Ulasan filem Pontianak Harum Sundal Malam

oleh NizamZakaria

Jika diberi tajuk filem terbaru arahan Shuhaimi Baba; “Pontianak Harum Slut Malam” sudah tentunya filem ini akan digam. Jadi sesuailah filem ini dinamakan “Pontianak Harum Sundal Malam”. Itu pun, kalau tak salah saya, pada mulanya, nama ini telah mendatangkan kontroversi. Perkataan “sundal” dikatakan tidak sesuai digunakan. Syukurlah filem ini lambat-laun dapat dibikin dan diselesaikan, dan akhirnya dapat saya tonton semalam di dalam acara pratonton Pontianak Harum Sundal Malam (HSM) yang telah diadakan di GSC MidValley.

Pontianak HSM menceritakan tentang Meriam, seorang primadona yang berjaya menawan ramai hati yang menyaksikan tarian gamelannya. Sewaktu menari, beliau mampu terapung dengan sendirinya, ala David Blaine, ahli silap mata muda dari Brooklyn, New York.

Pada tahun 1947 di Kampung Paku Laris, dua orang bersahabat, saudagar Marsani (Azri Iskandar) dan Danial (Sharonizam) sama-sama jatuh hati kepada Meriam (Maya Karin). Tetapi Meriam akhirnya menerima Danial.

Meriam terbunuh ketika beliau sedang sarat mengandung. Bukan itu sahaja, suaminya Danial pula mati di tengah laut. Marsani kecewa dan rasa bersalah ke atas kematian Meriam. Dalam pada itu, Kampung Paku Laris mula diserang dengan kejadian aneh di mana penduduk-penduduknya mati dibunuh dengan kejam. Puntianak yang menyerang kampung dikatakan jelmaan Meriam yang ingin membalas dendam dirinya yang telah dibunuh ketika sedang sarat mengandung.

Penonton kemudian dibawa ke masa kini. Marsani yang masih hidup terus diganggu oleh beban peristiwa yang pernah dilaluinya pada waktu yang lalu. Marsani yang obses dengan rentetan cintanya yang tak berbalas ditambah lagi dengan rasa takut bahawa keturunannya akan dihapuskan oleh Meriam, mengambil keputusan untuk melawan usia tuanya. Dengan bersungguh-sungguh beliau menjalani pembedahan plastik dan rawatan ozon ala Micheal Jackson (Ini bukan “spoiler”, tapi bila fikirkan Marsani, saya teringatkan kepada kepelikan Micheal Jackson, terutamanya di bahagian akhir filem).

Munculnya seorang gadis bernama Maria yang seiras Meriam di dalam hidupnya, menggusarkan jiwanya. Marsani menjadi semakin runsing apabila kejadian-kejadian ngeri berlaku kepada orang-orang yang terdekat dengannya…

Ingin saya tegaskan di sini bahawa filem ini adalah sebuah filem yang telah diarahkan dengan naratif visual yang indah di tambah dengan penekanan Shuhaimi terhadap lakonan yang bersungguh-sungguh dari para pelakonnya. Saya cukup terpesona melihat set serta kostum pelakon dalam adegan Kampung Paku Laris pada tahun 1947. Adegan tarian gamelan dibuat dengan begitu cantik dan halus sekali. Lokasi yang dipilih juga menarik, terutamanya rumah Hijjas Kasturi – Rimbun Dahan, yang dijadikan lokasi utama dalam babak-babak akhir filem ini.

Shuhaimi juga nampaknya begitu bersabar tatkala bercerita dan membiarkan penonton mengupas ceritanya ini tanpa gopoh. Penggunaan teknik imbas kembali (flashback) begitu berkesan untuk menguatkan jalan cerita sekali gus pemahaman penonton. Walau bagaimanapun, beberapa adegan mungkin terlalu mengejut tanpa kesinambungan yang wajar. Sebagai contoh, adegan kawan kepada Norman (Eizlan Yusof) yang mati secara tiba-tiba tanpa hujung pangkal.

Walaupun suntingan yang dilakukan Mior Hashim Manap kemas, saya rasa agak terganggu apabila montaj pontianak yang serupa diselitkan berkali-kali (untuk menakutkan penonton, barangkali). Skor Muzik Shamsul Chairel pula, adalah antara skor muzik yang terbaik untuk sebuah filem Melayu sejak akhir-akhir ini. Dalam hal efek bunyi pula, memang memuaskan, kerana tatkala menonton filem ini, adunan Dolby Digital Surround memang benar-benar dapat dirasakan.

Lakonan para pelakon memuaskan, lebih-lebih lagi lakonan Nanu Baharudin sebagai Laila dan Sharonizam sebagai Daniel. Saya agak kecewa apabila mendapati watak kedua-dua pelakon berbakat ini dimatikan setengah jalan. Watak mereka menarik, malah saya rasa apa yang berlaku di Kampung Paku Laris pada tahun 1947 jauh lebih istimewa dari Kampung Paku Laris pada zaman sekarang.

Jangan lupa untuk perhatikan lakonan “cameo” oleh pelakon-pelakon undangan seperti Azwan Ali, Shah Rezza dan Afdlin Shauki.

Kalau tidak salah saya, pelakon-pelakon filem ini mendapat tunjuk ajar dari Fatimah Abu Bakar dan Normah Nordin. Nampaknya mereka berjaya membuat para pelakon mendalami watak-watak mereka, kecuali Maya Karin. Lakonan Maya Karin agak kaku. Mungkin beliau perlu diberikan sedikit masa lagi untuk berlatih… Kalau diberi kuasa untuk memilih pelakon, saya rasa watak utama Meriam/Maria/Pontianak akan saya berikan sahaja kepada Nanu yang lakonannya jauh lebih mantap.

Seperkara yang saya kurang senang dengan filem ini adalah adegan-adegan mimpinya yang diadakan berkali-kali sehingga membuat saya sedikit muak. Nak tahu mengapa perlu diadakan adegan-adegan mimpi ini? Kerana pakcik dan makcik kita di Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mengadakan garis panduan di antaranya:

1. Filem genre ini (seram) perlu ada elemen mimpi

2. Filem ini tidak boleh terlalu menakutkan, ganas, banyak berdarah dan tak boleh tunjuk keluar masuk kubur.

Bahagian-bahagian akhir filem ini telah diakhiri dengan satu lagi adegan mimpi (Marsani rupa-rupanya meracau-racau dalam mimpinya. Atau mungkin, pontianak yang kita lihat dalam filem ini sebenarnya adalah hasil imaginasinya sendiri – ala halusinasi John Nash dalam filem “A Beautiful Mind”). Entah dah berapa banyak agaknya filem-filem Melayu yang dibikin dan akan terus dibikin dengan elemen mimpi ini. Kalau macam itu, berikan saya kesempatan untuk memberikan istilah baru kepada genre filem seram Malaysia – “seramimpi”.

Saya tidak salahkan Shuhaimi kerana membikin sebuah naskhah yang mempunyai “ending” yang sukar untuk saya terima, tetapi kepada pihak kerajaan, khususnya Lembaga Penapisan Negara kerana mengeluarkan garis panduan yang bukan-bukan dan yang akhirnya menyukarkan proses kreatif para pembikin filem. Maka, terhasillah produk filem yang dikeluarkan di pasaran, walaupun dibuat dengan bersungguh-sungguh dengan penuh rasa hormat terhadap karya seni filem (seperti filem Pontianak HSM ini), menjadi produk seni yang ibarat kuah kekurangan garam. Ada sahaja yang tidak kena.

Shuhaimi Baba, dalam Nota Pengarah yang saya terima, telah mengatakan bahawa dengan adanya segala halangan yang ada, beliau tetap mahu meneruskan projek filemnya ini dengan harapan: “Akan datang kerajaan akan lebih terbuka bila melihat filem hantu kita mempunyai keunikan sendiri.”

Saya cukup menghormati semangatnya ini. Sememangnya apa yang cuba dilakukannya ini bagus. Biarkan mereka yang begitu “arif” melakarkan garis panduan untuk pembikin-pembikin filem melihat sendiri produk yang akhirnya terhasil oleh pembikin-pembikin filem kita (baca: filem seramimpi).

Kita sebagai penonton pula perlu memberikan sokongan kepada Shuhaimi Baba dengan menonton filemnya ini (sememangnya filem ini agak fantastik dan indah untuk ditonton. Terutama pada bahagian awal filem ini yang mempunyai gaya dan rupa sebuah naskhah filem yang boleh dibawa ke festival filem!). Kita harus menonton dan menilai sendiri bahagian akhir filem ini, dan filem ini secara total. Sebagai penonton, kita harus bertanyakan kepada diri kita… Sampai bila agaknya harus kita diperkotak-katikkan dengan segala ‘syarat dan garis panduan’ yang ada. Tanyakan sendiri soalan ini kepada diri kita: “Adakah rakyat Malaysia begitu bebal sehingga tidak mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk dengan sendirinya sehingga perlu diadakan garis panduan ini semua?”

Secara ikhlas, ingin saya nyatakan bahawa filem Pontianak HSM ini berpotensi menjadi sebuah filem yang baik, malah antara filem Melayu terbaik sejak akhir-akhir ini, tetapi setelah ia dibuat dengan penapisan sendiri, dek mengikut garis panduan yang tidak masuk akal, akhirnya filem seramimpi ini hilang arah tuju dan berputar di pusaran kebingungan.

Rating: ***1/2

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on May 3, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: