Pria Fantasia – Mawi, Werl!

Detik 11.30 malam 06 haribulan Ogos 2005 melakarkan lembaran sejarah yang tersendiri. Stadium Melawati Shah Alam menjadi saksi pertabalan Pria Fantasia terhebat dalam sejarah Realiti TV tanahair. Asmawi Ani, 24 tahun yang berasal dari Kulai, Johor berjaya merangkul 3 anugerah tersohor dalam Akademi Fantasia musim ke-3 sekaligus berjaya mematahkan segala spekulasi, konspirasi mahupun kontroversi yang melanda beliau selama berada di dalam Akademi Fantasia. 3 anugerah itu termasuklah pertabalan takhta Juara Akademi Fantasia Musim Ke-3, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.

Mawi yang menyanyikan lagu Seroja dendangan asal Jamal Abdilah dan sebuah lagu baru ciptaan komposer, penyanyi dan pelakon tersohor tanahair, M Nasir dan Loloq – Aduh Saleha berjaya memikat hati para juri profesional, penonton di stadium dan penonton di rumah untuk membolehkan beliau diumumkan sebagai pemenang mutlak Akademi Fantasia, seperti mana harapan dan jangkaan ramai pihak termasuklah peminat, penggiat industri muzik, dan masyarakat umum. Berdasarkan prestasi kutipan undian yang diterima setiap minggi dari minggu pertama sehinggalah konsert final, adalah tidak sukar untuk meramalkan kemenangan itu. Ia adalah rezeki kurniaan Allah terhadap seorang insan yang selama ini terkenal sebagai pelajar yang low profile, religious, dan ‘selumber’ ini.

Kedudukan Undian SMS terakhir:
1. Mawi 58%
2. Felix 30%
3. Amylea 8%
4. Marsha 4%

Entertaining Religion vs Religious Entertainment
Saya teruja untuk menyentuh 2 konsep yang kedengaran sama namun teorinya cukup berbeza ini. Akademi Fantasia saya lihat telah membuka langkah baru yang bijak (tak semestinya baik) untuk memperkenalkan entertaining religion despite the ordinary religious entertainment seperti irama nasyid yang ada di pasaran Malaysia buat masa kini. Penyerapan semula Mawi ke dalam Akademi Fantasia kemudiannya mendapat sambutan hangat adalah satu cerminan mentaliti rakyat Malaysia dalam era ledakan anasir anasir negatif dari serata dunia. Kita sebenarnya sudah kabur apakah tuntutan agama yang sebenarnya, kemudian kita cuba menafsir sendiri hukum hukum agama yang bersangkut paut dengan tafsiran halal, haram dan makruh. Sehingga penyanyi, berpegangan sesama bukan muhrim, sehingga persendakan soal tudung atau jilbab wanita dijadikan perkara yang – ala, tak apalah.

Mawi adalah pelajar yang berjaya menyerlah berbanding 13 yang lain kerana so called ‘kealimannya’. Popularitinya semakin menuju puncak menjelang konsert konsert akhir apabila semakin ramai pelajar telah meninggalkan Akademi Fantasia. Saya berani katakan populariti Mawi buat masa kini brjaya mencipta trend terbaru budaya menyanyi, berjalan, berperwatakan sehinggalah berfesyen anak anak muda zaman sekarang. Lihat sahaja sepanjang jalan Petaling Street, t-shirt bercetakan wajah Mawi, tudung yang dipanggil Tudung Mawi, minyak urut yang digelar Minyak Urut Mawi telah membanjiri pasar rakyat itu. Hendak dikatakan tampan? Rasanya ada lagi yang lebih tampan dalam AF3, botak pula tu. Hendak dikatakan bersuara mantap, ada juga yang lebih mantap, sengau pula tu. Tapi itulah aura yang ada pada pelajar yang kini sudah bergelar bintang Akademi Fantasia.

Jadi soalnya mengapa Mawi begitu popular? Secara peribadi, saya rasa ini disebabkan rakyat Malaysia terlalu ketandusan seorang role model yang mampu memberi cerminan bahawa insan yang bergelumang dalam kehidupan glamour juga mampu menunaikan tanggungjawab yang dituntut agama Islam. Ya, Mawi adalah calon yang terbaik untuk disandarkan sebuah harapan sekaligus membuktikan kepada kita bahawa agama dan hiburan mampu bertindak sebagai pelengkap untuk menyeimbangi gejala yang kurang elok dilihat, didengar ataupun dilakukan. Kebobrokan dan kepincangan sudah tidak mampu untuk dibendung lagi, dengan adanya pengaruh insan seperti Mawi, barangkali kekentalan dan ketegasan Mawi dalam soal hukum hakam agama mampu membawa perubahan, biarpun dalam julat yang agak kecil kepada dunia hiburan tanahair. Ini adalah bukti mentaliti rakyat Malaysia yang masih mencari seorang wakil role model yang alim, tetapi mampu membawakan hiburan yang menjadi kegemaran ramai. Dan sekiranya mentaliti seperti ini berterusan sehingga satu tahap yang mampu dibanggakan, tidak hairan role model yang menjadi idola anak remaja akan terdiri daripada golongan yang mampu memberi nasihat yang berkesan untuk menidakkan serba sedikit amalan yang kurang elok di kalangan masyarakat? Bak kata orang, kalau mahu berdakyah, maka perlulah turun ke padang. Cuma saya harap, ya saya harap, jangan Mawi didakyah sehingga lemas di padang sudahlah.

Teori konspirasi, kontroversi dan spekulasi.
3 elemen ini adalah agen yang secara langsung bertindak sebagai tiang untuk meneguhkan wilayah penguasaan Mawi di dalam AF dan populariti Mawi di luar AF. Bermacam teori telah disebutkan supaya lebih ramai orang menyokong Mawi dengan alasan kononnya Mawi dianiaya pihak Astro. Jadi sehingga kini, sejauh mana kebenarannya biarpun pada sedikit yang terlekat pada kulit teori itu telah terbukti? Saya harap ini bukanlah taktik Astro untuk mengaut keuntungan besar yang berlipat ganda. Lihat sahaja bagaimana dramatiknya penyerapan Mawi pada minggu pertama setelah penyingkiran yang tidak rasional pada konsert prelude. Insiden ini menyebabkan peminat Mawi semakin kencang mengAFUNDI MAWI sehingga Mawi dinobatkan sebagai juara 3 serangkai. Tidak cukup dengan itu, kontroversi seperti undian SMS banyak, peratusan naik tak banyak; peratusan yang sepatutnya tinggi direndahkan; sehinggalah peratusan undian yang tidak ditunjukkan adalah untuk memenangkan pelajar lain; semua ini adalah sandiwara yang dilakonkan untuk memerangkap pengAFUNDI untuk bergembira dengan kemenangan Mawi, namun menangis untuk bayar bil telefon. Dari awal lagi saya tidak percayakan segala rumors ini dan saya percaya, Astro tidak akan menganaktirikan duit pengAFUNDInya.

Populariti vs Bakat
Satu gejala yang kurang elok pada peminat fanatik Mawi ialah pantang dijentik. Habis dihentam orang yang baru cuba hendak menjentik itu. Pandangan saya ialah, kalau angin tidak bergoncang, masakan pokok bergoyang. Apatah lagi percubaan seperti ini dilakukan oleh mereka yang terdiri daripada penggiat seni itu sendiri? Mereka juga mahu menjaga periuk nasi mereka sendiri. Jangan disebabkan kegentaran, kerisauan dan ketakutan terhadap tindak balas peminat fanatik, kritikan kritikan yang sepatutnya dijadikan batu loncatan Mawi untuk terus memajukan diri dalam pelbagai aspek telah berubah untuk kata kata pujian yang bertopengkan kepura puraan. Ini bukan sahaja tidak bagus untuk Mawi, malah untuk masa depan Mawi juga.

Tetapi memang ada segelintir peminat Mawi telah membutakan mata dan hati, sama seperti golongan anti Mawi yang terlalu sensitif dengan populariti yang dicapai Mawi dalam sekelip mata. Masing masing berbalas bahas dengan bahasa yang cukup memedihkan mata. Tidak kira di channel @15, dada dada akhbar mahupun forum forum perdana Akademi Fantasia; tidak lupa juga fan club dan blog pengulas Akademi Fantasia.

Pada pendapat saya, ini adalah sebuah rancangan realiti TV yang mana keputusan mutlak terletak di dalam tangan peminat masing masing. Peserta yang berbakat tidak semestinya akan dinobatkan sebagai juara jikalau personaliti peserta itu tidak berjaya menawan hati peminat. Peserta yang hanya ada personaliti juga tidak akan berjaya digelar juara kerana pasti ada yang mahu mengundi berdasarkan bakat. Jadi keseimbangan antara bakat dan personaliti yang dimiliki Mawi adalah satu bonus yang besar terhadap perjalanan seni Mawi. Saya tidak menafikan aspek populariti Mawi mengambil peratusan yang besar di dalam kejayaan Mawi namun harus diingat, bakat boleh diasah, star quality atau pesona bintang (versi Akademi Fantasia) untuk menyinar terletak pada penilaian individu. Kemenangan Mawi tidak boleh dipertikaikan!

Masa depan
Cerah secerahnya. Bayangkan dalam gang saya seramai 10 orang yang lepak di Warong Kak Teh kesemuanya penyokong Mawi. Dalam 20 orang mungkin 1 yang tak kenal Mawi. Andai kata esok Mawi bekerja lebih keras dan kumpul lebih banyak pengalaman beraksi di atas pentas berprestij seperti malam anugerah dan sebagainya. Nescaya Mawi akan mencipta nama segagah tuan pengetuanya M Nasir dalam masa 10 tahun yang akan datang. Populariti boleh menurun namun andai kata Mawi sudah mencapai tahap masterpiece dalam dunia seni suara tanahair, maka Mawi sudah tidak perlu risaukan masalah ini kerana beliau sudah menjadi sebahagian daripada bintang ternama yang sudah berada di dalam kelasnya yang tersendiri, seperti M Nasir sendiri, Jamal Abdillah, Hattan, Zainal Abidin dan Saleem.

Akhir kata, tahniah Mawi, tahniah Felix dan tahniah Amylea dan Marsha. Fenomena baru industri seni suara tanahair! Tahniah Akademi Fantasia.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on August 6, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: