Toleransi dan kewarasan
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Realiti televisyen telah mencetuskan kontroversi. Banyak pihak membidas program realiti televisyen yang dikatakan memberikan kesan yang buruk kepada budaya Melayu. Tetapi malangnya mereka tidak memperhalusi secara khusus kesan buruk itu.

Kritikan terhadap program realiti televisyen sebenarnya bukan baru. Program terawal American Family (1973) misalnya mendapat kritikan teruk terutama oleh akhbar The New York Times. American Family yang merupakan realiti televisyen pertama ini diparodi daripada filem pertama Albert Brooks, Real Life. Barat pun sensitif apabila kehidupan sebenar dipaparkan secara realiti.

Tetapi ledakan sebenar realiti televisyen pada 2000 dengan kemunculan program Survivor di Amerika Syarikat (AS) dan Big Brothers di Eropah. Ketika menghadiri forum televisyen interaktif di Cannes, Perancis tahun 2001, ahli-ahli panel juga membayangkan realiti televisyen akan menjadi satu fenomena seluruh dunia. Ini merujuk kepada ledakan Survivor hingga ke negara ini dan juga Big Brothers.

Kontroversi realiti televisyen di negara ini bermula selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegur secara umum supaya program realiti televisyen peka kepada norma dan susila tempatan.

Selepas teguran itu banyak pihak yang membentuk persepsi seolah-olah realiti televisyen kita sekarang ini sangat bahaya. Tetapi seperti biasa apabila terlalu banyak memberi reaksi, banyak pulalah kekeliruan yang timbul. Bukan saja keliru malah memberikan suatu gambaran yang agak menyimpang mengenai program realiti televisyen tempatan.

Mujurlah pada hari berikutnya Najib sendiri memperjelaskan bahawa kenyataan beliau bukan bermakna minta dihentikan realiti televisyen tetapi dikurangkan elemen-elemen yang bercanggah dengan nilai-nilai setempat.

Cuma apabila terlalu banyak pihak yang mahu memberi reaksi, hujah dan jurusnya menyimpang daripada topik yang sepatutnya dibahaskan. Program realiti televisyen di negara ini adalah Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, Bersamamu, Mencari Cinta, Who Will Win dan Top Host.

Khalayak pula semacam panik apabila semua reaksi membentuk satu persepsi umum bahawa realiti televisyen sangat bahaya, tidak bermoral dan ancaman kepada budaya Melayu. Malah seolah-olah stesen televisyen seperti TV3, ntv7 dan Astro membawa bala yang sangat besar menerusi program realiti televisyen.

Teguran Najib suatu yang baik untuk industri penyiaran supaya ada kewarasan antara tanggungjawab moral dan juga perniagaan. Malah teguran Najib mengingatkan bahawa idea dan isi kandungan harus datang daripada orang tempatan.

Memang benar semua program realiti televisyen berkonsep hiburan negara ini tempias dari AS dan Eropah. Sama ada stesen televisyen mengambil secara francais atau meniru bukan lagi persoalannya. Ini kerana yang wajar menjadi isu daripada teguran Najib adalah apakah tidak ada idea yang asli boleh dikembangkan dalam konsep realiti televisyen?

Persoalannya apakah semua realiti televisyen mesti meniru dari Barat? Tiru satu hal, melangsungkan nilai Barat satu hal lagi.

Teguran Najib terhadap program realiti televisyen ini adalah cabaran kepada semua stesen televisyen negara ini. Apakah kita langsung tidak ada idea untuk menghasilkan konsep program seperti Akademi Fantasia selain dibeli konsepnya dari Mexico misalnya?

Jadi apa masalahnya dengan realiti televisyen? Adakah soal idea luar, populariti, isi kandungan atau kontroversi? Sebelum kita memberikan persepsi bahawa realiti televisyen di negara ini bagaikan satu virus yang bahaya kepada budaya dan moral, yang perlu dilakukan adalah tumpukan kepada isunya.

Kita semua juga wajar mengakui tentang masalah ketidakaslian idea. Tetapi yang banyak dibahaskan dalam media sejak akhir-akhir ini bukanlah tentang idea yang tidak asli. Sebaliknya mengenai isu “budaya Melayu” yang tentunya sangat luas ruang litupnya. Malah ada pula membahaskan isu “budaya Timur”.

Seeloknya kita jangan tergesa-gesa menjuruskan kepada isu budaya kalau sekadar menyapu lapisan luar saja. Inilah yang meninggalkan kekeliruan seolah-olah hanya program realiti televisyen saja yang tidak berbudaya Melayu atau Timur.

Kita kena berlaku adil juga kepada program realiti televisyen. Caranya dengan menjuruskan perbahasan kepada isu-isu yang khusus dan bukan “pukul rata” secara umum. Kalau bercakap mengenai tidak berbudaya Melayu, kita kena mengakui hampir semua program bercorak hiburan di televisyen tidak berbudaya Melayu.

Apa itu budaya Melayu? Tentulah gerak geri, pakaian, muzik, lagu dan dekorasi pentas hiburannya. Apa pula yang ada pada semua program hiburan kita selain realiti televisyen? Tentulah tidak ada “budaya Melayu” yang diperkatakan di atas tadi.

Tambahan pula medium televisyen itu sendiri bukan daripada lingkungan budaya Melayu. Pakaian moden juga bukan busana tradisi Melayu, muzik moden memang bukan daripada budaya Melayu malah dekorasi pentas juga tidak ada seni bina Melayu.

Jadi, masalahnya bukanlah berbudaya Melayu atau tidak. Ini kerana banyak program hiburan lain juga tidak berbudaya Melayu kecuali beberapa program saja.

Apa bezanya pertunjukan nyanyian dalam Akademi Fantasia dengan program Hiburan Minggu Ini (HMI) di RTM? Kedua-duanya memperlihatkan orang menyanyi dan kedua-duanya dilakukan di atas pentas. Adakah kerana Akademi Fantasia atau Mentor di TV3 hebat diperkatakan maka itu menjadi satu kesalahan moral?

Program Mencari Cinta di TV3 pula tidak sedikit pun mengambil pendekatan The Bachelor yang berkonsepkan dating show. Pertemuan lelaki dan perempuan dalam Mencari Cinta disesuaikan dengan alam budaya setempat sekalipun sebaiknya rakaman program ini dibuat secara kandid tanpa pengetahuan peserta. Tetapi TV3 tidak melakukannya, tentu saja ini kerana faktor tatasusila.

Malah Akademi Fantasia juga sebenarnya tidak menepati konsep realiti televisyen dalam definisi Barat. Apa yang realitinya dalam Diari Akademi Fantasia kalau kamera tidak menyorot sepenuhnya aktiviti harian pelajar di premis itu.

Maka kita boleh membuat andaian bahawa konsep realiti televisyen di Barat tidak dilangsungkan dalam Akademi Fantasia. Memang banyak yang tidak “realiti” dalam Akademi Fantasia dan kita boleh menganggap ini sengaja dilakukan kerana faktor lingkungan budaya.

Malangnya tidak ada siapa yang membaca peringatan Najib supaya stesen televisyen tempatan tidak meniru bulat-bulat program realiti televisyen di Barat. Konsep realiti televisyen bermakna dalam satu premis, gerak-geri peserta akan dirakamkan oleh kamera yang diletakkan di pelbagai sudut secara rahsia.

Misalnya program realiti televisyen terbitan FOX, Who’s Your Daddy. Program ini mencetuskan kontroversi serta membakar kemarahan khalayak apabila peserta wanitanya diambil sebagai anak angkat dan meneka identiti bapanya sendiri. Selain itu The Will terbitan CBS yang memaparkan rakaman realiti kehidupan sebuah keluarga.

Tetapi selepas satu episod ke udara, The Will dihentikan penyiarannya. Ini menjadikan The Will satu-satunya siri televisyen yang diberhentikan selepas satu episod disiarkan. Maknanya rakaman secara langsung juga belum diterima secara terbuka oleh masyarakat Barat.

Kita wajar melontarkan kebimbangan sekiranya ada perancangan pihak stesen televisyen meniru bulat-bulat Who’s Your Daddy, The Bachelor atau The Will dalam program realiti televisyen tempatan. Maka saranan Najib supaya stesen televisyen peka memang kena pada tempatnya.

Pada 1998, Peter Weir mengarahkan filem The Truman Show yang dilakonkan oleh James Carrey. Bagi pandangan umum, The Truman Show adalah filem komedi yang membuatkan panggung gegak gempita dengan ketawa.

The Truman Show menceritakan bagaimana seorang manusia yang sepanjang hayatnya diekori oleh kamera. Semua yang dilakukannya dirakam dan dipaparkan ke-pada umum. Dalam konteks dunia penyiaran, apa yang berlaku dalam The Truman Show adalah realiti televisyen.

Maka stesen televisyen kena pastikan kebebasan kreatif, perang rating dan desakan kepenggunaan tidak akan melahirkan sebuah realiti televisyen seumpama The Truman Show yang menafikan hak privacy manusia. Stesen televisyen wajar sensitif dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on August 8, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: