Media Dan Kisah Cinta Kenamaan

Kahwin: Penonjolan media ketepi nilai kemasyarakatan

Oleh Masnah Rais

Kebelakangan ini media bagaikan berpesta membuat liputan tentang asmara dan perkahwinan insan kenamaan. Dari menteri ke tokoh korporat ada belaka kisah percintaan dan perceraian.

Terakhir ialah kisah asmara dan perkahwinan Datuk K dan Siti. Cerita mereka semacam peristiwa kenegaraan yang penuh aksi dan menerima laporan kemuncak yang meluas.

Laman-laman web juga tidak ketinggalan memberi ruang kepada kisah-kisah perkahwinan pasangan asmara tersebut seolah-olah takut ketinggalan dalam perlumbaan mendapatkan scoop untuk ruangan Internet mereka. Begitu juga kisah asmara lelaki berumur dengan wanita muda dalam adegan berebut-rebut suami orang sudah jadi tema sensasi semenjak sekian lamanya.

Liputan media tentang asmara berputik baru ini jauh lebih hebat dan meluas daripada yang diberi kepada pemimpin atasan negara. Kisah-kisah ini kononnya diminati pembaca dan penonton televisyen. Betulkah begitu? Atau ini hanya gelagat sensasi yang tidak lagi menghiraukan nilai-nilai budaya bangsa sendiri. Sejak bila masyarakat Melayu harus bermegah dengan gara-gara mengahwini suami atau isteri orang yang baru bercerai?

Semacam tidak ada lagi berita atau bahan yang lebih hebat daripada asmara dan majlis kahwin pasangan-pasangan tersebut. Dulu kisah kahwin-asmara baik antara uda dan dara mahupun antara tua dan muda dihadkan kepada bab peribadi, diketahui dan direstui oleh hanya kaum keluarga terdekat. Kini sudah ada jenis perkahwinan yang dilaungkan dan dihebahkan ke seluruh negara. Beratus pojok utama berita televisyen dan muka depan akhbar disajikan saban hari dalam musim terjalinnya asmara dan berlangsungnya majlis perkahwinan panas itu. Kisah dan sensasi rentetan itu ditampilkan sedemikian rupa sehingga ada pihak yang yakin bahawa ianya harus menjadi fesyen sosial justeru wajar diikuti dan diteladani. Soal moral dan nilai kemasyarakatan jelas tidak diperhitungkan lagi.

Apakah yang terkandung di dalam kisah-kisah asmara dan perkahwinan selebriti itu yang menyebabkan liputan berita yang begitu keterlaluan? Sebagai perbandingan, seorang sultan terkaya yang mengahwini bekas juruhebah sebuah stesen TV swasta di negara ini pun tidak mendapat liputan yang terhebat.

Apa yang sebenarnya yang cuba diolah? Apakah masyarakat benar-benar dahagakan liputan meluas sehingga melunaskan budaya negatif yang baru? Atau adakah ini semua berupa sejenis perniagaan seranta lantaran longgokan wang yang banyak supaya siaran TV eksklusif dapat dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu? Biasanya kenduri nikah kahwin mengurangkan pendapatan. Kini mempelai boleh jual beli adegan perkahwinan mereka dan lantas beruntung lipat ganda.

Soalan dan keadaan begini bangkit lantaran terdapat elemen nilai hidup yang terlibat dalam drama hidup ini. Ada sesuatu yang tidak kena yang harus difikirkan dari sudut cara hidup dan tamadun rakyat Malaysia, khususnya di kalangan masyarakat orang Melayu.

Macam-macam kisah kahwin-asmara telah disajikan sejarah. Arkib di negara-negara Barat penuh dengan kisah-kisah ini. Tetapi yang dilaporkan media akhir-akhir ini bukan seperti kisah Cleopatra kahwin Mark Anthony atau King Edward ke VIII kahwin Mrs. Simpson atau seperti Marilyn Monroe kahwin Harry Miller. Asmara mereka di zaman masing-masing menepati maksud suasana dan budaya di Barat.

Asmara

Diakui, kisah-kisah asmara dan perkahwinan ada yang bersifat biasa, ada pula yang bercorak ghial dan luar biasa. Kisah cinta menteri kahwin baru atau cerita pembesar ambil isteri orang; cerita mengenai pihak diraja dapat isteri baru atau tokoh perniagaan separuh umur jatuh cinta pada penghibur jelita tidak perlu dipersoalkan sangat kerana liku-liku hidup memang ada yang melalui godaan, badai dan gelora selain ketenangan dan keindahan.

Yang dipersoalkan ialah apakah penonjolan dan sensasi seperti yang disebarkan media itu berpatutan dalam konteks membina modal insan atau membina masyarakat bertamadun?

Keghairahan sesetengah pihak membuat laporan dan liputan seperti yang dialami kebelakangan ini seolah-olah membuka suatu lembaran baru yang mahu menjadikan tokoh dan individu biasa mengikuti gaya hidup berasmara baru secara yang melibatkan kos
lumayan. Soal moral dan kesejahteraan yang berpaksikan amalan kelamin kekeluargaan langsung terkeluar daripada penceritaannya.

Dua senario kehidupan semasa dapat dirumuskan:

Pertama, munculnya kisah tentang tokoh korporat atau tokoh politik yang punya anak isteri yang ‘menawan hati’ jelitawan muda. Jalan cerita asmaranya ialah seperti yang dilaporkan jelitawan yang berusia muda ‘tertarik’ dengan seseorang tokoh lantaran gaya dan stail serta layanan sumbangsihnya. Tentunya, terkandung di dalam istilah ‘sumbangsih’ ini ialah pemberian duit dan ganjaran yang banyak selain berkongsi kedudukan, pangkat dan gelaran.

Aspek kedua yang sering jadi tema ‘asmara membara’ lelaki separuh umur ialah godaan jelita yang bersifat pisau cukur. Yang ‘dicukur’ ialah lelaki berumur dengan cara yang lemah-lembut dan penuh mesra. Si jelita pandai menarik minat dan perhatian lelaki berstatus dan berkuasa. Dengan gaya dan pendekatan manja, si jelita sosial itu hinggap dari pangkuan ke pangkuan sambil ‘mengikis dan mengumpul’ harta demi harta sementara ia melayan dan meladen kenamaan demi kenamaan. Setiap kali ia bercumbuan setiap kali pula ia mendapat dividen ?rumah, kereta mewah, berlian dan longgokan ‘pulangan’ yang lain. Perhubungan sebegini tidak kurang juga yang berakhir dengan perkahwinan sebagai pulangan. Ada pula yang berkeadaan ‘ayam lepas, tahinya di tangan’.

Juga kerap diceritakan ialah daripada hal bagaimana tercetusnya asmara hingga membawa ke pelamin. Cerita pokok berkisar pada keindahan dan keseronokan pasangan itu. Malangnya babak derita pasangan lama dengan anak-pinak hasil perkahwinan terdahulu tidak menjadi kisah lagi. Apa agaknya perasaan dan keadaan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan? Bab ini diketepikan begitu sahaja.

Aspek khas yang dijadikan keutamaan ialah unsur-unsur glamor yang cuba diselitkan dalam perbuatan menarik atau menggoda pasangan orang lain. Lelaki yang sudah beranak-pinak dan mendirikan rumah tangga berdekad-dekad lamanya tiba-tiba mengorak langkah lalu mencumbui anak dara atau isteri orang dan berjaya. Fakta siapa anak dara itu tidak dipersoalkan. Yang dipersoalkan ialah apa jadi kepada bekas isteri yang ditinggal atau diceraikan bersama anak-anak kesayangan yang tiba-tiba kehilangan kasih sayang bapanya.

Yang disajikan untuk bacaan dan tontonan hanya glamor asmara baru tetapi meminggirkan kepayahan keluarga lama suami baru. Aspek salah tafsir moral dan nilai hidup jelas terpinggir terus.

Tarikan cinta pandang pertama memang banyak dilaporkan tetapi yang jarang diselidiki ialah tentang budaya negatif menarik suami orang atau mencumbui isteri orang. Pada masa yang sama, kisah orang tua kahwin anak dara atau perempuan muda memang sedia memenuhi lembaran sejarah, baik di Barat mahupun di Timur. Tetapi dalam struktur masyarakat Melayu, kisah begini tidak pernah menjadi tarikan kepada umum secara rasmi kerana amalannya tidak membentuk masyarakat yang rukun atau kehidupan yang berpegang teguh kepada nilai-nilai keutuhan keluarga.

Cerita mengkhayalkan tentang kemewahan majlis perkahwinan atau mengutarakan tema ‘perceraian pasangan lama’ mungkin menyeronokkan kepada sesetengah pihak. Tetapi ia berupa berita malang yang memalukan bagi mereka yang kena cerai atau ditinggalkan. Dalam Islam mengaibkan orang adalah suatu dosa tetapi masyarakat dengan mudah diheret untuk turut serta mengalu-alukan perpecahan keluarga. Tema ambil isteri orang atau suami orang tidak lagi jadi persoalan atau masalah yang diperhitungkan. Yang diutamakan ialah asmara picisan yang disisip dengan nilai kebendaan dan tindak-tanduk mengetepikan prinsip luhur. Ini membawa kita jauh daripada keharmonian dan kerukunan. Tentunya ini bukan budaya tinggi.

Dipersoalkan: kenapa beria-ia benar ditonjolkan kisah-kisah merebut suami atau isteri idaman melalui derita pihak yang lain? Dipersoalkan, dengan hidangan kisah-kisah glamor asmara orang-orang bergelar dan berstatus yang bersekongkol dengan wanita mungil yang berusia muda, masyarakat tampak semacam menggalakkan amalan budaya songsang.

Apa rasa hati anak-anak yang ditinggalkan bapa yang menurutkan hati asmaranya? Kenapa bapa yang kahwin lagi itu ditampakkan sebagai hero dalam gara-gara beristeri baru? Yang pasti ialah kelakuan itu akan dianggap sebagai amalan yang layak disusul dan dicontohi.

Di celah-celah persoalan dan suasana inilah kita menghitung nilai-nilai masyarakat.

Moral

Penonjolan kisah kahwin baru yang tidak mengendahkan nilai moral masyarakat pasti akan meminggirkan sebahagian sifat murni masyarakat Melayu sendiri. Apa jadi dengan tanggungjawab sosial yang selama ini menjadi tonggak kehidupan kita? Dengan gambaran penuh ‘gilang-gemilang’ di dalam adegan glamor tersebut akan lebih ramai tua-muda kita yang akan disedut ke dalam putaran asmara-kebendaan. Di samping itu akan lebih ramai pihak yang bakal menjadi calon yang membelai hati dan perasaan wanita muda sambil mewujudkan pertembungan dan kamelut keluarga.

Bagi pasangan yang bercerai, harta sepencarian memang boleh disusul dan diagih dengan perintah mahkamah di bawah undang-undang keluarga, sama ada di bawah bidang kuasa syariah atau sivil. Tetapi proses ini meninggalkan parut emosi negatif yang berkekalan. Seperti yang diketahui umum, apabila perceraian berlaku, kegembiraan dan keseronokan hidup berkeluarga menghilang di angin lalu.

Apakah tanggungjawab sesetengah media selesai dengan hanya mensensasikan kisah cinta baru yang disalut kemewahan kebendaan itu? Apakah tanggungjawab seranta tidak sampai kepada pihak-pihak yang dideritai liputan tersebut. Apakah keuntungan sebenar yang diraih hasil perasaan derita orang yang hidupnya sudah berkecai?

Garis sempadan antara senyum dan tangis sesungguhnya amat kabur dalam hidup. Hari ini mungkin senyum gembira. Esok mungkin berduka nestapa.

Advertisements

~ by Taufiq Lazyduck on September 17, 2006.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: