Ulasan Album Prasasti Seni Siti Nurhaliza

Prolog

Sebenarnya tidak pernah terlintas dalam kotak minda saya untuk mengulas album Siti Nurhaliza. Saya bukan peminat Siti Nurhaliza atau detail lagi saya tidak meminati lagu pop-malay tetapi saya tunaikan juga permintaan beberapa orang pembaca dan rakan saya kerana menurut mereka, saya perlu bijak mengeksploitasi kebolehan berbahasa saya. Saya tiada pilihan lain apabila album ini sudah terletak di atas meja tulis saya. Apapun perlu saya ingatkan ulasan saya bukan ditulis untuk memuaskan hati pembaca tetapi ia ditulis atas dasar mandat yang diberi oleh kata hati saya. Jadi jangan terlalu hampa jika apa yang ditulis bukan apa yang anda mahu baca – lebih lebih lagi peminat Siti Nurhaliza.

Introduksi

Matang, teliti dan lebih berani dalam pemilihan lagu dan kreatif dalam penampilan konsep pop cara Siti yang lebih up-to-date untuk beradaptasikan dengan permintaan semasa adalah usaha tampak yang tidak sukar peminat Siti dapati menerusi Prasasti Seni Siti Nurhaliza. Tergaman seketika apabila membaca title album ini – Prasasti Seni Siti Nurhaliza. Ada sedikit gegaran yang menyentakkan penerimaan saya terhadap erti kata ‘prasasti seni’. Saya cuba mencari di mana titik tolak dan hujung pangkal apresiasi Siti Nurhaliza terhadap keteragungan ‘seni’ dalam cabang hiburan seni suara biarpun saya tahu seperti judul albumnya yang lepas E.M.A.S dan Safa – ia mungkin tiada sebarang kaitan melainkan untuk tujuan hiasan (mungkin juga penipuan bahasa) semata mata.

Prasasti dalam pemahaman saya merujuk kepada tulisan yang diukir pada batu atau tembaga berupa penghormatan kepada tokoh atau orang kenamaan yang punyai bakti besar terhadap sesebuah komuniti setelah ia ‘pergi’. Seni pula adalah ketertinggian ilmu abstrak yang tidak perlu dibahaskan kerana ia terikat dengan apresiasi, penerimaan dan sentimen individu. Seni sinonim dengan keindahan, keunikan dan keagungan. Jadi secara konseptualnya di sini dapat saya ungkapkan ‘Prasasti seni Siti Nurhaliza’ sebagai penghormatan yang Siti pahat atas tembaga atau batu untuk anugerah seni yang diberi oleh Tuhan setelah nilai seni itu sudah ‘pergi’. Saya tidak mahu berkhutbah panjang lebar mengenai pencemaran nahu bahasa, pencabulan erti kata dan peyahlagunaan konsep makna oleh Siti Nurhaliza dan krew produksinya tetapi hakikatnya saya cukup kecewa dengan golongan yang suka menyelewengkan ketelusan bahasa untuk tujuan keagungan, kegagahan dan keangkuhan sesuatu konsep. Cukuplah setakat ini luahan kekecewaan saya.

Komentar dan Kritikan

Hasil daripada konsentrasi saya yang cukup padu, saya melayari sebuah music journey dari Siti Nurhaliza yang tidak menghampakan. Ya, ‘tidak menghampakan’. Ia memang album Siti Nurhaliza, dan Siti menyanyi sebagai Siti dan beliau menunjukkan peningakatan dari semasa ke semasa dalam seni persembahan vokalnya. Cuma sejurus selepas saya habis mendengar, saya tidak rasa ‘apa apa’. Tunang saya kata mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap Siti. Ya saya akui, sebagai penyanyi nombor 1 negara buat masa kini, saya yakin harapan saya tidak terlalu terlampau.

Jadi bagaimana apresiasi saya? Seperti yang saya katakan dari awal tadi, ia tidak menghampakan. Anda boleh memperbanyakkan koleksi lagu ala ala album E.M.A.S dan Safa dengan munculnya album Prasasti Seni Siti Nurhaliza. Nilai komersialnya ada sayangnya nilai seninya tiada. Ada 2 kritikan pedas yang mahu saya lemparkan terhadap sentimen syok sendiri Siti yang beliau mungkin tidak sedar,

1. Lirik yang tiada falsafah sebagai puisi. Erti tersuratnya lintang pukang kerana terlalu taksub dengan permainan bahasa sementara erti tersiratnya hidup segan mati tak mahu. Lebih lebih liriknya digubah oleh Siti Nurhaliza sendiri. Dari album Safa lagi saya sudah dapati masalah ini. Lagu seperti Percayalah, Lakaran Kehidupan, Jalinan Cinta dan beberapa lagi lirik hasil Siti menunjukkan kedangkalan dan kegagalan demi kegalan Siti yang di’benar’kan secara total. Saya tidak menafikan ini adalah distribution Siti untuk albumnya sendiri tetapi apabila eksperimen telah menunjukkan lampu merah, paling tidak Siti perlu lebih peka terhadap isu ini. Jikalau Siti masih tidak mampu untuk menghasilkan lirik yang ada ummpp, serahkan tugas professional ini kepada pakar seperti Habshah Hasan, Hani MJ dan Adnan Abu Hasan supaya tidak mencacatkan keseluruhan mutu lagu yang dimuatkan dalam album beliau. Sebuah lirik lagu yang baik saya letakkan inti tunjang yang kukuh sebagai kriteria pertama di samping falsafah yang bukannya remeh temeh, berkisar sekitar klise lazim yang budak 12 tahun juga mampu tulis. Cuba rujuk balik lagu lagu karya ulung beberapa orang pemuzik seperti Antara Anyir dan Jakarta, Jentayu, Andalusia, Raikan Cinta, Menyemai Cinta Bersamamu, Teratai Layu Di Tasik Madu, Janji Manis, Salam Terakhir, Syurga Di Hati Kita, Hijau dan Seandainya Masih Ada Cinta. Semuanya merupakan karya seorang pemuzik professional. Saya sarankan Siti berhenti syok sendiri kerana saya sedih irama yang mantap seperti Percayalah dicacatkan terus oleh lirik yang remeh temeh.

2. Corak nyanyian yang stereotype, typical dan benar benar malay-pop. Zaman beredar dan kecenderungan peminat muzik untuk mencari sesuatu yang lebih seiring dengan kecanggihan teknologi menuntut penyanyi untuk beradaptasi sesuai dengan permintaan semasa. Jikalau dahulu peminat muzik hanya minat Mariah Carey, Celine Dion dan Janet Jackson tetapi kini tempat mereka digantikan dengan Missy Eliot, Beyonce Knowles, Christina Aguilera, Norah Jones dan Avril Lavigne yang lebih berani dalam menerapkan percubaan elemen dan unsur unsur baru dalam karya mereka. Hasilnya mereka menjadi trend setter yang memonopoli pasaran muzik sedunia. Bagaimana dengan keadaan Siti di Malaysia? Dengan kehadiran artis baru yang cukup mantap dan fresh seperti Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Sarah, Ezlynn dan Azharina yang mempertaruhkan irama R&B soul ala ala international music, kedudukan Siti semakin hari semakin goyah apabila setiap tahun konsep keSitian masih lagi keSitian yang asal – tiada anjakan paradigma yang boleh diketengahkan. Mungkin Siti meletakkan sasaran golongan peminat yang lama sebagai fokus pembeli album tetapi sampai bila mereka akan terus meminati seorang artis yang hanya tahu menyanyi ‘cenggitu sahaja? Siti perlu merancang kejujuran dengan berani. Jikalau Siti ingin menjadi seperti the real divas Anita Sarawak, Sharifah Aini atau Sheila Majid, maka Siti perlu menge-vouge kan diri dalam penghasilan karya Siti. 2 3 tahun peminat terpaksa menunggu satu album Sheila Majid kerana ketelitian yang rapi telah dirancang dari awal untuk sebuah produksi yang bermutu. Hasilnya pengiktirafan ‘diva’ mereka tidak pernah diragui.

Track

1. Introduksi Siti

2. Dialah Di Hati – Aidit Alfian/ Habsah Hassan. Gandingan konposer, penulis lirik dan penyanyi yang cemerlang. Lagu yang dijangka hits kerana kekerapan permintaan pendengar radio khususnya radio Era. Lontaran vokal yang kemas dan penghayatan emosi yang puitis oleh Siti. Kebolehan Aidit Alfian untuk mencipta lagu yang bermelodi catchy dan funky tidak pernah diragui tetapi saya juga harus memuji kredibiliti dan inovativiti beliau untuk mencari ilham yang sesuai dengan Siti Nurhaliza. Great job! Lagu ini mengingatkan saya kepada lagu Liza Hanim – Gelisah Mimpi. Sedikit sedutan lirik yang sangat saya sukai.

“Kendati Selautan segunung

permata di kanan dan kiri

Selagi jantungku berdegup hingga

tiba saat terhenti

Dialah di hati”

3. i>Pendirianku – Zuriani/ M.Zulkifli. Lagu semi rancak berentak pop dance. Eksperimen jump-talk yang agak berjaya pada bahagian verse dengan free styler yang seringkali disalah ertikan sebagai rap. Siti tidak rap, Siti hanya free styler. Lagu ini ada kelainan yang boleh dibanggakan tetapi vokal Siti benar benar mengSitikan kembali lagu ini. Lagu ini ada sedikit persamaan dengan lagu Naufara – Ku Bukan Seperti Dulu tetapi kegagalan Siti menyampaikan rentak muzik sebegini menjadikan lagu ini kurang mengayat.

4. Cinta Tak Berganti – Iman Wan/ Siti Nurhaliza. Sebuah lagu balada yang termatlah sangat stereotype daripada Siti. Sekali lagi Siti bermain dengan bahasa dengan ciptaan lirik yang tidak ada falsafah, mesej dan jiwa. Cuma ‘hayati’ lirik Siti yang ‘entah apa apa’ ini.

“Tak daya ku halangi

Tak ku cuba jauhi

Tetap di sini

Terus menanti”

5. Cahaya Seribu Liku – Andy Flop Poppy/ Siti Nurhaliza/ Tanty. Lagu ini merupakan satu satunya lagu yang menggerakkan jari saya untuk menekan ‘repeat’ pada remote control. Siti agak enjoy dengan lagu ini dan ia seakan sebuah persembahan muzikal yang happening ala ala pita piring rosak pada permulaan verse. Lirik yang ditulis oleh Siti dan Tanty kali ini lebih terarah dan mesejnya agak jelas, puitis dan metoflora. Gubahan melodi yang cemerlang biarpun iramanya agak biasa. Saya sukakan permainan drum yang gitar electronic med-tempo-loop yang baik hasil petikan Andy Flop Poppy. Sekali imbas saya terdengar bayang bayang lagu Melly Goeslow.

6. Hanya Dirimu – Ajai/ Hani MJ. Irama yang R&B tetapi corak nyanyian Siti yang meleleh terdayu dayu cukup memeningkan kepala saya. Siti sepatutnya cuba menerapkan gaya nyanyian soul untuk lagu balada gaya R&B daripada Ajai ini. Gandingan yang kurang menjadi kerana lagu sedemikian sesuai diberi kepada penyanyi yang mendukung irama soul seperti Dayang Nurfaizah, Ning Baizura atau Siti Sarah. Saya harus memuji Ajai kerana kali ini beliau tidak menyuruh isterinya Nurul untuk menulis lirik lagu ini dan kretiviti Ajai masih lagi mampu dibanggakan.

7. Lagu Rindu – Yasin. Saya tabik spring terhadap usaha Siti untuk menggayakan kepelbagaian muzik dalam satu album menjadikan rojak adunanya agak sedap biarpun terlalu sarat. Siti juga nyata banyak buat reseach untuk menyanyikan lagu komposer etnik timur tengah dan padang pasir yang paling digentari di Malaysia. Lagu ini agak cemerlang dan gandingan Siti bersama Yasin nyata boleh diketengahkan untuk album tradisional Siti yang akan datang menggantikan Pak Ngah Haji Suhaimi. Cuma irama fusion world music terlalu dibayangi oleh lagu Wassini oleh Waheeda dan Penantian oleh Bienda.

8. Sakti – Mohar/ Loloq Lirik yang benar benar gah dengan siratan maksud yang mendalam. Lagu ini punyai kekuatan tersendiri seperti lagu Nur Nilam Sari dan Mentera Semrah Padi. Lagu ini agak panjang tetapi cukup puitis dalam exotic. Permainan seruling bamboo yang cemerlang oleh Mohar dan garapan elemen alat music DIY menjadi sandaran keunikan lagu ini. Mohar bukan nama asing dan lagu ini meremangkan bulu roma saya. Ia benar-benar memukau dengan iringan petikan gitar klasik akustik yang husky dan berjiwa (berhantu?).

9. Pejam Matamu – G Nola/Siti Nurhaliza. Apabila Siti tidak terlalu taksub dengan permainan bahasa, beginilah hasil ciptaan liriknya.Simple but sweet. Agak lembap pada tempo tetapi Siti pandai memancing selera pendengar dengan gaya nyanyian yang agak selamba, rileks dan tenang menjadikan lagu ini harmonis dan indah.

10. Kembalilah Indah – Helen Yap/Siti Nurhaliza/Slen Lirik GAGAL! Tetapi melodi ciptaan Helen Yap cukup mengayat. Blues dan funky med-pop tempo. Cuma lirik leceh Siti cukup menyakitkan hati. Gaya nyanyian Siti juga tidak sesuai dengan tempo.

11. Ku Menunggu – Aidit Alfian/Habsah Hassan. Lagu yang paling simple dalam album ini. Petikan gitar yang haus dipadankan dengan suara lemak merdu Siti menjadikan lagu ini ada jiwa. Cuma ada sesuatu yang kurang dalam persembahan Siti. Bagaimana jika lagu ini diberi kepada penyanyi yang punyai suara parau seperti Syafinaz dan Ezlynn agar ia boleh meletupkan bahagian chorus?

12. Seindah Biasa – Pongky Jikustik. Lain dari segi penampilan lagu kerana lagu ini dicipta orang dari seberang. Dibayangi kehebatan Bukan Cinta Biasa hakikatnya ini memang lagu biasa.

Kredit

Kulit Album – Usaha sama aplikasi grafik yang direka oleh Rauna Jud dari Urban Ad dan fotografi oleh Bustamam Mokhtar menghasilkan kulit album yang bermutu dan menepati citarasa pasaran. Ada kelainan yang cuba diketengahkan cuma masih tidak dapat lari daripada bunga, pokok, akar, dan rumput menghijau jadi ‘ketokohannya’ tiada. Saya sukakan sesuatu yang simple seperti kulit album Amy Mastura dan Sheila Majid. Kalau tidak biar ia menjadi grafik liar seperti kulit album Incubus, Linkin Park, Maroon 5 dan Lost Prophets yang ada identiti dan tema yang tertentu. Kulit album ini tidak kena dengan judul album, judul albumnya pula tidak kena dengan konsep lagu. Semuanya kontra dan saya sesak nafas dengan kombinasi yang terlalu taksub dengan ‘keindahan’ tanpa penilaian seni yang telus.

CD Bonus – Seperti album EMAS, album ini turut disertakan bersama sebuah CD bonus berbentuk hati. Teknik pemasaran yang berjaya biarpun kadungan CDnya sekadar so-so.

Epilog

Biar apa sekalipun kritikan saya, saya percaya album ini antara album terbaik di Malaysia untuk tahun 2004. Ia belum mampu menandingi album Kerinduan daripada Sheila Majid, Keabadian Cinta daripada Anuar Zain, dan Selagi Ada… Cinta daripada Ning Baizura malah Mimpi Pun Sama daripada Siti Sarah tetapi ia ada chemistry untuk mendapatkan tempat peminat seni suara tanahair dalam keadaan pasaran yang lembap sebegini. Kenapa? Kerana beliau Siti Nurhaliza – superbrand yang ada jaminan mutu dan kualiti yang tersendiri.

Klik!

– Pelancaran Album Prasasti Seni Siti Nurhaliza

– Ulasan Album Prasasti Seni Siti Nurhaliza oleh Sultan Muzaffar

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on April 17, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: