Puteri Gunung Ledang – Epik yang kecil, cinta yang murung, Filem yang agung.

oleh Fadz

Sebelum menonton filem ini, sudah kedengaran beberapa skeptisme tentangnya. Seorang kawan aku yang mana abangnya bekerja dengan LPFN memberitahuku, “Oh, abang aku dah tengok dan dia kata ia hanya sebuah filem cinta yang biasa.” Abang aku sendiri memberitahuku bahawa seorang kawannya sudah menontonnya (bagaimana aku tidak tahu) dan mengulas bahwa, “ia tidak begitu baik, tidak sehebat Suryothai”. Sudah lazim, semua orang ingin jadi pengkritik. Tak salah dan tak mengubah. Kerna masing-masing perlu merasa apa yang mereka tontoni lalu meluahkannya. AKu cuba tidak terlalu optimis dan tidak terlalu skeptik. Aku tahu, aku hanya mahu ‘enjoy’ filem ini. Aku ‘enjoy’ tak? Sebuah kata ‘YA’ yang besar aku pampangkan.

Filem ini, cara pembuatannya sangat intim oleh pengarahnya Saw Teong Hin (tidak ada masalah tidak dapat memahami keMelayuan di bawah penyelarasannya..malah aku tidak sedar bahawa filem ini dibuat oleh orang Bukan Melayu), dan kadang kala sangat halus (ada satu babak yang mana Putri Ratno menari di depan Sultan Melaka, Hang Tuah dan pebesar Majapahit serta rajanya. Babak ini sungguh penting dan menjadi titik kenapa berlakunya ‘segala’ motif plot filem ini. Kalau kita tak suka babak ini, segala filem ini akan hilang semangatnya). Pembuatannya sungguh terkawal (dan sebenarnya antara kawalan filem tempatan paling baik pernah aku tonton). Hanya mungkin, orang seperti aku perlu satu KESABARAN yang besar untuk melaluinya. Ya, filem ini agak mengambil masa untuk bercerita (bagi sesetengah orang, di suku awal filem ini, mereka boleh jadi bosan), kerana aksi-aksi ‘live action’ di dalamnya hanya ada satu dua dan selebihnya penuh cakapan, pandangan suka duka manusia (juga alam) yang panjang adegannya (walaupun banyak fast cut yang dibuat. Kalau anda lihat, filem seperti Lawrence of Arabia, LOTR, War & Peace versi Rusia, The English Patient mahupun Suryothai, gaya filem mereka selalunya diselang-selikan dengan drama dan kemudian aksi untuk membuat penonton terus saja melekap pada jalan cerita. Filem ini sebenarnya baik, hanya beberapa adegan itu terlalu panjang dan boleh menyebabkan kebosanan. Contohnya waktu adegan ‘cakap-cakap’ dari raja Majapahit ke Melaka ke Hang Tuah ke Puteri ke situ, ke sini dan ke ke ke. Ia penuh intrigue, tapi juga penuh dengan dialog). Jika kita bersabar, insyaAllah, kita akan menjumpai sesuatu dalam filem ini.

Aku kena angkat topi pada mamat bernama Mamat Khalid ini (juga Saw Teong Hin). Aku kenal dia sebagai penulis skrip telemovie Pukul 2 Petang yang sangat baik ditulis, dan kemudian menulis Lang Buana yang juga penuh ‘puns’ ala Melayu. AKu sedar bahawa dialah “rombongan cik kiah” yang dikatakan oleh Aznil dalam AF. Begitu ‘eccentric’, begitu ‘pelawak’. Tapi dialog-dialog yang diutarakan, dicipta olehnya dalam filem ini, aduh-aduh, kita seakan berjumpa sekali lagi dengan seorang Usman Awang, Shaharom Hussain dan Nordin Hassan-kata-katanya penuh kiasan, penuh ‘makna-makna dalam’. Mamat faham apa erti dan fungsi psikologi, nuansa dan roh orang Melayu, cakapan mereka, cara mereka memandang, berfikir juga. Mungkin subtitle (yang sungguh menolong) filem ini sudah menghilangkan setengah keindahan dan makna yang dalam tulisan Mamat. Tetapi kerana mainan fotografi alam (mega berarak laju. Azwan, kau betul, memang awan boleh bergerak di Malaysia, dan cantik sungguh! BTW, kalau korang sedar, menonton filem ini, kita kena kembali dengan gaya orang Melayu berpuitis. Mereka bercakap dengan adanya bicara alam, sepertimana corak pantun empat kerat dengan pembayangnya. Maka tanah, daun yang merisik sayu, awan berarak, semua itu impresionis ‘jiwa’ watak-watak itu. Ada banyak simbolisme seks yang berlaku dalam filem ini. Gunung Ledang disaluti awan sungguh erotis. Juga tanda ‘cinta’ yang menyelebungi tapi tidak bersatu [tema filem ini, unrequited love], kemudian ada keris yang dibuka [keinginan seks itu dibalas], mohor diraja yang cantik tapi lohong [seks tidak diperkenan], keris dipacak [memaksa keinginan seks dibalas atau pertunjukan machoisme]), corak cahaya (Tiara dibias cahaya), wajah muka (Tun Teja menunduk marah), nuansa tingkah laku (Tiara menepis bunga-bunga pada Hang Tuah, cuba memikatnya)- kekuatan ‘kiasan’ Mamat Khalid berjaya disempurnakan dengan teknik-teknik imej ini (yang dilakukan dengan sangat baik oleh pengarah fotografinya, Jason Kwan). Sungguh banyak imej yang ingin aku cerita.

Tak terkira sebenarnya. Tetapi antara babak imej yang paling aku suka, bukan sahaja kerana ia mengikut konteks budaya Keraton Jawa (adat istiadat budaya istana Jawa Lama) yang dipaparkan, tetapi mainan cahaya yang dibuat. 3 watak- dua (raja dan pembesar) watak dan seorang suri duduk bercakap dalam satu adegan. Kita sedar bahawa dua watak pembesar itu duduk dalam ‘kegelapan’ sedang suri di bawah kelas mereka duduk dikelilingi cahaya dan bagaimana cahaya itu ‘ditutup dari masuk ke dalam kegelapan’, kita sedar siapa yang mempunyai kebenaran dan siapa yang asyik dengan penipuan.

Maka filem ini sungguh membesarkan kebenaran (atau rasionalis) para wanita. 3 watak wanita dalam filem ini, semuanya tertindas, disiksa (terus atau tidak) dan dipermainkan oleh sistem ciptaan lelaki (lelaki disimbolkan sebagai chauvanis, dari Hang Tuah hingga ke Sultan Mahmud). Lelaki dituduh ‘memulakan perang’ seakan satu permainan. Mangsanya si perempuan. Perkara ini jadi lebih ironi bila kita sedar, dalam filem ini, si perempuan itu (Gusti Putri Ratno Dumillah atau Puteri Gunung Ledang. Bukankah Dumillah itu seakan Arab?) yang membawa diri untuk bertemu kekasihnya (Hang Tuah) menyebabkan lelaki-lelaki ini menegang tekak, punca segalanya persengketaan. Ironi kerana walaupun si wanita ini ingin keluar dari kepompong masalah ‘jeratan’ sistem dan norma lazim, dia sendiri mencari ‘punca’ segala ‘punca’ itu iaitu seorang lelaki (perbandingan yang sama dengan Embun, yang mana dalam Embun, Erma mengatakan wanita berhak sama-sama berjuang dengan lelaki dan memilih pasangan mereka. Filem ini juga mengatakan mereka merdeka untuk memilih jalan hidup mereka dan tidak memerlukan lelaki untuk membuat pilihan walupun bagaimana ‘besar’ si lelaki yang menunding mereka. Sangat feminis. Nasib baik ia bukan komedi, kalau tidak aku mati-amati percaya Tiara akhirnya jadi lesbian dari bodoh menyiksa diri kerana menyintai lelaki. Falsafah agak menarik dari Aziz M Osman dalam Feminanya: wanita masih memerlukan lelaki untuk hidup sedangkan dalam filem Perempuan, Isteri, & U-wei, wanita boleh menggegar bila ditindas. Sama seperti filem ini, wanita menggunakan sihir dan sakti untuk mengenakan si lelaki).

Pergolakan inilah yang sangat menarik dalam filem ini. Pergelutan kuasa antara kerajaan Demak-Majapahit-Melaka dibuat begitu baik. Ia memberitahu bahawa sejarah tercipta kerana insan-insan kecil ini bergolak (seperti filem LOTR, Suryothai, Troy, Reds, Lawrence of Arabia) dan menukar sejarah. Dan itulah epik. Aku mengatakan ia kecil kerana hanya beberapa pintu sahaja yang dibuka dan tidak dikembangkan dalam filem ini. Walaupun aku mahu lihat lebih dari itu (seperti kenapa perlu askar Demak menyerang kampung kecil itu), ia kelihatan sudah mencukupi untuk menerangkan isi filem ini (tentang kuasa/cinta dan perebutannya, yang mana jujur dan penting dan erti kesetiaan pada negara).

Antara babak bagus filem ini adalah penonjolan ‘ura-ura kejatuhan Majapahit’ yang dibuat dengan sungguh lembut sekali. Kita melihat wajah rajanya memegang tasbih (bangingan emas di leher mereka dengan tasbih kayu dan persoalan kerana kayu itu lebih bengis dari emas) pemberian utusan Pengiran Demak (gambaran ekstremis golongan kerajaan Demak begitu one-sided, terlalu berantagonis. Tidak ada kelabupun. Mereka seakan ada untuk menjatuhkan sebuah lagi kerajaan kerana ‘mereka menyembah berhala’, antara perkara kontreversi dalam filem ini yang aku agak tidak bersetuju. Peliknya media barat sudah mula mahu memberi cahaya baru tentang Islam, kita, orang filem kita sendiri sudah mahu menunjukkan ‘orang pakai jubah semuanya kejam’. Apa reaksi Nahdatul Ulama dan pengkaji, scholars sejarah Wali Songo berkata tentang ini), bagaimana menterinya dengan bangga menyuruh raja itu mengahwinkan adiknya dengan raja Melaka dan bagaimana raja Majapahit menyelinap waktu malam berjumpa Sultan Melaka untuk memperkenankan adiknya pada Sultan Melaka (walaupun ini agak memalukan kerjaan ‘pernah’ agung itu), bagaimana dengan sihir setinggi mana, raja Majapahit tetap menggunakannya untuk tujuan gaduh anak-anak kecil. Ritual pemujaan yang dilakukan juga sungguh mensayukan. Kita sedar bukan sahaja bangsa ini mempersoalkan ritual ini (jika ia berkesan lagi pada zaman yang lincah bertukar), atau sedar satu transformasi ritual dan kepercayaan sedang berlaku (sepertimana orang Rom dari pemujaan dewa-dewa pada Nasrani, atau proses modenisasi Kemal Atartuk pada Turki, atau seperti filem ini, dengan lebih sadis, penukaran Hinduisme-Budhha pada Islam ‘dengan pedang’) bila satu-satu tamadun ingin runtuh, tetapi bahawa semua tamadun seperti Majapahit (dan Melaka yang menyusul) musnah kerana kebongkakan dan keras kepala mereka tentang cara hidup mereka dan ritual dan kepercayaanereka, hingga tiada lagi ruang untuk penerimaan pertukaran.a sangat menghayat hati, juga sungguh melengkapkan.

Filem ini juga penuh dengan unsur-unsur mistikal (malah alam juga digambarkan mistikal), perkara-perkara yang kita baca dalam hikayat-hikayat lama, membuatkan filem ini kembali pada roman magisnya hidup zaman-zaman purba. Ini dibuat baik dengan perlakuan telekenisis, melangkah alam dan waktu- babak-babak ini dibuat dengan penuh teliti, penuh kelembutan dan ketangkasan, kita semacam dibawa kembali menghayati kisah-kisah keperwiraan yang kita dengar dari tukang karut, tok dalang dan wayang kulit. Sakti itu juga menonjolkan bagaimana kasta masyarakat dahulu terbahagi kerananya dan bagaimana walaupun dengan kesaktian, ia masih memerlukan kecerdikan dan hati yang luhur dan jujur.

Hati yang jujur dan luhur pula adalah antara ciri yang disampaikan tentang cinta Puteri Gunung Ledang dengan Hang Tuah dalam filem ini. Dan ini adalah ciri paling penting dalam filem ini, juga yang paling lemah disentuh oleh pengarahnya. Perjalanan cinta itu sendiri sudah seru, kewujudannya dan konfliknya. Malah babak klimaks di istana Melaka sungguh seru, antara Tiara dan Adlin Ramli (sebagai Sultan Melaka. Kita sedar di sini, ada simbol-simbol politik Melayu dimainkan dengan subtle sekali. Sultan Melaka adalah simbol roh keMelayuan yang sangat bangga dengan ‘bumpiputera’ mereka dan bagaimana ia harus diikut, tidak kita bagaimana ‘lainnya’ bangsa lain mahukan Malaysia. Sepertimana yang ingin Puteri Gunung Ledang pinta: “Saya mahu merdeka berjalan di sana sini”. Maka TULAHlah yang diterimanya. Tulah dalam filem ini sungguh memilukan. Satu tahap ia menonjolkan kekuasaan kuasa Melayu, dan satu tahap ia menunjukkan bagaimana ia menjadi petanda kejatuhan Melayu kerana tidak usul periksa menggunanya [kerana pasal itu, Hang Tuah, sebagai simbol kekuatan dan budi Melayu hilang selepas itu]). Kemudian ada babak Hang Tuah mencari-cari Putri Ratno yang kita sedar sudah disumpahi oleh Sultan Melaka. Akhir ini sebenarnya akan jadi lebih gerun jika ia ditambah dengan resolusi (tidak perlu adegan, mungkin epilog kata sudah cukup) yang berlaku pada Demak, kemudian Majapahit dan titik permulaan kejatuhan Melaka (filem lama, Puteri Gunung Ledang ada menambah kedatangan Feringgi, yang mana akhir filem lama itu nampak lebih meresahkan) kerana kisah Layla Majnun Hang Tuah ini berlaku (bukankah itu makna epik? Kesan yang berlaku dari perkara-perkara kecil?) dan dijuktaposisikan dengan gunung Ledang yang sentiasa berdiri teguh (maka boleh dibezakan, kerakusan dan peperangan bersilih ganti tapi kejujuran dan ketulusan cinta akan sentiasa hidup selamanya), maka ia tidak akan menjadi ‘hanya sebuah lagenda tentang simbol cinta agung’.

Kesemua pelakon dalam PGL adalah pada tahap terbaik mereka. Malah ‘method acting’ Tiara Jacquelina “Saya cakap, hidup, makan dan bernafas jawa sepanjang penggambaran filem ini” sungguh cemerlang. Beliau yang aku kira amat susah untuk membawa seorang puteri jawa berjaya membuat aku percaya, beginilah Puteri Gunung Ledang yang sebenarnya. Kemudian M Nasir juga sungguh bagus. Wataknya sangat ‘kelabu’, hilang keperwiraan Tuah dan masuk ‘anti-hero’ versi Melayu feudalis. Sungguh menggoyah! Pelakon-pelakon lain seperti Sofea Jane, Adlin Aman Ramlie (sungguh tinggi Adlin waktu berjalan atas karpet merah, waduh!), Christine Hakim, Azmil Mustapha, Alex Komang, Slamet Rahardjo dan terutamanya Rahim Razali sebagai bendehara yang sungguh licik tapi empati, beliau boleh dapat anugerah pelakon pembantu terbaik untuk filem ini.

Semua kuasa teknikal adalah dalam filem ini adalah dalam tahap tertinggi, malah sangat membanggakan. Efek CGI yang berlaku dalam filem ini adalah yang paling baik dibuat dalam filem Melayu (lanskap istana Melaka, jalar pokok, tulisan jawa kuno di skrin waktu pembacaan syarat-syarat meminang). Efek bunyi juga begitu menghentak dan bergaung. Lagunya? Waduh, lagunya…aku kena beli soundtracknya. Ha, beginilah baru orang boleh kata soundtrack. Lagu-lagu ciptaan M Nasir dan diokestrakan oleh Tan Yan Wei sungguh mendayu, malah berjaya membawa separuh dari emosi filem ini pada jiwa aku, seakan kata-kata hati watak filem ini meronta (dan bukan sahaja langit dan gunungnya).

Filem ini mungkin ada cacat celanya. Tapi cacat cela ini sungguh kecil malah tidak perlu dipikir langsung. Malah aku berkata serius, Tiara Jacquelina memang sudah melakukan sesuatu yang sungguh memenatkan tetapi berjaya juga disempurnakan (syukur, kita sudah mula ada para wanita dalam bidang ini yang bertungkus lumus dalam pembikinan ‘craft’ mereka). Aku berharap sungguh, dengan filem ini yang memang berharapan jauh (dan sepatutnya begitu, malah bangga aku kata, ia sudahpun jauh), aku harap ia dapat menukar sejarah perfileman kita, menukar kepopularan, minat kita membaca sastera lama kita, sejarah lama kita, menimba lebih ilmu dengan membaca (dan bukan membaca Mastika, Cleo dan FHM saja). Dengan filem ini juga kita seharusnya sedar, kita juga ada cerita lama yang boleh dihebohkan pada dunia. Filem ini berjaya memberi aku harapan. Aku harap, aku bukan seorang.

Wajib Juga Untuk Dibaca:

Ulasan Spiral

Kredit: Kenapa saya tidak tulis sendiri? Kerana saya tidak mampu menyediakan pembentangan ulasan yang lebih baik daripada 2 ulasan ini. Saya sifatkan ulasan Fadz dan Spiral adalah yang terbaik bukan sahaja untuk filem ini malah untuk kebanyakan filem mainstream dan minor yang lain. Lihat bagaimana mereka buat kajian dan reseach sebelum menulis. Bukannya main boo. Banyak yang perlu saya belajar daripada mereka berdua. Selain mereka berdua. Ulasan lain yang pernah saya baca, bukanlah ‘ulasan’ bagi saya.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on September 14, 2004.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: