus, kesedihan yang melanda para penonton bukanlah sekadar tahap melihat bagaimana Jack mati di dasar laut dalam filem Titanic, tahap penyayatan jiwa itu cukup berbeza dengan filem komersial yang lain kerana pengamatan penonton bukanlah melihat lakonan para pelakon semata mata. Ini adalah sejarah dan ia benar benar berlaku.

Jadi garapan ini menjadi sandaran kepada daya penarik filem ini. Umat Kristian sudah pasti memberi sokongan. Non -christian pula sekadar ingin tahu. Manakala kebanyakan penonton apabila terlihat gambar seroang ‘lelaki’ yang bergelumang dengan darah – oh yes, I think this is a great movie. Bagaimana dengan golongan pencinta seni? Cukup saya katakan permainan sudut, set latar belakang, pemilihan lokasi, kostum dan bahasa yang digunakan sangat indah. Filem ini tidak menggunakan bahasa Hebrew, iaitu bahasa kitab Injil asal tetapi adaptasi bahasa Inggeris klasik yang mudah difahami dengan sedikit bahasa bangsawan berjaya memperindahkan filem ini.

Epilog

Berdasarkan sejarah kegemilangan seni lakon Mel Gibson, ramai yang berpendapat mungkin beliau cuba memberi peluang kepada muka muka baru untuk mencuba nasib supaya lebih ramai Mel Gibson akan diketengahkan. Sebab itulah beliau bertindak bekerja sebagai krew belakang tabir. Sebelum inipun beliau pernah mengarah filem The Man Without A Face pada tahun 1993 dan kemudian pada tahun 1995, beliau mempertaruhkan Braveheart yang berjaya menggondol Anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik dalam Akademi Awards. The Passion Of The Christ merupakan sutradaranya yang ketiga. Seorang pelakon kelas kedua yang agak berpengalaman – James Cavieel telah diangkat menjadi peneraju filem ini. Tindakan Mel Gibson yang menyedari beliau tidak mempunyai ciri ciri klasik dan penghayatan watak sedih, balada dan permainan emosi yang menyayat hati kemudian sanggup melepaskan peluang ini kepada calon yang lebih layak membuktikan beliau bukannya seorang yang ego, gila glamour dan individualistik. Dan berdasarkan gilem ini juga, saya mula melihat Mel Gibson sebagai seorang penggiat seni yang kreatif dan mistik – cukup berbeda dengan watak watak ‘macho man’ yang sering ditonjolkan dalam filem filemnya yang terdahulu seperti Mad Max, Lethal Weapon, The Patriot dan sebagainya.

Saya katakana saya benci dengan kontradiksi diri yang saya alami ini. Saya suka filem ini. Sangat suka. Tetapi saya bermain dengan emosi – kenapa saya wajar, harus dan sudah menyukai filem ini. Sebab itu saya benci. Melihat dengan mata dan melihat dengan hati nyata berbeza. Tetapi melihat dengan mata dan hati itu menyeksa. Atau harus saya balik ke masa terdahulu – sekadar melihat dengan mata.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on March 27, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: