All About SMS

Dari riak wajah Pak Lah di kaca TV baru-baru ini, jelas tergambar betapa orang tua itu sungguh marah dengan kerenah sesetengah rakyat negara ini yang sering menyalahgunakan kad SIM tidak berdaftar bagi menghantar SMS yang tidak memberi manfaat. Teknologi canggih yang mula berkembang pesat sejak awal abad ke 21 ini nampaknya semakin diminati bagi digunakan untuk tujuan penyebaran maklumat palsu. Datin Seri Endon Mahmood nampaknya tidak terlepas dari fitnah menerusi SMS. Sebelum ini pun negara pernah digemparkan dengan kisah Cik Siti Nurhaliza Penyanyi nombor 1 negara yang telah membuat laporan polis berikutan fitnah SMS serta email layang yang berkisar mengenai diri beliau. Berikutan aduan Siti, pihak polis dengan kerjasama unit forensik Telco tempatan dan juga unit forensik ISP tempatan telah berusaha mengesan siapakah penyebar fitnah SMS serta email layang itu.

Di TMnet Sdn Bhd, terdapat seorang pakar ICT yang telah membina sebuah sistem yang diberi nama ‘Abuse Tracking System’. Sistem canggih yang beliau bina itu mampu mengesan penjenayah ICT dalam beberapa saat sahaja. Maka bagi kes Siti, hanya dengan menekan satu butang sahaja akan terpapar profil siapakah yang menyebarkan email layang yang memfitnah Siti Nurhaliza.

Bagi kes membabitkan SMS pula, setiap Telco tempatan turut mempunyai sistem tersendiri bagi mengesan penyebar fitnah SMS. Cuma ada satu sahaja masalah dalam mengesan penjenayah ini – nombor kad SIM tidak berdaftar. Menurut Pak Lah, kerajaan buat masa ini tidak berniat hendak menggesa Telco tempatan mendaftarkan nama empunya setiap nombor telefon bimbit. Apakah sebenarnya sebab musabab kerajaan bertolak-ansur dalam hal ini?

Tiga cara menghantar SMS
Maaf jika pembaca kurang faham dengan ayat-ayat di bawah sub-tajuk ini kerana ianya agak teknikal. Dalam dunia SMS, terdapat tiga cara yang penulis ketahui bagi menghantar SMS.

1. Menghantar SMS dengan menggunakan kad SIM
Ini adalah cara biasa yang sering kita gunakan. Kita masukkan kad SIM ke dalam telefon bimbit dan kita hantar SMS kepada rakan-rakan kita.

2. Menghantar SMS dengan menggunakan sistem SMS Gateway
Cara ini lazimnya dilakukan oleh syarikat-syarikat CP tempatan (Content Provider, termasuk Telco). SMS juga boleh di tebar luas (broadcast) kepada beribu-ribu nombor telefon dengan menggunakan cara ini.

Sebelum sistem SMS Gateway ini boleh beroperasi, CP haruslah terlebih dahulu mempunyai sebuah server yang tersambung menerusi talian suwa 128k ke Telco tempatan. CP juga dimestikan membeli nombor lima digit atau lebih dikenali sebagai short-code dari Celcom,Digi dan Maxis. Apabila kesemuanya telah disediakan, maka tanpa segan-silu sistem SMS Gateway ini akan mengambil wang dari pengguna telefon bimbit kerana sistem ini berkemampuan melakukan reverse-billing.

Jika sebelum ini anda pernah melakukan transaksi seperti muatturun ringtone,wallpaper atau anda pernah membuat perbankkan menerusi SMS, atau anda menyertai kuiz SMS, atau anda pernah AFUNDI Mawi, maka anda adalah merupakan ‘mangsa’ kepada sistem ini.

Oleh kerana sistem ini berkebolehan membuat reverse-bill maka dapat kita saksikan bagaimana bercambahnya syarikat-syarikat CP di Malaysia. Masing-masing berlumba-lumba mengaut keuntungan lumayan dari teknologi SMS ini. Lihat sahaja bagaimana pihak Astro mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi remaja menerusi program realiti Akademi Fantasia. Beribu-ribu (juta?) ringgit dibazirkan hanya untuk mengundi penyanyi idola mereka.

Lihat juga bagaimana CP dan juga Telco menawarkan hadiah-hadiah lumayan menerusi peraduan kuiz SMS. Perjudian menaburkan wang ringgit menerusi SMS dengan harapan agar dapat memenangi hadiah utama kuiz SMS merupakan perkara karut yang masih dilakukan oleh segelintir rakyat negara ini. Apabila keputusan kuiz SMS diumumkan, maka bergenanglah airmata mereka mengenangkan wang yang telah terbang bersama kuiz SMS itu.

Selanjur berbicara tentang kuiz SMS ini teringatlah penulis tentang kuiz SMS dimana hadiahnya ialah sebuah apartment di Tanjung Malim yang dimenangi oleh seorang Melayu dari Kajang. Menurut sahabat penulis yang merupakan IT admin di syarikat yang mengendalikan kuiz SMS itu, apartment tersebut sepatutnya menjadi milik seorang lelaki Cina yang merupakan penghantar kuiz terpaling banyak dengan jawapan yang semuanya betul. Namun kenapa agaknya Melayu dari Kajang yang mendapat hadiahnya?

Nyatalah SMS banyak merugikan rakyat negara ini. Namun biarpun sebelum ini beberapa mufti pernah menyuarakan kebimbangan mereka akan fenomena ini, namun nampaknya rakyat negara ini bagai tidak mengendahkan teguran dari mufti. Pada tahun lepas para mufti telah sepakat mengharamkan peraduan kuiz SMS, namun siapakah yang ambil peduli akan hal ini?. Tidak terkecuali juga baru-baru ini Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menegur program-program realiti di tv.

Setelah mengaut keuntungan, pihak CP akan menunggu pihak Telco membayar wang keuntungan mereka. Lazimnya pihak Telco akan membayar wang keuntungan tersebut dalam tempoh setiap tiga bulan. Namun ada juga Telco yang lewat membayar lantas perkara ini menyebabkan beberapa syarikat CP tempatan mengalami kemerosotan dalam cash-flow syarikat mereka.

3. Menghantar SMS menerusi pihak-ketiga luar negara
Cara ini sangat popular digunakan menjelang pilihanraya. Dengan sistem ini satu SMS boleh di tebar luas ke beribu-ribu telefon bimbit dalam masa yang singkat. Sebelum sistem ini beroperasi, pemilik sistem SMS ini haruslah mempunyai sebuah server yang tersambung menerusi talian suwa ke server pihak-ketiga di luar negara. Pihak ketiga itu pula mempunyai sambungan talian suwa ke Telco negara mereka. Dengan sistem ini, sender-id atau nombor si penghantar SMS bolehlah ditukar kepada sebarang nombor atau aksara yang di inginkan. Misalnya jika penulis mahu menyamar sebagai Abu yang kononnya menghantar SMS kepada Limah, maka penulis hanya perlu memasukkan nombor telefon bimbit Abu ke dalam sistem SMS ini.

Mujur juga teknologi SMS menerusi pihak-ketiga luar negara ini tidak berkembang sewaktu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1998 yang lalu. Jika tidak mungkin Tun Dr. Mahathir terpaksa bersara lebih awal kerana kuasa SMS menerusi cara ini sangat berkesan dalam menyebarkan propaganda.

Kegunaan SMS
Terdapat banyak kegunaan SMS sebenarnya. Asas yang hanya kita ketahui ialah kita menghantar SMS menerusi telefon bimbit dan SMS itu akan sampai ke telefon bimbit rakan kita. Namun sebenarnya teknologi ini sangat banyak kegunaannya. Antaranya ialah:

1. Sistem amaran awal
Apabila negara dilanda tsunami pada 26 Disember tahun lalu maka kabinet mula membincangkan suatu sistem yang mampu memberi maklumat pantas ke telefon bimbit rakyat Malaysia. Sistem ini akan menerima isyarat dari satelit yang mengesan pergerakan ombak tsunami, lantas isyarat itu kemudiannya akan dihantar ke Telco tempatan. Sebaik Telco menerima amaran tsunami, Telco kemudian akan menggunakan nombor telefon dari pengkalan data mereka dan Telco menghantar amaran tsunami berkenaan dengan kadar segera.

Sistem amaran awal juga boleh dibina dengan menggunakan kad SIM berserta GSM modem. Lazimnya sistem sebegini digunakan oleh data centre yang mempunyai banyak server. Sebarang kerosakan pada server atau network akan di hantar oleh sistem ini kepada administrator yang menjaga server/network berkaitan. Sistem ini juga boleh digunakan oleh syarikat seperti TNB bagi menghantar sebarang kerosakan di pencawang mereka kepada kakitangan TNB.

2. Sistem aduan SMS
Sistem ini membolehkan pengadu menghantar aduan menerusi SMS. Mungkin kita pernah lihat dibelakang bas atau teksi tentang bagaimana hendak menghantar aduan kepada LPKP dengan menghantar SMS aduan ke nombor short-code 399XX. Sebagai pengguna jalanraya, rakyat negara ini mengharapkan suatu tindakan akan di ambil terhadap pemandu bas atau teksi atau terhadap pemilik kenderaan perdagangan. Namun malangnya sehingga hari ini hanya sistem SMS tersebut sahaja yang beroperasi sedangkan tiada tindakan diambil terhadap perangai buruk para pemandu terbabit.

Menurut En. Sulaiman yang merupakan kakitangan di LPKP, pengadu sering mengharapkan apabila sebaik sahaja mereka menghantar aduan, maka di hadapan sana akan ada pihak polis atau JPJ yang akan menahan pemandu berkaitan. Menurut beliau lagi, masalah komunikasi antara pihak LPKP dengan polis dan JPJ juga penyebab kenapa aduan tidak dapat dilayan.

Bukan semua sistem aduan SMS dibina dengan menggunakan short-code. Ada juga sistem aduan SMS yang di bina dengan menggunakan GSM modem berserta kad SIM. Contoh bagi sistem ini dapat anda lihat pada laman web Puas Berhad yang dibina oleh seorang jurutera ICT Melayu (Catatan: Puas kini telah menjadi milik Syabas). Sistem aduan untuk Puas Berhad ini dibina oleh jurutera tersebut hanya dalam masa tiga jam sahaja. Sistem dengan GSM modem ini tidak memerlukan talian suwa untuk beroperasi. Bagaimana pun sistem ini mampu menerima sekitar seratus aduan dalam masa seminit.

3. Sistem query database
Menerusi sistem sebegini, pengguna boleh lah mendapatkan maklumat terus ke telefon bimbit mereka. Contoh paling popular ialah sistem dimana pelajar IPT boleh mengetahui keputusan peperiksaan mereka dengan menghantar SMS ke sistem berkaitan. Kadang-kadang sistem ini dipanggil IOD (Info On Demand).

4. Sistem broadcast SMS
Fungsi utama sistem ini adalah untuk menyampaikan maklumat ke beribu-ribu telefon bimbit. Sistem sebegini lazimnya digunakan bagi tujuan pengiklanan. Misalnya jika sesebuah syarikat ingin mengiklankan produk mereka, iklan tersebut akan terpapar di telefon bimbit pengguna. Namun ada juga yang menyalahgunakan sistem ini. Misalnya ketika pilihanraya, sistem ini akan di gunakan untuk menyebarkan fitnah bagi menjatuhkan calon parti yang bertanding.

Menurut cerita dari seorang rakan penulis, pada pilihanraya yang lepas Dato Seri Shahidan Kassim nyaris kecundang di tangan Dato Harun Din. Namun sistem broadcast SMS telah berjaya menyelamatkannya. Asalnya kuncu-kuncu Shahidan Kassim telah membina sistem broadcast SMS dengan menggunakan GSM modem dan kad SIM. Namun malangnya kad SIM mereka diblok setiap kali mereka cuba menghantar propanganda. Akhirnya sebuah syarikat menawarkan khidmat dengan membina sebuah sistem broadcast SMS yang menggunakan pihak-ketiga diluar negara. Menurut cerita dari rakan penulis lagi, akhirnya Shahidan Kassim berjaya memenangi undi rakyat setelah menyebarkan propaganda mereka menerusi sistem broadcast SMS yang dibina oleh syarikat tersebut.

Wajib daftar kad SIM
Berikutan rungutan Pak Lah yang disiar di kaca tv malam semalam maka seharusnyalah kerajaan segera mengambil langkah dengan mengarahkan semua Telco tempatan mendaftarkan empunya kad SIM. Sudah terang lalu kenapa masih mahu bersuluh. Sudah jelas di mata Pak Lah bahawa telefon bimbit dengan kad SIM tidak berdaftar hanya akan membawa kesusahan kepada negara.

Di negara ini, macam-macam yang orang boleh buat dengan kad SIM yang tidak berdaftar. Misalnya orang boleh menghantar email layang dengan menggunakan telefon bimbit mereka. SMS fitnah susah tentu agak sukar di kesan sekiranya penjenayah yang menghantarnya tahu loophole dalam sistem pesanan ringkas ini. Malah beban berat sentiasa dipikul oleh pihak polis kerana kad SIM tidak berdaftar akan sentiasa menjadi pilihan penjenayah dalam melakukan kerja-kerja keji mereka.

Sewaktu penulis berkunjung ke Sydney beberapa tahun lalu, penulis agak terkejut apabila pekedai meminta paspot penulis bagi mendaftarkan kad SIM Optus yang penulis beli. Rupanya negara Kanggaro itu telah lama sedar betapa bahayanya jika ada rakyat asing yang tidak mendaftarkan nombor kad SIM mereka. Mereka sedar bagaimana nanti kad SIM tersebut boleh digunakan untuk meletupkan bom kawalan jauh dengan hanya menghantar arahan tertentu kepada bom yang bersambung dengan sebuah telefon bimbit.

Lalu kenapa negara kita ini masih enggan mendaftarkan kad SIM pengguna telefon bimbit negara ini? Apakah masih ada agenda lain yang belum selesai yang perlu diselesaikan dengan kad SIM tidak berdaftar? Apakah negara mahu menunggu suatu bencana besar akibat dari keengganan ini maka nanti barulah nanti akan keluar gesaan kerajaan terhadap Telco tempatan? Sudah terhantuk baru terngadah?. Bukankah mencegah itu adalah lebih baik dari mengubatinya?

Justeru kita mengesa kerajaan agar segera bertindak menangani perkara ini. Janganlah menunggu satu bencana hasil dari kad SIM tidak berdaftar, maka barulah nanti kerajaan terhegeh-hegeh mahu mengubati barah yang kian menular ini.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on August 10, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: