Ulasan Filem Trauma

Prolog

Saya cukup mengagumi kreativiti Aziz M Osman sebagai seorang pengarah filem Malaysia yang agak teliti dalam penggarapan tema segar untuk karya beliau tanpa membelakangkan citarasa peminat filem Melayu yang rata ratanya gila glamour. Bukan senang untuk dipertemukan seorang pelakon yang mempunyai bakat, rupa dan populariti yang seiring; satu satunya ialah Amy Mastura. Gandingan ideal Amy Mastura, Azhar Sulaiman, Nasha Aziz dan Sharifah Aleeya dalam Trauma nyata tidak menghampakan. Saya katakan filem ini merupakan filem Melayu terbaik yang saya tontoni mutakhir ini. Antara lain ialah Janji Diana, Jutawan Fakir, Kuliah Cinta, Bisikan Remaja, Gila Bola, Cinta Kolestrol dan Bintang Hati. Bagi pembaca yang belum nenonton filem ini, harus saya ingatkan ini bukan filem picisan yang berkisarkan tema cinta yang remeh temeh semata mata, ia juga bukan filem genre pengembaraan, thriller, seram atau absurd yang dongeng. Ini adalah filem kemanusiaan yang punyai falsafah yang unik, tersendiri dan meninggalkan kesan tampak terhadap penonton. Terbaik di kalangan filem Melayu bermakna saya membicarakan mutu filem ini dari konteks Malaysia, sila lupakan sebentar filem Lord Of The Ring, Mystic River atau mana mana nama yang tersenarai dalam pemenang Academy Awards.

Introduksi

Fitrah semula jadi manusia sejak lahiriah lagi tidak dapat menghalang kewarasan akal untuk berasa berdosa terhadap kesalahan yang dilakukan – tidak kira secara sengaja atau tidak sengaja. Rasa berdosa ini apabila terkumpul menjadi semakin berat, pergolakan mentaliti dan emosi akan terbabas dari kawalan minima dan seterusnya akan menyebabkan trauma. Erti trauma itu sendiri memerlukan singkapan yang lebih halus dan seni. Ia cenderung melibatkan konflik sebab dan tindakan semata mata, tanpa perlu kehadiran pertimbangan rasionalistik terhadap kesan yang bakal timbul. Saya percaya apabila dosa dunia tidak diselesaikan dengan undang undag dunia, manusia tidak akan aman kerana memikirkan balasan Tuhan pula. Berdasarkan kesedaran dari justifikasi inilah Trauma melanda manusia.

Berbanding dengan Seri Dewi Malam – sebuah lagi karya Aziz yang sangat saya minati, kali ini Aziz tidak meletakkan daya ilusi sebagai inti. Trauma merupakan filem kontradiksi watak kemanusiaan terhadap kejadian yang sukar diputuskan pro dan kontranya. Kejujuran Aziz M Osman dalam filem ini sangat saya hargai. Paling tidak beliau tidak ‘menyempurnakan’ perwatakan mana mana watak dalam Trauma. Aziz nyata seorang perfectionist filem yang tidak menipu penonton dengan pemaparan ‘hero’ atau ‘heroin’ yang memualkan dan lari dari realiti yang hakiki.

Apresiasi

1. Wild shoot yang memaparkan imbasan atau flashback Amy Mastura melanggar mati teman lelaki Nasha Aziz dan seorang pemandu basikal merupakan teknik suntingan yang biasa di Hollywood tetapi saya harus puji Aziz dalam konteks filem Malaysia. Kesan penerimaan penonton terhadap shoot yang kurang daripada 10 saat ini cukup jelas – iaitu Amy benar benar trauma dengan matapetaka tersebut. Ia hadir dalam sekelip mata dan hentakan flashback ini sangat menggusarkan dan merunsingkan Amy. Berbanding dengan teknik slow motion yang digunakan oleh Yusuf Haslam, saya rasa teknik Aziz ini lebih mampu menutup kelemahan filem Melayu untuk memaparkan adegan kemalangan jalan raya dengan hidup.

2. Selepas Nurul menangkap Nadia merokok di dalam almari, Nadia terus meluru keluar dari rumah dan shoot Nadia berjalan mrentasi jejantas adalah shoot yang cukup dramatik. Pergolakan jiwa remaja dilukiskan dengan teliti tetapi Aziz tidak over doing it. Ia memberikan kesan pemberontokan jiwa muda tanpa perlu sebarang bicara atau penjelasan lanjut.

3. Muzik latar yang berkelas 5 bintang. Trauma mengadaptasikan beberapa genre muzik seperti rock, catchy pop dan balada untuk tujuan menguatkan lakonan para pelakon yang nampak biasa dan tenang untuk babak yang biasa-biasa. Kehadiran muzik latar yang berkesan dan sesuai dengan suasana menggenapkan lagi mood dan pemahaman penonton terhadap sesuatu babak yang berlaku. Contohnya adaptasi muzik rock dalam babak Nasha Aziz yang tersenyum puas selepas dilantik menjadi pembantu syarikat Azhar Sulaiman menyingkirkan Amy Mastura berjaya menguatkan maksud tersirat yang terbentuk dan memberi gambaran awal terhadap insiden terkemudian daripada babak ini.

Falsafah dan mesej

Daya tarikan dan apresiasi utama saya terhadap Trauma ini ialah falsafah dan mesej yang terkandung dalam filem ini. Filem Melayu masa kini jarang memaparkan falsafah yang boleh mengembangkan minda fikir. Jikalau adapun ia agak relatif dan ketinggalan zaman seperti Paloh, Sayang Salmah, Embun dan Kaki Bakar yang menonjolkan sentimen nasionalisme dan patriotisme. Bukan semua filem berfalsafah tetapi setiap filem pasti ada mesejnya cuma filem Melayu masa kini terlalu kerdil dan bobrok dalam pemaparan mesej – umpamanya kesetiaan terhadap kekasih, pengorbanan demi cinta, dan masalah cinta yang saya sifatkan sebagai ‘mesej picisan’ yang tidak bermanfaat. Spinning Gasing biarpun diiktiraf sebagai flem yang berseni, berbudaya dan berfalsafah tetapi garapan unsur kesenian rakyatnya lebih kuat menjadikan falsafah filem tersebut agak kabur dan cenderung bermain dengan pergolakan sentimen perkauman, nilai kesenian dan keagamaan yang tiada jawapan muktamadnya. Trauma tidak menyuratkan falsafah atau mesejnya secara langsung dalam taglinenya tetapi ia diperhalusi dalam perwatakan, pertuturan, penggunakan alat bantu dan perlakuan para pelakonnya. Antaranya:

1. Nasha Aziz berkata kepada Sharifah Aleeya: ‘Orang jahat hisap rokok, orang baik sopan santun, pakai tudung. Apa yang awak lihat, itu yang awak percaya. Betul?’ Saya pasti klise ini terlalu lazim untuk diagung-agungkan tetapi tidak ramai yang merenung ke dasar pernyataan seperti ini. Signifikan antara baik dengan tudung, jahat dengan rokok sudah tidak sesuai dan tidak selari dengan tuntutan zaman kini. Manusia sekarang sukar untuk dinilai berdasarkan kriteria yang terlalu ringan seperti ini. Don’t judge a book by it’s cover. Namun niat sama ada ikhlas dan pura-pura adalah hak masing masing dan adalah amat tidak wajar untuk saya pertikaikan. Saya juga tidak mahu disebabkan kerbau seekor habis satu kandang terpalit cuma ‘sendiri mau ingat la beb!’

2. Dalam satu babak di mana Amy Mastura ditempatkan di rumah orang sakit, TV memainkan ceramah agama yang jelas kedengaran: ‘Mereka yang tidak bersembahyang akan menemui jalan yang sesat, jalan yang bengkang bengkok…’ benar benar menyayat hati. Saya percaya scence ini disengajakan biarpun di set lokasi sebegitu tidak ramai yang memahami syarahan penceramah tersebut. Ia diaplikasikan semata mata untuk tujuan dakwah biarpun secara informal kepada penonton filem ini. Namun Aziz tidak menyempurkan mesej ini secara keseluruhan kerana selepas Amy mendengar kata kata si penceramah dan kemudiannya mengamati wanita bertudung selama seminit, Amy masih tidak ‘dipakaikan’ tudung oleh Aziz. Cuma saya rasa ini adalah kejujuran Aziz, hidayah tidak layak datang bergolek kalau kita masih taksub dengan agenda dunia. Niat untuk menjadi baik adakalanya Cuma ‘terlintas’ di dalam minda dan ia tidak dipandang berat oleh kebanyakan orang. Babak ini masih boleh membawa kepada banyak implikasi jikalau direnung secara mendalam, ia bukan sekadar satu babak yang ‘menghabiskan’ masa Amy di rumah orang sakit semata mata.

3. Semasa dirawat oleh Seelan Paul di rumah sakit, paparan sudden pop-up shoot yang menggambarkan keinginan Amy untuk menyatakan yang benar ‘aku langgar orang lagi’ menginterpretasikan satu lagi kelemahan dan sifat kemanusiaan yang terlalu dangkal. Manusia sering memilih untuk berselindung atau bersembunyi di sebalik kebenaran demi kebaikan dan kepentingan individu yang kemudiaan akan membawa kepada kebaikan dan kepentingan sesebuah kumpulan sasaran. Amy memekik dari sudut hati kerana fitrah semula jadinya mengajaknya untuk mengakui kesalahannya tetapi pergolakan jiwa atas desakan syaitan melarang beliau untuk berdiri di pihak yang benar. Amy terpaksa membayar harga yang mahal jikalau dia memberanikan pengorbanan ini.

Lakonan

Filem ini sebenarnya merupakan perlagaan seni lakon antara Amy Mastura dan Nasha Aziz semata mata. Watak Azhar Sulaiman sebagai Huzir dan Sharifah Aleeya sebagai adik Nurul (Amy Mastura) tidak banyak berkembang kerana fokus plot, konflik dan klimaks keseluruhan filem memang terletak pada trauma Nurul dan dendam Jeslina (Nasha Aziz).

Amy Mastura – Nurul berperanan sebagai inti tunjang filem ini kerana Nurul memang penghidap trauma yang dibelenggu ingatan silam beliau – melanggar mati teman lelaki Nasha Aziz. Lakonan Amy dalam Trauma tampak lebih gilap, matang dan mantap dan beliau cuba memaparkan kelainan daripada watak watak ceria yang pernah beliau pegang dalam filem Impian, KLU, Puteri Impian I dan II. Penghayatan Amy untuk babak trauma dan sadis memang cukup berkesan dan boleh dibanggakan cuma Amy masih perlu bermain lebih dengan emosi hasil imaginasi diri sebagai penghidap trauma agar watak beliau nampak lebih kronik dan dramatik terumata kesan tampak pada mimik muka. Saya puji Amy kerana kredibiliti beliau berlakon secara ‘bogel’ (tanpa bantuan kostum yang menjolok, dadanan rambut ala ala model dan make-up setebal 8 inci yang menguatkan watak beliau) boleh dibanggakan. Bahasa tubuh beliau apabila naik berang dan bersedih kerana hilang tempat pergantungan sangat asli – hasil penghayatan beliau sendiri dan ini nyata berbeza berbanding dengan pelakon stereotype seperti Eera Fazira, Ellie Suriaty dan Ummi Aida yang agak terikat dengan garis panduan yang ‘disempurnakan’ oleh pakar.

Nasha Aziz – Jeslina hadir sebagai watak misteri dalam Trauma tetapi lakonan Nasha banyak dibantu oleh alat perhiasan sampingan dan set suasana untuk menguatkan watak tersebut seperti lilin, baju hitam dan rokok. Lakonan Nasha untuk watak Jeslina agak ‘nyonya’ mungkin disebabkan umur beliau yang sudah mencecah 30 tambahan pula dibekalkan dengan baju yang longgar dan berwarna pudar pucat. Beliau tidak memberikan lakonan yang menyengat kecuali aksi atas ranjang beliau untuk memancing dan menggoda Azhar Sulaiman. Nasha tidak akan hadir sebagai perempuan yang misteri dan berani seperti watak Jeslina yang dicipta oleh Aziz jikalau beliau tidak dibantu oleh lilin, rokok, dan baju hitamnya. Saya tidak nampak kredibiliti Nasha berlakon sebagai wanita yang berdendam, berani dan exotic sehinggalah babak beliau menghisap darah yang keluar dari jari Amy setelah terpotong oleh pisau. Watak Jeslina di tangan Nasha juga terumbang ambing antara manja, berani dan misteri. Contoh yang paling jelas ialah apabila beliau tertumpahkan air kopi di atas paper work Amy Mastura, lakonan Nasha seakan ‘entah apa apa’ dan tidak mendatangkan kesan terhadap babak tersebut. Penggunakan bahasa tubuhnya juga agak kaku ditambah pula dengan bentuk fizikalnya yang serba serbinya ‘panjang’. Bentuk komunikasi Nasha juga kurang berjaya dan seakan ada sesuatu yang tidak kena apabila Nasha memegang watak misteri. Watak Jeslina sebenarnya adalah watak yang lebih trauma dan traumanya disembunyikan selepas teman lelakinya terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan Nurul. Nasha nyata gagal bermain dengan penghayatan trauma yang cuba disembunyikan dengan dendam yang membuak buak. Saya lebih sukakan Nasha sebagai Laila dalam filem Laila Isabella.

Azhar Sulaiman – Huzir adalah lelaki tipikal yang berlambak dalam ‘pasaran’. Azhar sekadar hadir sebagai penyeri filem ini apabila beliau bertindak sebagai teman lelaki Amy Mastura yang cukup ideal semenjak dulu lagi. Mutu lakonannya biasa kerana wataknya tidak dikembangkan dalam Trauma. Setakat kini Azhar masih belum ada sebarang karya yang mampu menandingi kehebatan filem Abang 92.

Sharifah Aleeya – Nadia adalah adik perempuan Nurul. Selepas filem Idola, sekali lagi Sharifah Aleeya memegang watak sebagai adik perempuan watak utama. Beliau seakan tidak perlu berlakon kerana watak sebagai adik perempuan yang juga tidak memerlukan permainan emosi untuk lakonannya menyenangkan kerja Sharifah Aleeya – menjadi diri sendiri. Bakat beliau agak besar dalam bidang lakonan dan jika diberi peluang untuk memegang watak utama yang lebih mencabar, saya yakin beliau boleh melangkah lebih jauh dalam bidang seni lakon.

Epilog

Saya teringatkan filem I Know What You Did Last Summer semasa mengulas filem ini. Genre filem dan penjalinan plot Trauma tidak banyak berbeza dengan filem thriller yang sangat saya minati ini. Saya prejudis terhadap filem filem yang terlalu taksub dengan pemaparan wajah tampan dan cantik berbanding mesej filem seperti Bisikan Remaja dan Kuliah Cinta oleh seorang sutradara berpangkat Profesor. Aziz punyai jiwa yang cukup teliti dalam segenap hal, dia masih punyai humor yang tersendiri walaupun filem ini tampak serius dan sadis pada dasarnya. 5 bintang untuk Trauma!

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on April 21, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: