Bicara Puasa : Puasa – Proses Mentarbiah Diri

Tidak ada sesiapa dapat menghalang seseorang pesakit (apabila doktor menasihatkannya) supaya berpuasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum sebelum sesuatu pembedahan dibuat, alasan yang cukup mudah iaitu demi kesihatan pesakit dan mempercepatkab sembuh.

Jelas disini puasa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesihatan seseorang. Hubungkait puasa dan kesihatan ini sudah lama diamalkan oleh orang-orang terdahulu sebelum datangnya Islam lagi. Kalau kita membuka lembaran sejarah kita akan dapati bangsa yang terdahulu sering mengamalkan puasa cuma niatnya berlainan, mungkin untuk melupakan diri dari permasalahan dunia atau sebagai persiapan peperangan.

Bangsa Mesir kuno selalu berpuasa 7 hari hingga 6 minggu setiap tahun. Orang-orang Yunani mengambil tradisi puasa dari orang-orang Mesir kuno dengan mewajibkannya terutama kepada orang perempuan. Tanda puasa orang perempuan ialah dengan suasana duka. Sebahagian kabilah Yunani pula berpuasa beberapa hari secara berturut-turut sebelum peperangan bermula. Orang-orang Cina berpuasa pada hari-hari biasa lebih-lebih lagi pada masa menghadapi musibah. Orang-orang Tibet ada yang dapat menahan diri berpuasa selama 24 jam berturut-turut sehingga air liur sendiripun tidak boleh ditelan. Orang-orang Yahudi iaitu pengikut Nabi Musa a.s berpuasa 40 hari, mereka juga berpuasa apabila mereka yakin bahawa Allah sedang marah pada mereka. Taurat juga mewajibkan puasa pada tanggal 9 bulan 8 disamping 1 hari sebagai kafarat. Orang-orang Nasrani pengikut Nabi Isa a.s juga berpuasa selama 40 hari dan sering juga berpuasa satu hari untuk kafarat sebagaimana yang diwajib dalam syariat Musa.

Begitulah apabila dating Islam, diwajibkan sama seperti orang-orang dahulu, bezanya sebulan berturut-turut dalam salah satu rukun Islam yang lima. Firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana telah diwajib atas orang-orang sebelum kamu bertaqwa” (Al-Baqarah :183 )

Puasa Dalam Ilmu Kedoktoran

Puasa merupakan satu-satunya ubat yang dapat mengubati gangguan usus yang serpanjangan dan yang terganggu akibat minuman keras. Puasa dapat mengurangi berat badan akibat banyak makan dan bertambahnya tekanan, selain itu dapat mengubati pelbagai penyakit seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Aturcara Berbuka Mengikut Islam

Islam menggalakkan berbuka dengan buah tamar kerana usus akan menyerap air yang bergula untuk mengembalikan kesegaran setelah seharian berpuasa. Jika dia mengambil makanan berat segera bermakna menghalang kemasukan gula yang kemudian memerlukan waktu 3 atau 4 jam sebelum usus dapat menyerap gula semula. Jadi samalah dengan orang yang berpuasa terus.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “Apabila kamu berbuka, maka hendaklah dengan buah kurma kerana ia membawa berkat, kalau tidak ada cukup dengan air kerana itu pembersih” (Riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibn. Majah dan Ibn Hibban)

Peringkat Puasa

Puasa terbahagi kepada 3 peringkat, umum, khusus dan terkhusus iaitu puasa umum ialah menahan diri dari makan dan nafsu seks iaitu puasa orang awam. Puasa khusus ialah disamping pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki serta seluruh anggota badan dari melakukan dosa, ini puasa orang-orang soleh. Puasa terkhusus iaitu puasa hati dari niat-niat yang buruk dan fikiran-fikiran duniawi serta memalingkan diri secara keseluruhan dari segala sesuatu selain Allah, ini adalah puasa peringkat para Nabi dan muqarrabin.

Puasa khusus boleh dicapai dengan 6 perkara:

1. Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya sehingga tidak tertuju kepada segala yang tercela atau menyibukkan hati dan lalai daripada mengingati Allah.

Jabir r.a darpada Anas, telah bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “5 perkara dapat membatalkan pahala puasa seseorang, ucapan bohong, mengumpat, fitnah, sumpah palsu dan pandangan yang bernafsu” (Riwayat Al-Azdiy)

2. Menjaga lidah dari kata-kata sia-sia, dusta, fitnah, caci maki dan menyinggung perasaan orang lain dengan menyibukkan berzikir kepada Allah dan membaca Al- Quran.

3. Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang dibenci agama sebab segala sesuatu yang haram diucap, haram pula di dengar seperti mengumpat, ejekan dan sebagainya.

4. Mencegah semua anggota tubuh badan dari perbuatan haram seperti tangan, kaki, perut (makanan haram dan syubhat), sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “Berapa banyak orang berpuasa sedangkan ia tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain rasa lapar dan dahaga” (An-Nasa’i, Ibn Majah dari Abu Hurairah)

5. Berpada ketika berbuka dengan makanan halal sekadar sahaja, tujuannya elak nafsu kembali kuat, ringan untuk bertahajjud dan qiamullail.

6. Hati- setelah selesai berbuka sentiasa terpaut antara harap dan cemas, dan setiap kali melakukan ibadat lain.

Selain itu satu perkara yang wajib ialah hendaklah menunaikan zakat fitrah kerana pahala puasa akan diangkat selepas ia dibayar. Ia dijelaskan dalam hadith yang bermaksud : Dari Ibn Abbas r.a katanya : “Rasul s.a.w telah menentukan wajibnya zakat fitrah untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin. Oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka dikira sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain”.(riwayat Abu Daud)

Menurut huraian ulama, orang yang melengah-lengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktunya yang ditentukan bukan sahaja berdosa bahkan wajib dia membayar sesudah itu, jika tidak, tetap menjadi hutang, sehingga dia menjelaskannya walaupun akhir umurnya.

Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik dan diterima Allah. Amin.

Empat perkara bawa kebahagiaan manusia

SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini. Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan dengan pelbagai cara. Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperoleh kebahagiaan yang dicari dan yang dicita-cita itu. Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?

Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan kenderaan yang bagus.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh seseorang, tentu dia akan merasai nikmat bahagia. Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan. Apa yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan keutamaannya. Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor kebahagiaan seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada suami.

Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah ialah hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran, melayan suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak dan menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga terselamat daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan kaum keluarga, menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami dan banyak lagi sifat lain.

Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).

Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri yang soleh) iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan mengerjakan perbuatan kebajikan. Makna isteri setia dalam ayat itu ialah patuh dan jujur terhadap suami kerana Allah. Seterusnya, Nabi Muhammad memperincikan tiga sifat isteri solehah, menerusi sabda yang bermaksud: “Sebaik-baik perempuan (isteri) ialah yang menggembirakan engkau sewaktu engkau melihatnya; yang patuh apabila kamu perintahkan dia (dalam hal kebaikan); yang menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di rumah.”

Isteri yang menggembirakan suami atau yang bermuka manis bukan bermakna wajah cantik semata-mata. Biar wajah kurang menarik, tetapi jika selalu menguntum senyum, tinggi pekerti, memancar dari keningnya cahaya iman dan keikhlasan, itulah isteri solehah yang meriangkan suami. Isteri walaupun cantik, tetapi jika wajahnya selalu mencuka, buruk pekertinya, kening selalu berkerut, tidak akan dapat memikat hati suami. Demikianlah juga halnya dengan soal patuh dan memelihara amanah suami yang Nabi utarakan dalam hadis ini.

Selain faktor isteri, rumah yang luas, bagus atau indah juga akan memberi kebahagiaan kepada penghuninya. Bagaimanapun, kebahagiaan dengan memiliki rumah yang besar dan indah itu akan tercapai sepenuhnya jika disertai dengan hati yang tenang dan damai. Jika hati tidak tenteram, rumah yang luas dan indah akan terasa sempit dan tidak akan merasa bahagia.

Rumah adalah tempat berteduh malah menjadi syurga bagi mereka yang beriman. Di rumah juga seseorang akan memperoleh ketenangan dan kebahagiaan, apalagi jika didampingi isteri solehah. Jika rumah diibaratkan istana, maka suami adalah raja, isteri solehah adalah ratu dalam rumah tangga, manakala anak-anak adalah rakyat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Allah menjadikan untuk kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan).” (Surah an-Nahl, ayat 80).

Jiran yang baik juga menjadi faktor penting kebahagiaan. Seseorang akan merasa sangat bahagia jika mempunyai jiran yang baik budi, murah hati, dermawan, saling menghormati, bertolak ansur, suka menolong dan memberi perhatian. Jiran baik tidak akan memberi sebarang gangguan kepada kita, sama ada melalui perbuatan mahupun lisan atau ucapan; dan tidak merasa irihati dengan kelebihan yang dimiliki kita. Malah, jiran yang baik akan tumpang gembira dan mengucapkan tahniah dengan kejayaan yang kita peroleh, dan menghulurkan pertolongan jika kita ditimpa sesuatu musibah.

Oleh itu, sekiranya kita memperoleh jiran jenis ini, kita harus memiliki sifat sedemikian kepada orang lain yang menjadi jiran, agar mereka turut merasa bahagia seperti mana kita rasai.

Kenderaan yang bagus juga adalah faktor kebahagiaan. Setiap orang mengidamkan kenderaan yang bagus atau baru, seperti kereta, motosikal dan sebagainya. Sifat manusia memang suka kepada kebendaan. Kenderaan yang baru atau bagus akan dapat membawa seseorang ke merata tempat yang disukainya tanpa memikirkan soal kerosakan dan sebagainya, berbanding dengan kenderaan yang lama atau buruk yang mana tiada jaminan keselesaan sepanjang perjalanan. Namun dalam soal kenderaan ini, orang beriman harus berwaspada atau berhati-hati, iaitu agar tidak sampai kenderaan itu memperbudak atau seolah menjadi ‘tuan’ kepadanya.

Sudah kebiasaan bahawa kenderaan yang baru atau bagus itu akan sentiasa diberi perhatian oleh pemiliknya, seperti selalu dibasuh, diperiksa atau dibersihkan. Bagaimanapun, janganlah sampai semua urusan itu melebihi tumpuan untuk beribadat kepada Allah. Apabila kenderaan lebih diutamakan daripada diri sendiri, bermakna kenderaan itu sudah menjadi tuan yang memperbudakkan pemiliknya sendiri.

Kenderaan yang bagus tidak semestinya baru. Ia adalah nikmat Allah yang harus dimanfaatkan untuk kebaikan seperti lebih rajin beribadat di masjid, mengunjungi majlis ilmu atau membawa keluarga beristirehat. Janganlah hendaknya ia digunakan untuk kerap ke tempat maksiat atau melakukan perbuatan yang tidak diredhai Allah.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
“Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu.”

“sampaikanlah walau satu ayat” al-hadis.
– LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH –

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on October 8, 2005.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: