India Muslim = Melayu?

Merujuk kepada berita di muka hadapan Utusan Malaysia pada 19 September 2005 bertajuk “India Muslim minta status Melayu”, saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat mengenai perkara ini.

Sememangnya menurut perlembagaan Malaysia, seorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Malaysia dan mengamalkan adat Melayu adalah seorang Melayu. Namun jika dilihat dari suatu sudut yang lebih eksplisit dan menyeluruh, Melayu adalah satu rumpun bangsa dan keturunan di mana ia bukannya satu status yang boleh diminta atau ditukar.

Menukar bangsa dan keturunan adalah seperti menukar trait genetik/DNA yang diwarisi oleh seseorang. Fikirkan secara logik, adakah kita mampu menukar trait yang kita warisi daripada keturunan kita?

Usul yang dikemukakan oleh Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan diluluskan pada Persidangan Tahunan KIMMA ke-30 adalah tidak relevan sama sekali. Menurut pernyataan mereka, “Kaum India Muslim juga mengamalkan ketiga-tiga perkara ini, namun masih tidak mendapat status Melayu.”

Semestinya mereka tidak mendapat status Melayu kerana India Muslim adalah berketurunan India. Tidak kisahlah agama apa sekalipun, tetapi jika berketurunan India, seseorang itu tetap berdarah India walaupun lain daripada beberapa sudut perspektif.

Keturunan
Sudah terang lagi bersuluh. Agama tidak boleh dijadikan faktor. Jika saya berbangsa Cina, beragama Hindu, mengamalkan adat resam masyarakat India, adakah saya boleh menukar dan memadam terus keturunan nenek moyang saya daripada Cina kepada India?

Adakah ini bermaksud mana-mana rakyat daripada 105 kaum di Malaysia yang bukan Melayu, tetapi beragama Islam dan mengamalkan adat Melayu boleh menjadi bangsa Melayu dan membuang terus keturunan/bangsa asal mereka?

Dan soalan ini saya ingin tujukan kepada KIMMA, adakah usul ini dikemukakan kerana mahu mendapatkan hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera? Sekiranya Melayu dan bumiputera tiada hak istimewa di Malaysia, adakah usul ini akan dikemukakan? Jika hak istimewa Melayu ditarik semula, adakah KIMMA masih ingin kemukakan usul serta digelar Melayu dan berjuang demi bangsa ataupun kembali ke bangsa sebenar?

Bangsa adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar mahupun diminta. Ia adalah semula jadi dan genetik. Adakah KIMMA tidak berasa bersalah dan malu kepada diri/keturunan dengan menukar bangsa sendiri?

Keuntungan
Kita sepatutnya berbangga dengan diri kita seadanya. Janganlah sanggup menggadai bangsa hanya kerana mahu mendapatkan hak keistimewaan dan keuntungan semata-mata. Adalah tidak adil kepada kaum India lain yang bukan Islam, jika kaum India yang beragama Islam mendapat hak keistimewaan dan taraf bumiputera.

Bukan kaum India sahaja, malah kaum-kaum bukan bumiputera lain juga. Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan diskriminasi agama di kalangan rakyat Malaysia. Status bumiputera adalah diwujudkan untuk melindungi hak keistimewaan penduduk asal Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama. Ini sememangnya fakta yang tercatat dalam perlembagaan dan sejarah Malaysia.

Jika dibaca berkali-kali sekalipun, maksudnya tetap sama. Jangan sekali-kali diusik hak ini. Adalah satu ketidakadilan bagi seluruh rakyat Malaysia jika mereka yang bukan penduduk asal Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak mendapat status bumiputera dan hak penduduk asal. Sekiranya diteruskan juga, perkataan `bumiputera’ tidak akan membawa apa-apa maksud lagi.

Kita adalah rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Dan semestinya berbangga dapat menjadi salah seorang daripada 25 juta rakyat di bumi bertuah ini. Status bumiputera dan bukan bumiputera ini sepatutnya tidak harus dikemukakan lagi, memandangkan semenjak kita merdeka telah ditetapkan hak istimewa bumiputera kepada
penduduk asal Malaysia. Di manakah lagi dapat kita cari negara yang terdiri daripada lebih 105 kaum hidup dengan aman damai di dunia ini? Kepada KIMMA, fikir-fikirkanlah keadilan terhadap kaum sendiri dan kaum bukan bumiputera lain.

Isu sensitif seperti hak dan keistimewaan bumiputera tidak sepatutnya diminta dan dilaungkan oleh mereka yang bukan penduduk asal Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on October 6, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: