Sepetang Bersama Ungku Aziz
Menukar persepsi orang Melayu

MUKADIMAH

KETIKA pemimpin dan pemikir Melayu umumnya menyuarakan kepentingan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti melalui Agenda Nasional Baru menjelang tahun 2020, pakar ekonomi yang cukup dihormati Prof. Diraja Ungku Aziz mempunyai pandangan yang sama sekali berbeza.

Kepada Pak Ungku, peratusan pegangan ekuiti itu bukanlah ukuran keadaan ekonomi orang Melayu yang sebenar. Apa yang lebih penting kepada beliau ialah pembasmian kemiskinan masyarakat desa yang rata-ratanya masih jauh ketinggalan.

“Kalau kita menambahkan peratusan saham orang Melayu, masalah kita tetap tidak selesai juga,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dalam satu pertemuan di rumahnya, pagi Khamis lalu.

Wawancara itu diatur khusus untuk membincangkan tujuh perkara agenda Melayu yang dibangkitkan oleh Pak Ungku dalam ucapan balasnya selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Selasa lalu.

Dalam perbincangan itu, Pak Ungku mengupas tentang betapa pentingnya usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu dalam lonjakan akhir menjelang Wawasan 2020 ini bermula dengan pendekatan mengubah persepsi dan pandangan dunia mereka.

Beliau menyebut tentang pentingnya menanam semangat berusaha serta mengubah sikap orang Melayu kepada pendidikan, kesihatan, pemakanan dan amalan rasuah.

“Kalau kita dapat menyelesaikan masalah-masalah ini, insya-Allah kita akan menyelesaikan masalah utama orang Melayu,” katanya.

Pak Ungku tidak menyembunyikan kekagumannya kepada Pendeta Za’ba yang kepadanya banyak meninggalkan buah pemikiran yang cukup bermakna, yang boleh menjadi kompas dan peta kepada orang Melayu untuk menjayakan agenda penting itu.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diingatkan bahawa pandangan-pandangannya itu sudah acap kali disuarakannya sebelum ini termasuk dalam satu wawancara dengan majalah Mastika keluaran September 1987, kira-kira 28 bulan sebelum DEB tamat dulu.

“Buah pemikiran saya ini macam biji tasbih yang terikat pada seutas benang. Biji tasbihnya boleh berkurang atau bertambah tetapi benangnya tetap satu,” katanya.

MINGGUAN: Bagaimanakah hendak mengisi semangat DEB yang dicetuskan semula ini?

UNGKU AZIZ: Kita harus memikirkan kerangka pengisiannya. Semua masalah orang Melayu yang masih ada pada hari ini ada kaitannya dengan kaedah kita berfikir. Oleh kerana cara berfikir kita tidak betullah maka kita masih ada masalah-masalah yang sepatutnya sudah boleh diselesaikan 10 atau 20 tahun lalu.

Kita harus melihat konteks yang melahirkan dasar itu. DEB bukan wujud macam cendawan tumbuh di tengah padang. Ia diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan serta mengagihkan kekayaan dengan pertumbuhan. Kita harus memikirkan kerangka pengisian agenda Melayu ini dalam konteksnya. Kita harus berfikir semula dalam konteks itu.

Apakah yang harus kita lakukan?

UNGKU AZIZ: Kita harus menoleh ke belakang melihat sejarah dan latar belakang DEB. Kita harus melihat semula apakah yang telah kita lakukan untuk mencapai dua matlamat itu.

Kepada saya, tidak begitu penting sama ada orang Melayu mencapai pemilikan ekuiti 18 peratus, 30 peratus atau 50 peratus sekali pun. Ini kerana orang Melayu secara umumnya masih lagi masyarakat luar bandar.

Kalau kita hendak mengayakan orang kaya di bandar, baguslah tetapi saya percaya itu bukan masalah sebenar yang kita hadapi. Kalau kita menambahkan peratusan saham orang Melayu, masalah kita tetap tidak selesai juga.

Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah menambahkan pendapatan orang Melayu secara keseluruhan terutamanya masyarakat di desa. Ini sesuatu yang tidak berjaya kita lakukan selama ini.

Bagaimana kita boleh menambahkan pendapatan mereka?

UNGKU AZIZ: Kalau kita perhatikan kenyataan-kenyataan pemimpin dalam tempoh setahun yang lalu masalah yang paling besar ialah mengubah sikap orang Melayu. Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam akhbar (Khamis lalu) juga menegur sikap pelajar Melayu yang tidak berminat memperbaiki kelemahan diri.

Kita selalu mendengar rungutan dan keluhan tetapi kita masih tidak dapat melihat apakah usaha yang dilakukan untuk mengubah sikap orang Melayu. Kita tidak pernah memikirkan kemungkinan mengubah sikap dan persepsi orang. Kita tidak memahami bagaimana orang Melayu melihat masalah yang mereka hadapi.

Ini bukan soal apa yang saya atau Perdana Menteri fikirkan tetapi apakah yang ada dalam fikiran orang Melayu itu sendiri. Apa sebab misalnya para pelajar Melayu tidak mahu belajar tetapi lebih suka melepak? Apakah sikap mereka kepada pendidikan?

Kita harus mengubah persepsi atau tanggapan orang Melayu yang seterusnya akan menjadikan mereka seperti yang dikatakan oleh Pendeta Za’ba macam orang Cina – kiasu, aktif, gila kaya, belajar bersungguh-sungguh.

Sifat-sifat itu boleh ada pada orang Melayu sekiranya kita dapat membentuk tanggapan baru di kalangan orang Melayu terhadap keadaan dirinya dan persekitarannya. Hendak mencari tanggapan baru itulah yang harus menjadi asasnya dalam usaha kita hendak mengubah orang Melayu.

Kita harus memahami persepsi dan world view mereka sekarang dan kemudian mengubahnya secara sistematik. Kita harus membentuk satu pandangan hidup yang baru di kalangan orang Melayu, untuk melihat dunia yang baru dengan cara yang baru.

Apakah orang Melayu belum melihat dunia baru dengan cara baru sekarang?

UNGKU AZIZ: Ada, bukan tidak ada. Akademi Fantasia adalah satu cara baru mereka berfikir. Dulu mereka tidak melompat-lompat, berpeluk-peluk dan menangis seperti sekarang. Mereka berubah cumanya ia tidak memberikan manfaat kepada negara.

Itu sebabnya saya rasa sekarang ini kita kena memikirkan cara yang lebih konkrit, praktikal dan pragmatik untuk mengubah tanggapan orang Melayu daripada cara lama. Saya bukan hendak mengatakan orang Melayu tidak rajin. Soalnya ialah bagaimana kita hendak menjadikan mereka lebih rajin. Apakah perubahan minda dan persepsi yang perlu dibuat?

Kita perlu memberikan fokus kepada pendidikan. Orang barangkali agak terkeliru kerana dari semasa ke semasa ada `ahli silap mata baru yang muncul dengan keajaiban baru’ – tidak payah belajar tiga tahun, empat tahun lagi bagus, tidak payah belajar bahasa Inggeris, belajar dua mata pelajaran saja Sains dan Matematik boleh pandai bahasa Inggeris.

Kita kemudian tertanya-tanya kenapa orang Melayu keliru. Mereka keliru kerana tidak ada kaedah yang sistematik untuk mengubah persepsi mereka.

Bagaimana hendak mengubah sikap, pandangan hidup dan persepsi itu?

UNGKU AZIZ: Apa yang saya katakan tadi ialah cara berfikir. Kalau kita teliti ucapan para pemimpin, mereka banyak membuat kenyataan normatif – buatlah begitu, buatlah begini. Kenyataan-kenyataan normatif ini tidak memberikan apa-apa makna dalam mengubah perenggu minda. Ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Kita harus berbalik kepada pemikiran positif iaitu menangani dunia nyata secara real. Saya rasa kebanyakan orang tidak berani dan tidak berpengalaman membuat kenyataan yang positif.

Orang muda hari ini mencipta dunia fantasi; mereka gembira duduk dalam kepompong fantasi itu. Mereka terbuai dengan segala yang indah tetapi akhirnya jadi malas, hanya hendak berseronok-seronok dan tidak agresif mahukan kejayaan.

Kenapa orang Melayu tidak boleh jadi seperti itu? Kita perlu mengubah orang Melayu daripada tidak kiasu kepada lebih kiasu seperti orang Cina.

Apakah orang Melayu tidak boleh jadi seperti orang Cina?

UNGKU AZIZ: Boleh, kenapa tidak boleh? Kelemahan kita ialah kita tidak tahu bagaimana hendak mengubah minda mereka. Saya menghabiskan masa bertahun-tahun memikirkan tentang hal ini. Lagi saya baca buku Pendeta Za’ba, lagi saya yakin bahawa semua ini bergantung kepada persepsi orang Melayu – bagaimana mereka melihat diri sendiri, masyarakat malah Allah.

Orang Melayu ada persepsi bahawa mereka boleh mengupah orang lain berdoa untuk mereka. Pendeta Za’ba mengatakan bahawa persepsi itu salah. Beliau mengatakan bahawa kita sendiri yang harus beramal. Malah beliau dengan tegas dan berani mengatakan juga bahawa Allah tidak akan mendengar. Rasulullah juga tidak suka kepada orang yang tidak berusaha tetapi lebih gemar meminta-minta.

Dalam hendak membetulkan persepsi itu, kita harus kembali kepada Allah dan dari situ kita melihat masalah-masalah yang kita hadapi, baik dalam pendidikan, keusahawanan dan sebagainya.

Bolehkah orang Melayu berubah?

UNGKU AZIZ: Boleh, tetapi orang mesti tahu apa yang mereka katakan dan ada pemimpin yang sangat komited untuk mengubah persepsi itu. Kalau kita hendak, kita mesti bersungguh-sungguh melakukannya.

Dalam melaksanakan semangat DEB, kita harus kembali kepada matlamat asalnya iaitu membasmi kemiskinan, bukan dengan meningkatkan peratusan pemilikan saham. Golongan desa sehingga sekarang masih berhadapan dengan masalah kemiskinan yang menyeluruh.

Di mana silap kita sedangkan usaha itu sudah bermula sejak tahun
1970-an?

UNGKU AZIZ: Saya melihat ada tiga sebab kenapa usaha membasmi kemiskinan masih tidak berjaya. Pertama, kadar produktiviti orang Melayu secara relatifnya masih lagi rendah. Kalau orang Melayu dan orang Cina sama-sama bekerja selama sejam, produktiviti orang Cina hasilnya tiga hingga sepuluh kali lebih tinggi.

Malah pekerja pendatang asing tanpa izin yang tidak ada apa-apa kemahiran pun mempunyai produktiviti yang lebih tinggi. Mereka boleh dapat antara RM40 hingga RM70 sehari tetapi orang kampung termasuk graduan menganggur payah hendak raih RM400 sebulan. Kita harus bertanya apakah graduan menganggur tidak boleh bina bangunan atau mengecat rumah?

Kedua, orang Melayu terperangkap dalam sistem monopoli dan monopsony iaitu satu penjual dan satu pembeli yang menindas mereka. Sekiranya mereka menjual padi, getah atau ikan di desa kita boleh melihat kewujudan peraih Cina yang mengawal pasaran. Peraih ini tidak ke laut tetapi menunggu nelayan balik di jeti. Mereka menentukan harga, menentukan apa yang akan diperoleh oleh nelayan tadi.

Keadaan dulu dan sekarang tidak banyak berbeza. Biasanya di setiap kampung ada sebuah atau dua buah kedai runcit tempat semua orang membeli barang, dan boleh berhutang. Apabila hutang tidak boleh dibayar orang kampung menggadaikan tanah sehingga akhirnya menjadi milik orang lain.

Keadaan ini mewujudkan persekitaran yang menindas. Dalam persekitaran yang seperti ini orang Melayu yang bekerja keras pun akan berasa susah hendak naik kerana sistem itu akan sentiasa menindas mereka.

Saya fikir kerajaan lebih peka tentang keadaan ini, dan berusaha untuk mengatasinya. Ia memperkenalkan pasar tani, misalnya. Tetapi kalau kita lihat di pasar tani sekarang ini pun orang Melayu hanya menghantar hasil jualan saja. Itu sebabnya saya katakan ini adalah satu sistem sosioekonomi yang mengekalkan golongan desa di bawah penindasan yang tidak ketara.

Apakah penindasan itu disengajakan?

UNGKU AZIZ: Orang Cina bukannya isytihar “kami mahu menindas orang Melayu”, tidak. Mereka sebenarnya melihat peluang yang orang Melayu tidak nampak. Mereka buat tanpa niat mahu merosakkan orang lain.

Orang Cina ada sikap kiasu, mahu sentiasa menang, tetapi bukannya hendak memusnahkan orang lain. Kalau orang Melayu mahu menandingi mereka, kita harus ada sikap kiasu.

Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan orang Cina. Kita harus salahkan orang Melayu. Kita mesti berbalik semula kepada apa yang ditekankan oleh Pendeta Za’ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.

Tetapi bukankah kerajaan juga ada pelbagai program untuk mengatasi masalah-masalah ini?

UNGKU AZIZ: Inilah perkara ketiga yang saya lihat mewujudkan kemiskinan yang berterusan di kalangan masyarakat desa iaitu fenomena terbiar. Kalau kita melihat sesetengah program kerajaan dalam bidang pertanian, perikanan, industri kecil dan sebagainya ia hangat-hangat tahi ayam. Upacara pembukaannya meriah tetapi selepas itu orang hilang minat dan memperkenalkan program baru.

Apa sudah jadi kepada program satu wilayah satu produk (sawari) yang dilancarkan beberapa tahun lalu, misalnya? Ia baik dari segi teorinya tetapi tidak berjalan. Kita sebenarnya suka sangat kepada idea baru tetapi selepas satu tempoh kita jadi hangat-hangat tahi ayam.

Ini psikologi yang ada di kalangan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat. Masalah berterusan kerana kegagalan pihak berkuasa iaitu birokrat. Ini satu lagi perenggu minda yang perlu kita ubah.

Pak Ungku juga membangkitkan tentang perlunya dasar pendidikan dikaji semula. Kenapa?

UNGKU AZIZ: Ini mungkin satu isu yang paling tengkarah (kontroversial). Dasar yang ada sekarang tebuk-tebuk, ibarat tikus membaiki labu.
Sebelum ini tempoh pengajian di universiti empat tahun kemudian ditukar kepada tiga tahun dan sekarang hendak diubah semula kepada empat tahun. Saya tidak tahu apa justifikasinya. Apakah perubahan itu akan menambahkan kemahiran para pelajar kita?

Saya melihat tidak ada debat yang menyeluruh sebelum sesuatu perubahan dibuat. Saya tidak nampak komentar terhadap cadangan itu sebaliknya apabila diputuskan tukar, semua orang menurut tanpa banyak soal. Malah ada juga kecenderungan supaya sesetengah perkara tidak dibincangkan.

Tentang dasar bahasa begitu juga. Orang Melayu mesti pandai bahasa Melayu, bukannya bahasa rojak. Kalau orang bahasanya rojak, pemikirannya juga rojak.Kita juga harus mengajar bahasa Melayu secara sistematik, macam di Indonesia. Dari segi perpaduan, saya tertanya bilakah warganegara Malaysia harus bermula dan seterusnya fasih dalam satu bahasa yang boleh difahami oleh seluruh rakyat?

Kita juga harus menguasai bahasa Inggeris demi pembangunan ekonomi masa depan. Kita harus ajar para pelajar dari awal, dan bukannya tiba-tiba menukar arah dengan menyuruh mereka belajar Sains dan Matematik. Kita perkenalkan pengajian bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik seolah-olahnya bahasa boleh dipelajari melalui dua mata pelajaran itu. Kalau hendak belajar bahasa Inggeris, belajar bahasa Inggeris – nahu, ayat dan stailnya.

Inilah yang saya katakan tebuk-tebuk itu tadi. Pada akhirnya hamba Allah budak Melayu tadi hilang minat untuk belajar kerana tidak menguasai bahasa dan kerana kita tidak mengajar mereka cara untuk belajar. Sudahlah bahasa Melayu tidak begitu faham dan kemudian disuruh belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pengkajian semula ini mungkin mengambil masa tetapi kita mesti berani melakukannya. Ia mungkin boleh ditugaskan kepada sekumpulan pakar yang harus menyiapkannya dalam masa setahun. Mereka harus melihat dari peringkat tadika sehingga ke ijazah kedoktoran. Sekarang ini kita seperti tikus membaiki labu.

Bagaimanakah Pak Ungku melihat sikap orang Melayu kepada pendidikan?

UNGKU AZIZ: Anak muda Melayu harus ada dalam diri mereka rasa cinta kepada ilmu pengetahuan. Hidup ini muda hanya sekali dan ia harus Tetapi itu tidak bermakna apabila sudah dewasa dan tua mereka harus dipenuhi dengan hal-hal yang berfaedah untuk bekalan masa depan. Jangan berhenti belajar. Kita harus ada ada rasa cinta kepada ilmu sepanjang hayat. Belajar, belajar dan terus belajar. Apa salahnya dengan pembelajaran sepanjang hayat?

Itu kepada saya lebih penting daripada menonton segala sampah yang ada di televisyen. Kalau hendak menonton televisyen setengah jam sehari tidak mengapa tetapi masa selebihnya harus digunakan untuk menambah ilmu.

Kita harus ada sikap cintakan ilmu sama seperti orang Cina dan Jepun. Mereka ada, orang Melayu tidak ada. Itu masalahnya. Kita harus mengubah tanggapan mereka sehingga ada minat dan kesungguhan gila hendak belajar.

Apakah lagi yang perlu diubah tentang orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Kesihatan sama pentingnya dengan pelajaran. Kita sekarang tidak memberikan makanan yang berzat dan seimbang kepada anak-anak. Pemakanan yang baik itu bukan saja akan mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak.

Saya sudah suarakan hal ini berkali-kali, tentang pentingnya kita mengadakan makanan tengah hari yang seimbang di sekolah. United Kingdom ada program seumpama itu. Malah sekolah-sekolah Cina di negara ini pun ada program yang sama.

Apakah kita tidak boleh adakan program seperti itu? Apakah kita terlalu miskin? Lihatlah bangunan-bangunan yang kita bina. Kita bukan miskin tetapi kita akan jadi miskin sekiranya tidak berjaga-jaga.

Kita boleh lakukan program ini kerana ia bukannya mahal. Apa yang penting ialah pengurusan yang baik.

Secara khususnya, apakah perangai orang Melayu yang harus diubah kalau kita mahu menjayakan agenda pembangunan bangsa ini?

UNGKU AZIZ: Orang Melayu harus ada semangat berusaha. Kita harus mengubah orang Melayu menjadi rajin sama seperti orang Jepun dan Cina. Kita harus menyelesaikan masalah usahawan Melayu yang tidak begitu rajin dan tekun supaya mereka boleh berjaya dalam persaingan.

Peniaga Melayu juga kurang perkasa dan berani menanggung risiko. Ini masalah orang Melayu yang sangat besar. Orang Melayu harus ada sikap berani menanggung risiko. Mereka bukan takut sebenarnya tetapi tidak bersedia.

Tetapi bak kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Mesti berani. Lihat saja peniaga Cina yang berani naik dan turun. Saya percaya dalam setiap seorang peniaga Cina yang berjaya ada berpuluh-puluh lagi yang tidak. Tetapi mereka tidak henti-henti berusaha.

Dalam ucapan di UM itu, Pak Ungku turut membangkitkan soal rasuah.

UNGKU AZIZ: Ini satu lagi persepsi orang Melayu yang harus diubah. Orang Melayu kalau makan rasuah dia rasa tidak berdosa. Orang Melayu mesti ada rasa berdosa. Akibatnya rasuah menjadi lumrah dan merebak seperti barah sehinggakan orang tidak sedar mereka melakukan rasuah.

Kita harus mula menekankan kepada orang Melayu bahawa rasuah itu satu dosa. Tidak kiralah dosa kecil atau besar, pokoknya ia satu dosa. Rasuah, kecil atau besar, berdosa.

Apakah jalan keselamatan yang ada bagi orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Kalau pemimpin berjaya memulakan trend perubahan tanggapan atau perenggu minda, saya yakin ia akan meningkat dan berkembang dengan menyeluruh. Ini sama macam hendak naik basikal; mula-mula payah sedikit tetapi kemudian ia lajak sendiri dan laju.

Tetapi kita selalu dengar tentang keluhan termasuk di kalangan pemimpin tentang sukarnya menukar sikap orang Melayu.

UNGKU AZIZ: Kalau kita terus mengatakan susah, ia akan jadi susah. Ini bergantung kepada persepsi kita sendiri. Kalau kita yakin boleh berjaya, kita boleh berjaya.

Senang atau susah sebenarnya menukar sikap orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Kita tidak pernah berbincang tentang usaha mengubah sikap orang Melayu. Apa yang selalu kita dengar ialah kesukaran hendak mengubahnya. Kalau kita selalu penuh dengan negatif, ia akan jadi negatif.

Kalau sebahagian besar pemimpin Melayu bersetuju bahawa perlu ada perubahan dan jelas tentang perubahan yang harus dilakukan, tidak susah melakukannya.

Apa yang penting mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang pasti berbangkit sepanjang usaha itu. Cabaran-cabaran itu maksud saya ialah keengganan orang untuk menerima perubahan.

Dalam fikiran orang Melayu sekarang tertanam tanggapan orang lain kononnya lebih baik. Sesetengah mereka mungkin ada rasa rendah diri.

UNGKU AZIZ: Saya setuju. Perasaan rendah diri itu sudah menyerap sebati dalam diri mereka. Apa yang harus kita lakukan sekarang ialah mengubah tanggapan mereka tentang kemampuan diri sendiri.

Kita bukannya hendak orang Melayu memiliki superiority complex atau keyakinan yang berlebihan sehingga memperkecil-kecilkan orang lain. Kita hanya perlu meningkatkan keyakinan diri orang Melayu. Kita harus ingat pesan Za’ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.

Kenapa orang Melayu tidak kiasu?

UNGKU AZIZ: Itulah yang telah disuarakan oleh Za’ba. Beliau telah melihat keadaan ini sejak tahun 1920-an lagi. Beliau merupakan orang Melayu pertama yang mengupas tentang keadaan ekonomi orang Melayu. Pemikir-pemikir Melayu lain ketika itu menuduh orang Melayu malas tetapi Za’ba menunjukkan kerana kemiskinanlah orang Melayu jadi begitu.

Itu sebabnya kita harus memberikan orang Melayu peluang kerana pada asasnya mereka handicap, padang permainannya tidak rata. Ini demi keadilan.

Itulah persoalan yang dibangkitkan bukan saja oleh orang bukan Melayu malah sesetengah orang Melayu. Mereka merasakan semangat DEB itu tidak adil malah menjejaskan maruah orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Dalam masalah kesihatan misalnya, kalau fizikal tidak kuat dan mental tidak peka kerana tidak mendapat pemakanan yang berzat dan seimbang akibat kemiskinan, bagaimana orang Melayu hendak berjaya?

Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action ini, jika tidak akhirnya orang Melayu akan mengalah. Saya melihat adalah sesuatu yang sangat mustahak untuk kita ada dasar ini demi survival orang Melayu.

Ada orang merasakan lagi dibantu, lagi orang Melayu akan lebih bergantung dan malas.

UNGKU AZIZ: Sindrom subsidi? Kita mesti membezakan antara sindrom subsidi dengan affirmative action. Subsidi seperti cek kosong yang diberi percuma adalah sesuatu yang bodoh sebaliknya tanpa affirmative action orang Melayu tidak akan dapat naik.

Ini kerana orang Melayu sudah terkebelakang sejak beratus-ratus tahun dulu. Apabila datang penjajah dan orang Cina handicap orang Melayu bertambah.Sekiranya orang Melayu tidak dibantu mereka akan hilang keyakinan dan tidak percayakan diri sendiri. Dalam minda mereka akan sentiasa merasakan tempat mereka hanya di bawah daripada orang lain.

Kita menerima ini sebagai isu nasional. Adakah keterlaluan kita mengharapkan orang bukan Melayu sama-sama menggerakkan agenda ini?

UNGKU AZIZ: Ini memang isu nasional tetapi kepada saya, hanya orang Melayu saja yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain melakukannya untuk kita.

Ini terpulang kepada orang Melayu sendiri.

Apa akan jadi sekiranya masalah-masalah ini tidak dapat ditangani dan persepsi orang Melayu tidak dapat diubah dalam masa lima tahun akan datang?

UNGKU AZIZ: Kalau tidak berubah akhirnya orang Melayu akan tertimbus oleh kuasa lain, dalam kes ini orang Cina yang akan menelan segala-galanya. Apa yang saya suarakan ini adalah masalah-masalah utama orang Melayu. Kalau kita dapat selesaikan masalah ini, saya percaya kita boleh melihat kesan perubahan yang cukup besar di kalangan orang Melayu.

Apakah kekuatan yang ada untuk kita melakukan perubahan ini?

UNGKU AZIZ: Alhamdulillah, penyelenggaraan kewangan negara sekarang tegap, tetap dan teguh. Ini memberikan keyakinan kepada seluruh rakyat. Saya tidak hendak memberikan gambaran bahawa semuanya tidak kena dengan orang Melayu, tidak semuanya negatif. Kedudukan ekonomi negara adalah sesuatu yang
positif.

Kalau dibandingkan dengan keadaan serantau dan dunia, keadaan ekonomi negara ini agak stabil. Tetapi dalam pada itu kita harus juga berhati-hati dengan cabaran dan persaingan serta keadaan ekonomi kuasa-kuasa besar. Kita harus selalu ingat di mana gajah menari, di situ kancil harus berhati-hati.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on September 24, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: