Lagi Lagi Realiti TV

Dipetik daripada Utusan MalaysiaProgram realiti ketepikan nilai Timur oleh SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM, Koleh Universiti Islam Malaysia.

Fiqarash: Baca dan telitikan artikel ini. Hakikat yang dijentik penulis pahit ditelan namun yang baik wajar dijadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.

Kebelakangan ini, baik di media cetak dan media elektronik, rata-ratanya sibuk memperkatakan tentang beberapa program rancangan televisyen realiti yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di stesen-stesen televisyen tempatan. Populariti rancangan realiti ini amat ketara dengan bersandarkan keadaan di luar ‘program realiti’ berkenaan seperti di warung-warung kopi, pejabat kerajaan dan swasta, malah di institusi pengajian tinggi. Trauma yang melanda masyarakat dewasa ini amat membimbangkan dan mungkin bertambah tenat jika ia dibiar berlanjutan. Tidak kira di semua peringkat usia, jantina, bangsa mahupun agama, keterlibatan rakyat Malaysia adalah amat jelas.

Seperti yang kita sedia maklum, peranan media massa sangat penting dalam kehidupan seharian. Media bukan sahaja setakat menghibur, tetapi menyediakan kita aliran maklumat yang terpenting seperti sistem politik, institusi ekonomi, paparan isu semasa, gaya hidup dan segala macam keperluan lain. Oleh kerana masyarakat masa kini sangat bergantung kepada media, maka sepatutnya media dijadikan objek penelitian yang serius. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan golongan masyarakat tidak terlalu terpengaruh dan `mendewa-dewakan’ sesuatu program realiti itu. Jika filem dikatakan cerminan budaya dan bangsa sesebuah negara, maka program televisyen bolehlah diibaratkan sebagai cara berfikir dan tahap kematangan sesuatu golongan yang ada di dalamnya.

Barangkali sudah sampai waktunya untuk kita menilai semula semua program yang ada di stesen televisyen dan pencapaian kualiti dan kewibawaannya. Dan apakah sumbangannya yang sebenar kepada masyarakat kita dalam memberikan maklumat dan membentuk cara pemikiran rakyat. Seperti mana peranan asalnya yang sering dilaung-laungkan. Terutama sekali dalam memperkatakan tentang peranannya sebagai pencetus minda dan informasi rakyat secara terancang bersesuaian dengan objektif awal kewujudannya. Jika dilihat sejarah program-program televisyen pada peringkat awal ia banyak menumpukan aspek pendidikan kepada masyarakat. Format penyiaran pada masa itu lebih menitikberatkan bentuk siaran yang memberi ilmu dan pengajaran kepada rakyat.

Kewujudan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya membuka era penyiaran yang lebih mengutamakan tanggungjawab sosial masyarakat daripada bermotif keuntungan semata. Tetapi sejarah juga telah membuktikan bahawa telah berlaku suatu perubahan besar dalam dunia penyiaran negara di mana rata-rata masyarakat telah maju dalam aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan. Program yang berteraskan pendidikan sudah tidak lagi dirasakan relevan oleh sesetengah stesen televisyen tempatan. Kini tiba pula suatu trend di mana masyarakat dikatakan lebih dahagakan hiburan. Lalu mereka mencipta alasan untuk merebut peluang ini bagi terus memikat hati penonton. Maka lahirlah pula satu dimensi program realiti.

Disentuh mengenai program realiti masa kini, adalah tidak salah jika dikatakan bahawa ia adalah bermotifkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan aspek budaya dan moral masyarakat. Stesen televisyen yang berkenaan mungkin berjaya dari segi rating tetapi adakah ia berjaya membawakan sesuatu yang dikatakan `nilai masyarakat’. Pendekatan format realiti adalah menjadi tuntutan di mana-mana stesen televisyen di dalam mahupun di luar negara pada masa ini. Bentuk rancangannya yang bersahaja membuatkan khalayak penonton berteka-teki untuk mengetahui kesudahannya. Ia dapat menjadikan khalayak penonton berfikir dan menggalakkan mereka untuk turut serta menyelami konflik yang ada dalam sesuatu program itu melalui watak yang diwujudkan. Tetapi perlu juga difikirkan mengenai natijah yang bakal `ditinggalkan’ dalam pemikiran khalayak tontonan. Ia akan membentuk masyarakat yang berfantasi dan hanyut dalam gelombangnya yang memungkinkannya lemas keseorangan. Jika diteliti rancangan realiti yang ada di Malaysia setakat ini rata-ratanya adalah adaptasi program-program dari Barat.

Menerima

Dan apabila ini terjadi, kita seolah-olah telah menerima pakai segala mesej yang tersurat dan juga yang tersirat di dalamnya.Kebanyakan program realiti yang ada tidak memikirkan langsung tentang aspek moral dan budaya masyarakat Malaysia. Tiada ciri-ciri budaya masyarakat Melayu yang beragama Islam dipaparkan dalam program berkenaan sedangkan majoriti penontonnya adalah orang Melayu. Pergaulan bebas di antara lelaki dengan perempuan, percakapan yang agak keterlaluan dan juga cara penampilan mereka yang bertentangan sebagai anak Malaysia. Kesemua ini seringkali ditonjolkan bagi `pelaris’ program. Apakah ini yang kita mahu wariskan kepada generasi muda kini? Inikah yang dikatakan `realiti’ yang mahu dicipta dan diagung-agungkan?

Mana perginya jati diri masyarakat Malaysia?

Bukan sahaja tidak mementingkan aspek moral dan budaya tetapi juga mengambil kesempatan mengaut keuntungan jutaan ringgit melalui kaedah sms. Kononnya memberikan sokongan melalui undian tetapi dalam masa yang sama mendatangkan kerugian pada segelintir golongan yang terlalu fanatik terhadap program sebegini. Apa yang penting, tidak kiralah program realiti ataupun fantasi, kita seharusnya bertanya di dalam diri apakah tujuan ia diwujudkan? Adakah sekadar hiburan, mengutip keuntungan, ataupun ia kehendak khalayak penonton? Tambahan pula tiada langsung dalam program realiti berkenaan yang mengajak untuk memperkasa dan menerap ajaran dan nilai Islam secara terancang dan teliti melalui pendekatan media elektronik. Stesen televisyen jangan terlalu mementingkan keuntungan dan desakan pengiklan sebaliknya mengambil kira tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Negara mahu melahirkan generasi pelapis yang berwibawa dalam aspek mental dan fizikal, bukan gah sebagai bangsa maju tetapi kurang dalam aspek moral sehingga sanggup mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang tidak sopan.

Agak sukar untuk mengatakan bahawa setiap mesej yang cuba disampaikan oleh program televisyen adalah seragam kepada semua penonton kerana manusia dilahirkan tidak seragam, apatah lagi kebolehan berfikir secara rasional. Apa yang pasti, manusia dikurniakan akal yang sempurna yang sepatutnya dapat membezakan yang baik dan buruk.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on August 4, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: