Ulasan Dawn Of The Dead

Prolog

‘When there’s no more room in hell, the dead will walk to the earth’. Tagline filem yang menggunakan bahasa ekstrim ini awal-awal lagi sudah mengajak penonton untuk bermain dengan kreativiti daya pemikiran agar memberi gambaran awal mengenai apa yang akan disajikan sebelum menonton filem ini. Perhiasan literal ini nyata memberi kesan imaginasi yang tidak terjangkau oleh kemampuan pemikiran saya. Ini semacam satu isu keakhiratan yang lari dari klise lazim – cuba disesuaikan dengan agenda keduniaan, seperti kiamat sebelum masanya. Bermacam imej reaksi Tuhan terhadap aktiviti bobrok perlakuan manusia terpampang di layar minda. Mengasyikkan, mengerikan dan menggusarkan. Skrin paparan minda bertukar set – dari rahmat ke bala, dari bala ke mati, dari mati ke kiamat, dari kiamat ke neraka, dari neraka ke syurga. Betapa gegaran daripada tagline ini cukup dirasai.

Sinematografi

Erti kiamat mula ditelanjangkan apabila suatu pagi yang indah disimbah renjis asmara semalam Ana bangun dan sekonyong konyong diserang oleh gadis jirannya yang bertukar menjadi zombie. Lebih menggerunkan lagi apabila Ana dapat tahu satu neighborhoodnya telah menjadi kucar kacir kerana ‘zombie makan orang’. Itu belum lagi tatkala dia dimaklumkan bahawa satu Amerika dilanda gejala yang sama. Saya katakan filem ini men-tension-kan dari awal sehinggalah ke akhir tayangan. Pengarahnya Zack Snyder berjaya menghembuskan nyawa yang lebih realis terhadap genre filem horror ini dengan melakukan penyesuaian yang sangat teknikal dan sadis bukan sahaja dari segi cinematography malah penghayatan watak kemanusiaan dan kedongengan secara halus. Ia bukan satu filem yang leceh dan meleret leret. Segala yang berlaku mengalir dengan pantas dan ia digambarkan dengan berkesan seiring dengan speed ketiba-tibaan malapetaka yang rasional dan logik.

Perbezaam yang jelas antara versi asal Dawn of the dead oleh George Romero dan versi baru nyata terletak pada teknik cinematographynya. Seni pengarahan produk Hollywood era baru menampakkan peningkatan mutu yang sangat professional dan mengambil kira setiap perkara yang mahu diketengahkan sebagai tunjang kejayaan filem Hollywood masa kini. Versi baru filem ini lebih skillful dan kurang daring. Ia juga lebih slicker dan more polished biarpun focus utama telah diset dan dihadkan di dalam sebuah pasaraya besar. Mayat bertukar menjadi zombie dalam kadar masa yang sangat singkat. Zombienya pula bergerak pantas, lebih bijak dan tangkas dalam mengambil keputusan. Ia juga jauh lebih ganas berbanding zombie pada filem era 80an. Hanya satu cara sahaja untuk membunuh zombie ini iaitu tembak tepat pada kepalanya. Satu revolusi watak maya yang inovatif dan boleh dibanggakan tetapi agak stereotype juga, kerana 28 Days Later dan Resident Evil juga mengadaptasikan kesan interface yang sama.

Mesej, Falsafah dan Kritikan

Cuma filem remake ini agak kabur dan kurang kemas dalam pemaparan falsafah yang terkandung di dalamnya berbanding versi asal. Saya cenderung menakrifkan konsep konflik dengan mengambil kira perselisihan antara 2 golongan – pro dan kontra. Jika tafsiran ini diterima, maka perselisihan antara zombie dan manusia tidak rasional lagi dilihat sebagai konflik kerana zombie tidak berperwatakan sama ada pro atau kontra. Zombie tidak harus, tidak perlu dan tidak sesuai dipertanggungjawabkan dalam malapetaka ini kerana tiada sesiapa pun yang dapat memberitahu sama ada ia adalah sejenis penyakit atau virus yang disebarkan oleh kesan gigitan manusia sendiri atau ia memang bala yang turun daripada Tuhan. Kemudian mayat bertukar menjadi zombie, zombie akan gigit manusia dan manusia akan menjadi zombie, zombie itu kemudian akan… Jadi apresiasi saya kabur, cuma penerimaan saya jelas – this is a movie about humans fighting ghouls. Cuma ghouls ciptaan filem barat lebih hidup berbanding filem Asia khususnya filem Hong Kong. Saya menyukai ketertinggian logikal movie ini walaupun jika tidak direnung ke dasar akar umbi, ia memang sebuah filem ghouls semata mata. Saya rasa tidak hairan dunia ini akan mengalami insiden yang sama, kalau sebagai permulaan kita sudah dikejutkan dengan perubahan genetic virus yang manusia cipta sendiri seperti JE, Virus Nipah, SARS, bird flu dan sebagainya. Daya tahan virus juga terbukti akan menjadi lebih kuat angkara kesan sampingan penyalahgunaan teknologi yang dicipta manusia sendiri. Ini juga satu bala yang diturunkan kepada umat manusia yang alpda dan lalai. Cuma peratusan manusia menjadi zombie saya kira terlampau tipis. Tetapi ulasan ini memang ditulis berdasarkan andaian kemungkinan ini. Jika tidak, segala apresiasi akan menjadi sia sia.

Idea Zack Synder untuk mempertanggungjawabkan malapetaka ini kepada kesan tindak tanduk manusia adalah cukup wajar. Babak yang memaparkan adegan kekejaman diselang selikan dengan isi kandungan temuramah pihak media dengan pihak superior adalah penting untuk memberitahu pentonton ini bukan filem main main. Mesejnya jelas, semua ini adalah bala sebagai balasan yang Tuhan beri akibat tindak tanduk manusia sendiri – apabila manusia sudah tidak mampu untuk memberi jawapan tepat. Bak kata fadz, “Apa yang dibawa oleh pengarahnya, Zack Snyder adalah satu satira abad ke-21 Amerika/sci-fi distopia masyarakat yang bernama manusia. Distopianya sungguh kelam dan kalau kita selami dengan lebih dalam filem ini, pesismenya sangat jelas. Ia mengutuk, dan saya kata, benar-benar mengutuk manusia sebagai semula jadinya ‘amat lemah’ walaubagaimana unik ‘kelebihan’ yang Tuhan berikan pada mereka – kuasa untuk membuat pilihan.”

Ada dua babak yang menjadikan saya mula bermain teka teki dengan niat Zakck Synder dengan set background pilihannya. Pertamanya dalam opening scene, umat Islam yang sedang sujud diselang selikan dengan paparan kekejaman dan yang kedua, seorang wartawan TV yang sedang melaporkan suasana lintas langsung berlatarbelakangkan Masjid Sulaiman di Istanbul telah diserang oleh zombie berbangsa Arab. Ini adalah babak-babak yang berlangsung kurang daripada 1 minit tetapi kesan konflik penerimaan saya sebagai orang Islam adalah sangat kuat. Saya mengandaikan Zack Synder cuba mengungkap 2 kemungkinan berdasarkan logikal persis isu semasa. Pertama agama Islam adalah agama yang diiktiraf beliau sebagai agama yang syumul – dan melibatkan banyak peraturan dan tatacara. Zack memilih scene umat Islam bersembahyang dengan tertib yang menakjubkan kerana beliau sendiri kagum dengan rutin 5 kali sehari yang dilakukan oleh umat Islam ini. Tetapi apresiasi ini dihargai dengan sinis. Buktinya dalam babak yang kedua beliau cuba mengungkap – umat Islam memang tidak dapat dipisahkan dengan terrorism. Saya cuba teka kenapa Zack tidak memilih agenda Kristian seperti Pop John Paul II diarak orang ramai dan sebagainya. Mungkin, barangkali Zack sendiri merasakan upacara spiritual yang melibatkan manusia dengan Tuhan bukannya boleh berlangsung dalam suasana yang casual seperti berjumpa bakal mertua. Ia wajar melibatkan tatacara yang agung, serius dan beridentiti. Tetapi beliau tidak menyalahkan umat Islam semata mata, kerana beliau sendiri cuba mengutuk tindakan kuasa veto barat yang mengiyakan hura hara dunia Islam dengan siri peperangan yang nyata telah menggugat keamanan dunia sejagat. Justifikasi di sini ialah tidak kira Islam atau tidak, hentikan peperangan!

Cara olahan filem ini tidak banyak berubah dari filem asal dari segi jalan cerita tetapi ia telah disuntikkan unit kemanusiaan untuk mengetengahkan beberapa karektor bagi menguatkan tahap penerimaan penonton. Pertama sekali kita diperkenalkan Ana, seorang jururawat yang ditunjangi Sarah Polley. Beliau menamatkan tugas syif malamnya dengan lancar dan memandu balik ke rumah seperti sedia kala. Ana dan suami menghabiskan malam terakhir dengan romantik dan malapetaka bermula hanya selepas 6.37 pagi apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran gadis muda jiran mereka yang sekonyong konyong menyerang si suami. Darah mengalir deras dan suaminya meninggal dunia serta merta. Tidak sampai beberapa saat pun, suaminya bangkit menjadi zombie dan cuba menyerang Ana. Saat saat genting begitu Ana meninggalkan kawasan kediamannya dan mendapati zombies telah mengambil alih kawasan tersebut mengetepikan manusia sebagai pemilik sah kawasan tersebut. Starting point yang stereotyped ini menepati jangkaan awal saya – pasti ada sekumpulan manusia yang secara selektif menjadi survivor dalam filem ini yang kemudiannya akan membentuk plot, konflik dan epilog filem ini. Selain Ana, filem ini turut diterajui oleh Kenneth(Ving Rhames) – seorang polis yang sentiasa optimistik; Michael (Jake Weber) – seorang lelaki yang sentiasa tenang dan tidak mudah akur pada situasi; Andre (Mekhi Pfifer) – seorang suami yang menjadi mangsa zombie dan sedang menunggu saat saat indah ditabalkan menjadi ayah tetapi tidak berkesempatan dan CJ(Michael Kelly) security guard di pasar raya tempat semantara mereka menyelamatkan nyawa.

Tidak banyak yang boleh dicelotehkan mengenai lakonan mereka kerana focus utama filem ini ialah insiden non-stop thrill ride-nya. Terdapat beberapa babak yang secara sedar anda pasti akan tahu apa yang akan terjadi tetapi penghayatan yang terheret heret mampu menyebabkan akan terjurumus dengan helah pengarahnya. Sentimen kemanusiaan yang bermain di dalam hati setiap survivor juga terlukis dalam selitan konflik antara ‘meneruskan kehidupan’ atau ‘kasih sayang’ dengan indah dan menyayat hati. Saya cukup tersentuh dengan ending filem ini apabila Kenneth memberitahu Ana dia telah digigit leh zombie dan tidak dapat meneruskan misi menyelamatkan diri mereka. Biarpun sukar untuk menerima kenyataan ini, namun Ana harus melepaskan Kenneth kerana mereka tidak mungkin akan meneruskan kehidupan secara normal. Sayangnya watak Kenneth diperindahkan dengan sempurna (terlalu sempurna) sehingga apa sahaja situasi yang melanda mereka, Kenneth akan mengambil keputusan berdasarkan teori di atas kertas yang lazim sehingga kadang kala, saya merungut kerana watak beliau seakan diolah tanpa penilaian sifat kemanusiaan yang sewajarnya. Saya lebih rela beliau tidak dimatikan tetapi sifat kecatatan beliau serba sedikit ditonjolkan untuk meredakan konsentrasi saya terhadap penghayatan movie yang endingnya sadis ini. Saya jangkakan semua orang tahu cerita terkemudian daripada ending filem ini – kiamat. Jadi apalah bezanya memberikan survival mutlak kepada Kenneth kalau endingnya sudah secara tidak sengaja tidak boleh berubah lagi?

Epilog

Saya tidak mengatakan filem ini adalah filem grade A seperti Good Well Hunting, Cold Mountain atau A Beautiful Mind yang punyai falsafah besar dari awal lagi biarpun ia agak bagus seacara totalnya. Saya percaya filem genre thriller atau horror juga boleh berfalsafah seperti filem yang saya sebutkan tadi. Namun saya agak prejudis terhadap filem remake. Filem ini tidak menghampakan, tetapi terlalu terikat dengan stail Dawn Of The Dead yang asal – yang memang diiktiraf sebagai filem yang mantap dari dulu lagi. Seperti The Ring versi Jepun dan Hollywood, yang original nyata lebih menyengat biarpun yang remake mempunyai banyak kesempatan untuk memperbaiki kelemahan yang original. Kenapa ya?

~ by Taufiq Lazyduck on April 11, 2004.

Leave a comment