Ulasan Album Soundtrack 30 Hari Mencari Cinta – Sheila On 7



Prolog

Satu fenomena yang sangat berbeza antara gelagat peminat filem Indonesia dan filem Malaysia ialah kepercayaan dan penerimaan kedua dua kelompok ini terhadap album soundtrack yang dipasarkan seiring dengan penghasilan sesuatu filem. Di Malaysia, rata rata lagu tema sesuatu filem akan terus diadaptasikan di dalam album artis yang diberi mandat untuk menyanyikan lagu tersebut. Jikalau adapun album soundtrack yang dihasilkan, ia tidak mendapat perhatian umum sebagaimana populariti filem tersebut. Di Indonesia pula, album kompilasi – yang terhasil daripada pemilihan pelbagai genre dan variasi lagu – yang dimuatkan di dalam album soundtrack cukup mendapat sambutan. Buktinya, soundtrack filem Apa Ada Dengan Cinta merupakan antara album terlaris tahunan pada tahun 2003. Terbaru, soundtrack filem Eiffel I’m In Love juga mendapat sambutan hangat di Malaysia biarpun filem itu belum sempat menemui pawagam di sini. Saya tidak menonton filem 30 Hari Mencari Cinta, tetapi naluri saya berkata soundtrack ini ada daya tarikan yang tersendiri. Inilah kepercayaan saya terhadap mutu dan kualiti filem dan muzik Indonesia atau lebih jujur, saya memang peminat Sheila On 7. Selepas mengamati keseluruhan album ini, nyata ia berbaloi dengan ringgit Malaysia yang dilaburkan dan hasilnya tidak menghampakan biarpun tidaklah terlalu baik.

Intro

Album ini merupakan kompilasi lagu lagu baru dan lama Sheila On 7 yang diadaptasikan di dalam filem 30 Hari Mencari Cinta. Saya pasti ramai peminat seni hiburan tanahair yang mengenali nama besar Sheila On 7. SO7 merupakan band dari sebarang yang berjaya meraih populariti yang begitu menakjubkan bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapore dan Brunei; apatah lagi di Indonesia, negara asal mereka sendiri. Mereka mula dikenali di Malaysia dengan lagu Dan dari album yang pertama. Kemudian lagu Sephia dan Sahabat Sejati dari album kedua mereka berjaya menjulang nama SO7 ke tahap yang lebih tinggi. AIM – Grammy Awards ala Malaysia sendiri pernah mengiktiraf kredibiliti dan bakat band yang agak berpengaruh di rantau ini.

Kritikan dan komentar

Saya tidak pasti sama ada filem 30 Hari Mencari Cinta itu memang menggunakan khidmat lagu dan core music SO7 sepenuhnya atau tidak tetapi album soundtrack ini memang diterajui oleh lagu lagu SO7 sahaja. Dominasi sebegini jarang berlaku di dalam mana mana filem yang pernah saya tonton sehingga kini. Ia memuatkan 10 buah lagu baru dan lama SO7 dan 6 daripadanya merupakan lagu lama yang diremix semula. Melainkan lagu J.A.P, lagu lama yang diremix semula – ‘Kita’, ‘Berai’, ‘Mari Bercinta’, ‘Sahabat Sejati’, ‘Tunjuk Satu Bintang’, dan ‘Kisah Klasik’ nyata memberikan feel yang berlainan dari segi susunan music dan gubahan melodinya. Kali ini SO7 mengambil inisiatif untuk ‘meringankan’ lagu lagu ini dengan memberi sentuhan akustik yang tidak kurang hebatnya. Manakala lagu lagu baru ‘Melompat lebih tinggi’, ‘Untuk Perempuan’, ‘Berhenti Mengharap’ dan ‘Menyelamatkannya’ pula masih mengekalkan identiti SO7 sebagai sebuah band ska, funk dan pop rock yang saya kira trademark yang stereotype tetapi tidak menjemukan.

Saya memberikan 4 bintang kepada Eross kerana bakat beliau nyata setanding dengan pemuzik punk rock barat yang ada seperti Jimmy Eat World dan 3 Doors Down yang mempunyai pengaruh tersendiri. Beliau berjaya meletakkan SO7 sebagai sebuah band yang punyai identiti yang unggul dan disenangi ramai hasil penerbitannya yang cukup cemerlang. Lagu-lagu ciptaan beliau adalah lambang kualiti SO7. Biarpun tidak menampilkan perubahan yang drastik namun kelainannya masih ada. Sekalipun hanya 40 peratus sahaja lagu di dalam album ini merupakan lagu baru, namun 9 daripada 10 lagu yang diselitkan merupakan karya Eross. 1 lagi lagu lama ‘Mari Bercinta’ pula dihasilkan oleh drummer Anton. Dan menurut salah satu sumber yang saya baca, Eross juga berlakon dalam movie ini. Cuma saya rasa Eross perlu lebih inovatif untuk mempelbagaikan rentak dan melodi muziknya. Beliau sudah cukup kreatif. Tetapi dengan mempertaruhkan kualiti lagu yang sama samata mata tidak memadai untuk mengekalkan populariti mereka. Eross perlu mengadaptasikan lebih banyak elemen baru dalam karya beliau khususnya dalam susunan muzik supaya memberi nafas baru terhadap imej SO7 secara keseluruhan, Dalam senario band Indonesia yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, pembaharuan adalah kaedah survival yang mutlak. Saya percaya band yang tidak berganjak seiring dengan kemajuan teknologi dan ideologi akan cepat luput ditelan arus peralihan dan perubahan citarasa pendengar. Setakat ini saya melihat SO7 dari album pertama sehingga album terbaru ini memang ada peningkatan kualiti tetapi tiada perubahan produktiviti. Mereka harus menyimbangi faktor kreatif dan inovatif.

Mendengar lagu lama SO7 dalam versi akustik mengingatkan saya kepada Ada Band dari Indonesia dan Flop Poppy dari Malaysia. Iramanya lebih flat dan cenderung ke arah muzik unplug kerana unsur unsur bingit khususnya drum dan gitar elektrik tidak dieksploitasi sepenuhnya, sekadar melancarkan tempo. Bagi saya yang sudah sebati dengan jenis muzik yang complex dan complicated, penghayatan saya kurang memfokus apabila dihidangkan dengan muzik rock yang tenteram. Lebih lebih lagi versi asalnya memang sudah serasi dengan penerimaan saya. Perubahan konsep ini menjadikan emosi saya tenggelam timbul – seperti ada sesuatu yang dipenjarakan di dada, minta dibebaskan tetapi tersekat di anak tekak. Hendak muntah tak keluar hendak telan tak masuk. Mungkin kalau saya bukan peminat SO7 yang cukup setia, saya akan merasa bosan. Irama yang bersifat akustika kadang kadang tidak dapat memberikan kepuasan dan rangsangan rock yang maksima – seperti makan tidak kenyang, minum masih haus. Mujurlah vokal Duta yang magnetik itu menyelamatkan pergolakan ini. Duta berjaya bermain dengan vokalnya dengan berkesan untuk memberikan impak apresiasi yang lebih cantik dan seimbang. Seorang teman saya berkata teknik lontaran vokalnya sudah tidak seremaja dulu, perubahannya agak tampak dari segi teknikal terutamanya bagaimana Duta membunga – bungakan bunyi hujung lontaran vokalnya. Dia lebih dewasa, dan hilang kenakalannya.

Tetapi saya dapat rasakan suara duta masih ada chemistry (saya tidak pasti dari mana diksi ini mula diguna pakai tetapi rata rata semua orang menggunakan perkataan ini untuk konteks yang sama) untuk menarik minat pendengar biarpun kali ini beliau berhadapan dengan varian melodi yang ala ala cintan-cintun. Beliau lebih bijak dan arif dalam usaha menghayati lagu dan seni persembahan vokal di studio. Berbanding dengan album Kisah Klasik Untuk Masa Depan, beliau yang sudah bergelar suami kini mempamerkan mutu nyanyian yang lebih matang dan stabil. Ini jelas terbukti dalam lagu hit ‘Melompat Lebih Tinggi.’ dan ‘Menyelamatkannya’. Ekspresi moodnya lebih tepat dan tidak terburu buru – ada prolog, kontroversi, klimaks dan epilog menjadikan keseluruhan lagu lebih funky, seronok dan lancar. Beliau mempamerkan persembahan vokal yang persis, ideal dan bertenaga dalam 4 buah lagu baru ini dan ia juga menjadi bukti bahawa seni persembahannya nyata sudah maju setapak ke hadapan. Saya gembira melihat perubahan ini, paling tidak beliau mula menghargai muzik sebagai seni dan hiburan, bukannya hiburan semata mata.

Epilog

Antara pro dan kontro, suka atau tidak suka, saya meletakkan pilihan dan keputusan saya di tengah tengah. Album ini cemerlang dari segi pembikinannya cuma ia bukan genre muzik pilihan saya. Saya lebih suka SO7 yang lebih comlex dan complicated. Lagu lagu dalam album ini bagus cuma sedikit simple berbanding SO7 yang lepas-lepas dan saya tidak menerima kaedah remix sebagai perubahan yang total. Secara peribadi saya menjangkakan ramai peminat remaja khususnya perempuan akan menyukai album ini – di mana mereka mungkin cenderung mengiktiraf Avril Lavigne, Michelle Branch atau t.A.t.U sebagai bintang ‘rock’ wanita yang berkaliber sedangkan saya hanya mengiktiraf Alanis Morisette, Bjork dan Amy Lee dari Evanscence. Itu soal citarasa semata mata, bukan standard. Jelasnya, jika anda pernah menjadi sebahagian yang mengkritik ‘ada lagu SO7 yang terlalu bising dan entah apa apa macam American Hi-Fi’, maka anda akan suka album ini. No harm for give it a try.

Kredit

Satu tragedi hitam semasa berlangsungnya konsert mereka di Banjar Masin, Indonesia telah mendesak mereka mengambil keputusan untuk berkabung selama 6 bulan. 4 orang peminat mereka dilaporkan meninggal dunia akibat dihempap dan dipijak oleh beribu – ribu peminat yang ladir menyaksikan konsert mereka. SO7 akan membatalkan semua konsert, tour dan promosi album mereka buat sementara waktu untuk meredakan kecaman dan kritikan hebat pihak media di Indonesia. Ini sudah pasti memberikan laluan kepada Ada Band, Gigi, Padi, Dewa,Cokelat dan Warna untuk melebarkan sayap dan mengambangkan karier mereka.

Populariti Eross dilaporkan meningkat secara mendadak hasil lakonan beliau yang sempoi dan selamba dalam filem 30 hari mencari cinta. Eross mula menjadi pujaan ramai peminat wanita di Indonesia selepas Duta kerana bakat dan perwatakan beliau yang sangat soft-life dan catchy. Filem ini merupakan filem komedi cinta yang diura-ura bakal menandingi Apa Ada Dengan Cinta dan Eiffel I’m In Love. Seperti kedua dua filem tersebut, ia membarisi beberapa orang pelakon wanita popular yang berbakat besar dan semestinya cantik seperti Dinna Olivia (Keke), Maria Agnes (Olien) – seorang model popular yang pernah membintang filem horror Tusuk Jelankung dan Nirina (Gwen) yang merupakan seorang VJ lincah untuk MTV Indonesia. Penerbit filem Dimas Djadinigrat dan Erwin Arnada yakin filem ini bakal menaikkan bintang baru yang mereka ketengahkan untuk filem ini iaitu Revaldo (Bono) yang memegang peranan watak utama. Berbekalkan wajah yang tampan, ceria dan segar. Kini nama Revaldo sudah sebaris dengan populariti Nicholas Saputra, hero filem AADC. Secara ringkas, filem ini mengisahkan 3 sahabat baik iaitu Keke, Olien dan Gwen mempunyai misi untuk mencari cinta dalam masa 30 hari. Sepanjang pencarian mereka, pelbagai liku dan adegan lucu menghiasi pengalaman mereka. Apakah masing masing berjaya menjumpai cowok pilihan mereka? Saksikan sahaja filem ini.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on March 31, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: